Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Agensi baharu pemerintah bakal bantu tangani bahaya online seperti buli siber, kongsi gambar intim

Anggaran Waktu Membaca:
Agensi baharu pemerintah bakal bantu tangani bahaya online seperti buli siber, kongsi gambar intim

(Gambar fail: iStock)

Diterbitkan : 01 Oct 2024 10:19PM Dikemas Kini : 02 Oct 2024 11:25AM
SINGAPURA: Sebuah agensi baharu pemerintah Singapura akan membantu para mangsa menghentikan bahaya online daripada hanya bergantung kepada proses biasa berdasarkan mahkamah.

Para mangsa perbuatan sedemikian - yang termasuk buli siber dan perkongsian tanpa izin gambar-gambar intim - boleh meminta bantuan agensi itu untuk mendapatkan keadilan.

Agensi itu kemudian akan bertindak bagi pihak mereka untuk mengarahkan pelaku dan penyedia khidmat online, seperti platform media sosial, untuk menghentikan bahaya online.

Dalam ucapannya di Daerah Digital Punggol pada Selasa (1 Okt) semasa melancarkan inisiatif Negara Bijak 2.0, Perdana Menteri Lawrence Wong berkata matlamatnya adalah untuk menyokong para mangsa dengan "bantuan lebih tepat pada masanya serta berkesan".

"Semua mangsa bahaya online mahu kandungan online yang membahayakan mereka dipadamkan segera dan buat selamanya. Sekarang ini, para mangsa boleh memohon kepada mahkamah bagi perintah perlindungan, atau membuat aduan polis. Namun, prosiding undang-undang dan jenayah boleh memakan masa," tambah PM Wong.

"Satu lagi cara adalah dengan meminta bantuan penyedia khidmat online. Namun tidak ramai yang tahu bagaimana untuk melakukannya. Dan kami juga mendengar maklum balas bahawa sekalipun anda tahu melakukannya, syarikat-syarikat itu mungkin mengambil masa yang lama untuk memberi respons, dan kadangkala langsung tidak bertindak."

Oleh itu, para mangsa mesti ada "sumber sokongan yang boleh dipercayai, yang boleh bertindak bagi pihak mereka untuk mengarahkan pelaku serta penyedia khidmat supaya menghentikan bahaya-bahaya tersebut," ujar PM Wong lagi.
PM Wong berucap di majlis pelancaran Negara Bijak 2.0 pada 1 Okt 2024. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)
Langkah itu merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah strategi Negara Bijak 2.0 yang disuntik nafas baharu, yang termasuk pelaburan S$120 juta dalam kecerdasan buatan (AI) untuk membantu kajian saintifik serta geran untuk pendidik dalam membangunkan kepakaran digital.

Negara Bijak pertama kali dilancarkan pada 2014 di bawah kepimpinan Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong. Ia sudah mempertingkat kehidupan penduduk Singapura menerusi teknologi, menurut Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI).

Cabaran-cabaran baharu dan dipacu teknologi kini sudah muncul, sekali gus mengancam perpaduan sosial, mata pencarian, keselamatan serta kesejahteraan, tambah MDDI.

AGENSI BAHARU, UNDANG-UNDANG BAHARU

Agensi baharu untuk membanteras bahaya online itu akan diperkenalkan oleh MDDI dengan kerjasama Kementerian Undang-Undang.

Tahun lalu, Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam menggesa bagi lebih banyak undang-undang untuk memperkasa mangsa kandungan bahaya online untuk mengambil tindakan dan melindungi diri mereka.

"Masyarakat-masyarakat di merata dunia, termasuk kita, ketinggalan dalam menangani isu ini secara berkesan," ujar Encik Shanmugam ketika itu.

Satu tinjauan MDDI yang dijalankan tahun ini, menunjukkan jumlah kandungan bahaya media sosial semakin meningkat. Tinjauan itu mendapati dalam kalangan mereka yang membuat aduan mengenai kandungan bahaya media sosial, lapan daripada 10 berdepan isu dengan proses membuat aduan.

"Masa adalah faktor penting memandangkan bahaya online boleh tular dengan mudah, memburukkan kesan ke atas mangsa," tegas MDDI.

Kementerian itu menambah, pihaknya akan menumpukan perhatian kepada "bahaya online paling serius dan yang sering berlaku" yang menjejas mangsa di Singapura.

Agensi baharu itu akan berkongsi persamaan dengan Pesuruhjaya Keselamatan Online Australia, yang menyiasat buli siber terhadap kanak-kanak, penderaan siber terhadap orang dewasa, penderaan berdasarkan gambar seperti perkongsian gambar intim tanpa izin, dan penyebaran kandungan haram atau yang disekat.

Para mangsa bahaya online di Australia boleh menyerahkan aduan mereka kepada Pesuruhjaya tersebut, yang kemudian akan bertindak jika ia memenuhi keperluan untuk bertindak, serupa dengan bagaimana agensi baharu Singapura itu akan beroperasi.

Lebih banyak butiran akan dikongsi dalam beberapa bulan mendatang, menurut MDDI.

GERAN NEGARA BIJAK

Inisiatif lain yang dilancarkan pada Selasa termasuk pelaburan S$120 juta dalam AI untuk membantu kajian saintifik.

Ini juga menyokong Strategi AI Nasional (NAIS 2.0), yang dilancarkan pada Disember tahun lalu oleh PM Wong.

Diterajui oleh Yayasan Kajian Nasional, pelaburan itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan dan penggunaan kaedah dan wadah AI yang dapat meningkatkan penemuan saintifik.

Ia juga kan membiayai kerjasama antara para pengkaji AI dengan pakar dalam bidang itu seperti kajian dalam bahan-bahan yang terus dibangunkan dan bioperubatan serta sains kesihatan.

Untuk melatih para guru dengan lebih baik untuk menajamkan keupayaan digital pelajar, satu Fellowship Pendidik Negara Bijak juga akan dilancarkan tahun depan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (MOE).

Menerusi program enam bulan itu, para peserta akan meraih pengetahuan dalam trend-trend teknologi baru mucncul menerusi panel perbincangan serta bengkel-bengkel antara kegiatan lain.

"Program ini membolehkan peserta menyesuaikan pengetahuan dan kemahiran yang mereka perolehi ke dalam kurikulum yang dilakar atau teknik mengajar yang berkesan serta strategi-strategi pembelajaran yang menyokong pembangunan kemahiran digital pelajar," tambah MDDI.

Mulai 2025, para pelajar juga akan dapat meneroka dan mencuba teknologi baharu menerusi modul-model 'AI for Fun' di bawah program 'Code for Fun' sedia ada yang diwajibkan di sekolah-sekolah rendah serta satu mata pelajaran pilihan peringkat menengah.

Selain itu, satu undang-undang baharu untuk mempertingkat keselamatan "prasarana digital penting secara sistematik" di Singapura juga sedang diusahakan.

Akta Prasarana Digital akan diperkenalkan tahun depan untuk "mempertingkat daya bingkas dan keselamatan prasarana digital dan perkhidmatan utama", menurut MDDI.

Undang-undang yang diusulkan itu akan menjangkaui risiko keselamatan siber untuk menangani risiko lebih meluas daya tahan dan keselamatan.

Ini meliputi konfigurasi teknikal yang tidak tepat hingga bahaya fizikal seperti kebakaran dan kegagalan sistem penyejukan, menurut MDDI.
Sumber : CNA/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan