Skip to main content

Singapura

Agensi baharu di bawah strategi Negara Bijak 2.0 boleh singkatkan masa & jimatkan biaya bagi proses perundangan mangsa jenayah siber

Pelbagai usaha akan dilaksanakan bagi mengemas kini strategi di bawah inisiatif Negara Bijak 2.0 sedang landskap digital kian berubah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pelbagai usaha akan dilaksanakan bagi mengemas kini strategi di bawah inisiatif Negara Bijak 2.0 sedang landskap digital kian berubah.

Antara tumpuan baharu termasuk meningkatkan keupayaan dalam kecerdasan buatan (AI) serta menangani bahaya dalam talian.

Sebuah agensi baharu bagi keselamatan dan keyakinan dalam talian juga akan ditubuhkan bagi menyokong para mangsa dengan bantuan yang berkesan dan lebih tepat pada masanya.

Menteri Negara Penerangan dan Pembangunan Digital, Rahayu Mahzam berkata langkah itu juga diharap dapat memperkasa para mangsa dan pengguna.

TINJAUAN MDDI DAPATI 80% INIDIVIDU HADAPI KESUKARAN TURUNKAN BAHAN ONLINE

Dalam wawancara bersama wartawan Nur Arina Ahmad Anis, Cik Rahayu menarik perhatian kepada hasil satu tinjauan yang dilakukan oleh Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) yang mendapati 80 peratus individu menghadapi kesukaran untuk menghubungi pengendali atau syarikat media sosial untuk menurunkan bahan-bahan online yang menjejas diri masing-masing.

"Apa yang kita lakukan adalah untuk mengadakan satu agensi yang dapat melakukan proses ini dengan lebih mudah, berhubung dengan platform-platform sebegini untuk membantu mangsa-mangsa menurunkan bahan-bahan yang menjejas mereka.

"Pada waktu ini perundangannya dalam 'common law', jadi mereka perlu membuka proses di mahkamah dan sebagainya. Jadi ini memakan masa dan mungkin wang yang banyak. Kita mahu pastikan adanya proses untuk memudahkan hal ini di mana misalnya mereka boleh berhubung dengan landasan-landasan untuk memastikan bahan-bahan diturunkan dan sebagainya. Jadi ini boleh dilakukan dengan lebih pantas dan tidak begitu menggunakan jumlah wang yang banyak," ujar Cik Rahayu.

Dalam pada itu, beliau berkata bahawa agensi baharu itu akan disokong oleh Akta Prasarana digital baharu yang bakal diperkenalkan pada tahun depan.

PERANAN PENDIDIK BANTU PELAJAR DAKAPI AI

Selain itu, Cik Rahayu juga menekankan betapa pentingnya untuk generasi sekarang fasih dalam bidang teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata amat penting untuk masyarakat memahami keperluan industri serta ekosistem AI sedia ada.

Justeru, persiapan awal mesti dilakukan sejak di peringkat sekolah lagi.

Bagi tujuan tersebut, Fellowship Pendidik Negara Bijak akan ditawarkan kepada para pendidik yang merancang kurikulum sekolah dan sekali gus mendedahkan mereka kepada perkembangan dan isu-isu baharu dalam ruang digital.

"Kita mahu memperkasakan para pendidik kita sebab itu kita ada Fellowship Pendidik Negara Bijak ini untuk membolehkan mereka benar-benar fasih tentang apakah pembangunan teknologi yang sedia ada, apakah isu-isu yang timbul atau 'trending' sekarang tetapi kita juga mahu memberikan mereka pendedahan kepada apa yang sedang berlaku dalam industri-industri.

"Jadi, mereka akan melalui 'Learning Journey' di mana mereka dapat melihat apa yang berlaku dalam sesuatu industri. Bagaimana teknologi itu digunakan dan diaplikasikan. Jadi mereka betul-betul faham. Apa yang kita harapkan adalah mereka dapat menggunakan informasi dan pemahaman tersebut untuk mereka kurikulum untuk anak-anak kita yang akan menyediakan mereka untuk industri di luar sana dan fasih berjaya serta berkembang dalam era teknologi dan AI," tambah Cik Rahayu.

Fellowship Pendidik Negara Bijak itu dikhususkan buat para guru pemimpin dan guru pakar kanan.

Menurut Cik Rahayu, ia diharap dapat melibatkan lebih 250 pendidik dalam tempoh masa lima tahun.

MODUL BAHARU 'AI FOR FUN' DIPERKENALKAN

Bagi para pelajar pula, mereka akan dapat meneroka dan mencuba teknologi baharu menerusi modul-model 'AI for Fun'.

Ini akan diperkenalkan di bawah program 'Code for Fun' sedia ada yang diwajibkan di sekolah-sekolah rendah serta satu mata pelajaran pilihan peringkat menengah mulai tahun depan.

Cik Rahayu berkongsi bahawa para pelajar berpeluang menggunakan AI untuk memahami bagaimana ia dapat membantu mereka dan mempercepatkan tugas mereka.

Menurut Cik Rahayu: "Ia akan dilakukan dalam suasana yang seronok untuk para pelajar. Jadi diharapkan dengan cara ini, mereka dapat mengaplikasikan dan memahami penggunaannya dalam konteks mereka dan ini kita harapkan dapat memberikan mereka keselesaan dan pemahaman yang awal tentang AI."

Sehubungan itu, beliau berharap pendedahan awal ini boleh mendorong dan minat terhadap bidang itu berputik dalam kalangan generasi muda.

"Sebenarnya secara jujur, apa-apa yang kita belajar sekarang akan berubah tetapi dengan adanya pendekatan ini, di mana kita mula awal, mereka (para pelajar) ada keselesaan untuk tahu ini adalah trajektori teknologi itu, diharapkan mereka akan lebih fasih dan mampu mengatasi segala cabaran yang akan datang dan dapat menggarap penggunaannya dengan lebih pantas," tambah Cik Rahayu.

MDDI juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) untuk menghasilkan Panduan Penggunaan Positif bagi Teknologi dan Media Sosial yang dijangka dikeluarkan menjelang tahun depan.

Antara kandungan panduan itu termasuk bimbingan bagi penggunaan teknologi dan media sosial secara positif dan baik serta saranan-saranan mengenai cara untuk menangani kesan-kesan negatif.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita