Agensi haji akan hubungi jemaah berhubung pengembalian cengkeram dalam 2 minggu: Masagos
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berkata Majlis Ugama Islam Singapura MUIS akan bekerjasama dengan pihak Arab Saudi untuk mengembalikan wang cengkeram para jemaah berikutan penangguhan haji tahun ini.

SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berkata Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan bekerjasama dengan pihak Arab Saudi untuk mengembalikan wang cengkeram para jemaah berikutan penangguhan haji tahun ini.
Dalam catatan Facebook pada Jumaat (28 Mei), beliau berkata para jemaah akan dihubungi oleh agensi haji mereka dalam masa dua minggu ini.
Ini menyusuli pengumuman oleh MUIS pada Khamis (27 Mei) bahawa pelaksanaan ibadah haji bagi 900 jemaah Singapura tahun ini ditangguhkan.
Mengulas keputusan itu, Encik Masagos berkongsi bahawa pihaknya mempunyai keyakinan sepenuhnya terhadap pengurusan pandemik oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Namun, mereka belum diberitahu syarat-syarat yang mungkin dikenakan jemaah haji oleh pihak berkuasa Arab Saudi kerana situasi COVID-19 sekarang.
Encik Masagos menambah, keputusan MUIS untuk menangguhkan ibadah haji bagi jemaah Singapura tahun ini disokong sebulat suara oleh Jawatankuasa Fatwa, Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (AMTAS) dan agensi-agensi pelancongan haji lain.
"Walaupun sukar, mereka sebulat suara setuju keputusan ini wajar untuk melindungi masyarakat kita dan memutuskan penularan virus COVID-19," kata Encik Masagos.
Beliau menekankan keselamatan jemaah haji harus diutamakan di tengah-tengah keadaan pandemik yang kian berubah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.