Skip to main content

Singapura

Agensi bakal tawar separa bayaran balik jika majikan tamatkan kontrak pembantu rumah lebih awal

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mulai bulan Jun, agensi pembantu rumah harus menawarkan pilihan bayaran balik sekurang-kurangnya 50 peratus kepada para majikan bagi yuran perkhidmatan yang sudah dibayar sekiranya majikan memilih untuk menamatkan kontrak pembantu rumah dalam tempoh enam bulan pertama pembantu mereka bekerja.

Ini akan menggalak agensi-agensi pembantu rumah untuk memastikan terdapat pemadanan dan keserasian yang baik antara pembantu rumah hijrahan dengan pihak majikan, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam satu kenyataan media hari ini (31 Mac).

Dasar bayaran balik itu akan dikenakan kepada semua yuran perkhidmatan yang dibayar pada atau selepas 1 Jun, menurut MOM.

Pilihan bagi bayaran balik itu akan tertakluk kepada sehingga tiga amah yang dipadankan oleh agensi pembantu rumah dengan majikan yang sama, menurut MOM. Ia menambah bahawa majikan boleh memilih untuk menggantikan pembantu rumah tersebut atau meminta bayaran balik ketika diberikan pilihan.

Namun, ada beberapa keadaan tertentu, di mana agensi tidak akan memberikan bayaran balik, menurut kementerian tersebut.

Ini termasuk, jika tidak ada khidmat pemadanan yang diberikan oleh agensi tersebut.

Bermakna, jika pembantu rumah tersebut diambil bekerja oleh majikan sendiri dan agensi hanya melaksanakan kerja-kerja pentadbiran yang diperlukan atau jika majikan melanggar undang-undang pekerjaan atau melakukan kesalahan terhadap pembantu rumah tersebut.

Agensi-agensi juga tidak akan memberi bayaran balik kepada majikan sekiranya pembantu rumah itu diambil bekerja untuk menjaga seorang individu, tetapi individu tersebut sudah meninggal dunia atau sudah berpindah ke jagaan alternatif, menurut MOM.

Majikan yang ingin mendapatkan bayaran balik harus memberitahu agensi pembantu rumah terlebih dahulu sebelum menamatkan kontrak pembantu rumah, menurut MOM.

Di bawah dasar yang baru itu, jumlah bayaran balik termasuk kesemua yuran yang dibayar oleh majikan kepada agensi pembantu rumah kecuali kos berkaitan dengan kemasukan dan gaji pembantu rumah, kos yang dikenakan oleh pemerintah negara pembantu rumah tersebut, serta pinjaman pembantu rumah itu.

Cik K Jayaprema, Presiden AEA(S), Persatuan Agensi Pembantu Rumah (Singapura) berkata bahawa "Dasar bayaran balik yuran perkhidmatan adalah tanggungjawab bersama agensi dan kakitangan untuk menggalak kedua-dua pihak supaya menyatakan dengan jelas keperluan dan syarat pekerjaan agar para calon boleh dipadankan dengan sesuai."

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita