Skip to main content

Singapura

Agensi Kemahiran dan Pembangunan Tenaga Kerja baharu akan ditubuhkan pada suku ketiga 2026

Anggaran Waktu Membaca:
Agensi Kemahiran dan Pembangunan Tenaga Kerja baharu akan ditubuhkan pada suku ketiga 2026

Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng berucap di Parlimen pada 5 Mei 2026. (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 05 May 2026 11:41PM
SINGAPURA: Sebuah badan berkanun baharu bagi memperkukuh ekosistem tenaga kerja dan kemahiran Singapura akan ditubuhkan pada suku ketiga tahun ini, selepas Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang Agensi Kemahiran dan Pembangunan Tenaga Kerja pada Selasa (5 Mei).

Agensi Kemahiran dan Pembangunan Tenaga Kerja (SWDA) yang baharu itu akan menggabungkan fungsi SkillsFuture Singapore (SSG) dan Workforce Singapore (WSG), selain memikul tanggungjawab yang diperluas dalam urusan kerjaya, pekerjaan dan latihan.

Langkah ini menyusuli ucapan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri Lawrence Wong, yang mengumumkan gabungan kedua-dua agensi menjadi satu badan berkanun bagi mewujudkan “pusat sehenti” yang lebih bersepadu untuk pekerja dan majikan.

Berucap di Parlimen pada Selasa, Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng berkata gabungan itu dibuat ketika Singapura berdepan persekitaran global yang berubah dengan pantas.

“Kita hidup dalam dunia yang berbeza berbanding 10 tahun lalu,” katanya, merujuk kepada perubahan teknologi yang semakin pesat, gangguan geopolitik dan populasi yang semakin menua.

“Apa yang berkesan pada dekad lalu memerlukan transformasi besar - menjadi lebih berpandangan jauh, lebih bersifat menjangka (anticipatory) dan lebih responsif serta bersasar pada masa hadapan.”

PERANAN AGENSI

Agensi itu akan menjadi badan pusat yang menyelia pelbagai fungsi yang sebelum ini dipisahkan antara SSG dengan WSG, sambil memperkenalkan keupayaan dipertingkat dalam perkhidmatan kerjaya dan pekerjaan.

Ia akan dipantau bersama oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Kementerian Pendidikan (MOE), dengan Ketua WSG ketika ini, Dilys Boey, dilantik sebagai ketua eksekutif SWDA.

Agensi ini bertujuan menyediakan sokongan yang lebih lancar dan bersepadu kepada pekerja dan majikan.

Bagi pekerja, Dr Tan berkata SWDA akan membantu rakyat Singapura kekal fleksibel dalam ekonomi yang pesat berubah melalui sokongan dalam perancangan kerjaya, peningkatan kemahiran dan peralihan pekerjaan.

Bagi majikan, ia akan memperkukuh pengambilan pekerja dan transformasi tenaga kerja dengan menyepadukan data kemahiran dan pasaran buruh.

Agensi itu akan ditadbir oleh sebuah lembaga yang terdiri daripada antara tujuh hingga 15 anggota yang dilantik oleh menteri, berdasarkan kepakaran dan pengalaman mereka.

Dr Tan berkata SWDA dijangka ditubuhkan pada suku ketiga tahun ini.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita