Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Agensi keselamatan prihatin kebangkitan Taliban cetus serangan pengganas di Asia Tenggara

Banyak agensi keselamatan bimbang jika rampasan kuasa oleh Taliban akan mencetuskan lebih banyak serangan pengganasan di rantau ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Agensi keselamatan prihatin kebangkitan Taliban cetus serangan pengganas di Asia Tenggara

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 10 Sep 2021 01:30PM Dikemas Kini : 10 Sep 2021 01:33PM

SINGAPURA: Banyak agensi keselamatan bimbang jika rampasan kuasa oleh Taliban akan mencetuskan lebih banyak serangan pengganasan di rantau ini.

Demikian kata Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal dalam Negeri K Shanmugam pada Jumaat (10 Sep).

Ini kerana apabila Afghanistan berada di bawah rejim kuasa Taliban sebelum ini, ia menyediakan tempat selamat bagi mereka yang berpotensi menjadi pengganas dari Asia Tenggara, termasuk dari Singapura, katanya.

"Jika anda tanya apa yang diperlukan atau akan membantu mereka yang berpotensi menjadi pengganas untuk keluar dan melakukan perbuatan jahat: Sebuah tempat selamat, sebuah tempat untuk mereka menjalani latihan, sebuah tempat untuk terus menjadikan pemikiran mereka lebih radikal," kata Encik Shanmugam kepada wartawan menjelang ulang tahun ke-20 serangan keganasan di Pusat Perdagangan Dunia di Amerika Syarikat pada 11 September 2001.

"Dan sebelum ini, apa yang berlaku dengan kumpulan pengganas ISIS dan Al-Qaeda adalah adanya tempat-tempat selamat sedemikian. Afghanistan menyediakan tempat selamat untuk melatih individu dari Asia Tenggara, termasuk dari Singapura; dan ia menyediakan tempat selamat untuk menjalani latihan, mengakses senjata, para individu lebih dipengaruhi kerana ada latihan untuk berlawan, dan ini membuatnya sangat berbahaya."

Katanya lagi: "Jadi adakah ia akan berlaku sekali lagi? Ramai orang yang mengkhuatirinya. Saya bimbang ia mungkin akan berlaku sekali lagi. Jadi ya, saya rasa prospek kenaikan kes pengganasan di rantau ini, saya rasa banyak agensi-agensi keselamatan dan individu serius berasa prihatin tentang perkara itu."

Pada Rabu (8 Sep), negara-negara lain menerima berita penubuhan pemerintah baru di Afghanistan dengan penuh berhati-hati dan rasa kecewa setelah Taliban melantik seorang tokoh veteran tegar untuk memegang jawatan utama.

Pemangku Kabinet yang baru termasuk bekas tahanan penjara tentera AS di Guantanamo Bay sementara menteri dalam negeri, Sirajuddin Haqqani, sedang diburu AS atas dakwaan pengganasan dengan ganjaran AS$10 juta (S$13.4 juta).

Berhubung situasi keselamatan di Singapura, Encik Shanmugam berkata: "Dari hari ke hari, saya tidak akan katakan apa yang berlaku di Afghanistan menyebabkan peningkatan ssegera kepada ancaman keselamatan, namun ini adalah isu strategik; ia adalah isu jangka pertengahan hingga jangka lebih panjang dan kita perlu bersedia.

"Namun sementara itu, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri meninjau landskap, apa yang berlaku di tempat lain, kedua-duanya di rantau ini dan menjangkauinya, termasuk Afghanistan.

"Dan tentu sekali kami menelitinya dengan apa yang perlu kita lakukan di Singapura, dan ia merupakan satu usaha yang berterusan."

Encik Shanmugam turut menyentuh tentang serangan pengganasan pada 3 September di Auckland, di mana seorang pelampau yang dipengaruhi ISIS yang diketahui pihak berkuasa, menetak dan mencederakan sekurang-kurangnya enam orang di sebuah pasar raya di pusat beli-belah sebelum ditembak mati oleh polis.

Polis New Zealand menyatakan mereka "sudah sedaya upaya melakukan semua yang mampu" untuk memantau individu pelampau itu sebelum serangan tersebut berlaku.

Encik Shanmugam berkata lelaki itu yang membeli pisau dan mengkaji tentang pembuatan bom menerusi online, berada di bawah pemantauan polis sejak 2016 dan ditangkap dua kali antara 2017 dengan 2018 bagi kesalahan lain. Dia kemudian dibebaskan daripada tahanan dua bulan lalu.

"Terdapat tanda-tanda jelas bahawa dia ingin melakukan serangan pengganasan namun di bawah undang-undang pengganasan sedia ada New Zealand, dia tidak boleh diberkas atau didakwa kerana memeriksa cara pembuatan bom menerusi online dan membeli pisau," kata Encik Shanmugam.

"Maksud saya, ramai orang membeli pisau jadi anda perlu menghubungkannya kepada niat. Namun meskipun mereka boleh mengaitkannya kepada niat lelaki itu, ia tidak mencukupi untuk menangkap dan mendakwanya di mahkamah."

Encik Shanmugam berkata New Zealand kini sedang mempertimbangkan pindaan bagi memperkukuh undang-undang antipengganasan, sambil menambah bahawa kejadian-kejadian di sana menyebabkan beliau "memikirkan tentang perbezaannya" dengan Singapura.

"Di Singapura, lelaki itu boleh ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Dia tidak akan dibebaskan dua bulan lalu dan kami akan cuba memulihkannya lebih awal, dan dia mungkin masih hidup sekarang," katanya.

"Setiap negara perlu mencari caranya sendiri untuk menangani cabaran ini. Bagi kami, kuncinya adalah untuk memastikan dasar sosial dan ekonomi membantu mengekalkan peluang baik untuk setiap orang dan memastikan masyarakat berasa bahawa mereka mempunyai kepentingan dalam negara ini. Dan ini membantu memastikan jumlah serangan pelampau dan radikalisi kekal terhad.

"Kemudian, ISA akan campur tangan dan membantu kami mengangani sejumlah kecil kes-kes tersebut."

Encik Shanmugam mengimbas kembali bagaimana ISA ditubuhkan "selang beberapa hari" selepas serangan dahsyat pada 11 September 2001 itu, di mana pihak berkuasa menangkap 36 rakyat Singapura yang merupakan sebahagian daripada rangkaian pengganasa Jemaah Islamiyah.

"Ada sebahagian daripada mereka berurusan dengan elemen-elemen Al-Qaeda untuk melancarkan serangan bom di kedutaan-kedutaan asing di Singapura, mereka turut menyasarkan tempat-tempat lain, termasuk nod pengangkutan dan rumah beberapa individu," kata Encik Shanmugam.

"Keupayaan kami untuk mengangani serangan pengganas dengan berkesan adalah berdasarkan beberapa asas utama."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan