Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Agenda Melakar Hala Tuju S'pura hulurkan sokongan lebih baik buat golongan kurang upaya, kata DPM Wong

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Agenda Melakar Hala Tuju Singapura oleh Pemerintah akan terus mempertimbangkan bagaimana untuk menyediakan jagaan serta sokongan lebih baik kepada golongan orang kurang upaya (PWD) selain memastikan sebuah masyarakat lebih inklusif, kata Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Khamis (25 Ogos). 

Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, turut menggesa syarikat-syarikat supaya melakukan lebih banyak lagi bagi mewujudkan persekitaran inklusif untuk golongan PWD sambil memanfaatkan bantuan daripada Pemerintah. 

Melakar Hala Tuju Singapura adalah satu pelan hala tuju selama setahun yang bertujuan untuk menyemak semula dan menyuntik kesegaran dalam kontrak sosial Singapura di samping menetapkan hala tuju negara bagi dekad akan datang dan seterusnya.

Encik Wong berucap di acara dwitahunan Forum Perniagaan Inklusif 2022 anjuran SG Enable, sebuah agensi khusus untuk memperkasakan golongan PWD. 

Forum tahun ini, yang diadakan di The Theatre di Mediacorp untuk edisi keempatnya, meneroka potensi pertubuhan-pertubuhan memanfaatkan golongan PWD sebagai kumpulan bakat di tengah-tengah kekurangan bakat global. 

Mendukung tema "The Future of Work: Building Business Resilience and Growth", forum itu mempunyai perbincangan dua panel di mana para pemimpin perniagaan dan PWDS akan membincangkan tentang manfaat bersikap inklusif di tempat kerja. 

Ketika menyampaikan ucapan untuk merasmikan acara itu, Encik Wong berkata kejayaan Singapura tidak hanya bergantung kepada pertumbuhan ekonomi tetapi juga betapa inklusifnya ia sebagai sebuah masyarakat. 

Beliau menarik perhatian bahawa pandemik COVID-19 sudah membantu untuk membuka jalan bagi menyediakan persekitaran kerja yang lebih inklusif. Majikan bersedia untuk menggajikan PWD bagi mengisi jurang tenaga manusia dalam pasaran buruh yang ketat. 

Syarikat-syarikat lebih banyak menggunakan teknologi untuk memudahkan tugasan, yang membantu majikan untuk bersikap terbuka menerima teknologi bantuan dalam melaksanakan kerja, seperti perisian pengecaman pertuturan. Ini boleh membantu golongan PWD berfungsi di tempat kerja. Bukan itu saja, pelonggaran pada aturan di tempat kerja juga membantu dalam pengambilan kerja PWD. 

Namun, tekan Encik Wong, lebih banyak yang boleh dilakukan. 

Encik Wong merujuk kepada Pelan Induk Pemerkasaan 2030 yang dikeluarkan minggu lalu, di mana Pemerintah menetap sasaran untuk mencapai kadar pengambilan pekerja sebanyak 40 peratus bagi golongan PWD, naik berbanding 30 peratus sekarang. 

Untuk menyokong daya kerja PWD, Pemerintah sudahpun mengimbangi sehingga 20 peratus gaji mereka menerusi Kredit Menyokong Pengambilan Pekerja Kurang Upaya dan menampung sehingga 90 peratus kos peralatan dan pengubahsuaian di tempat kerja bagi membantu syarikat-syarikat memenuhi keperluan unik PWD. 

Encik Wong menarik perhatian bahawa syarikat memainkan peranan paling penting. Lebih banyak syarikat diiktiraf dengan tanda 'Enabling' atau Pemerkasaan, iaitu pentauliahan SG Enable yang mengiktiraf badan-badan bagi amalan dan hasil terbaik mereka dalam bersikap inklusif kurang upaya tatkala pengambilan pekerja.

"Jika kita ingin melihat kemajuan mampan dalam hasil pengambilan pekerja kurang upaya, perniagaan mestilah melihat kepentingannya untuk menggajikan golongan sedemikian - bukan atas sebab kebajikan, bukan atas sebab kebaikan sosial, tetapi kerana perniagaan benar-benar yakin dalam manfaat bersikap inklusif kurang upaya sewaktu pengambilan pekerja," jelas Encik Wong. 

Beliau berkongsi hasil kajian yang dijalankan oleh SG Enable menunjukkan bahawa pekerja yang bekerja di syarikat-syarikat yang mengamalkan pengambilan pekerja inklusif kurang upaya mencatat semangat tekad yang lebih tinggi, sekali gus membawa kepada kadar pengekalan yang lebih tinggi dalam kalangan pekerja sedia ada. 

Syarikat-syarikat ini juga menunjukkan tumpuan yang lebih kepada keperluan pelanggan serta budaya yang lebih kolaboratif dan inovatif kerana para pekerja bersikap lebih empati dan lebih terbuka untuk membincangkan idea-idea baru, ujar Encik Wong. 

Syarikat-syarikat yang khuatir tentang cabaran-cabaran pengambilan pekerja PWD boleh mempertimbangkan untuk bermula dengan program latihan amali berskala kecil atau mengambil beberapa pekerja sepenuh masa, seperti yang dilakukan Microsoft dan Thong Siek, katanya. 

Selain itu, syarikat-syarikat juga boleh memanfaatkan SG Enable untuk pemadanan kerja dan latihan bagi mereka semula kerja serta sokongan geran. 

"Pada asasnya, golongan orang kurang upaya ingin bekerja dan jika diberikan peluang, mempunyai banyak kemahiran yang boleh ditonjolkan. Dan sebagai satu masyarakat, kita patut memberi mereka peluang itu. Justeru, ayuh semua memainkan peranan untuk memastikan 40 peratus orang kurang upaya diambil bekerja menjelang 2030," gesa Encik Wong. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan