AGC tuntut peguam M Ravi minta maaf, tarik balik tuduhan berkaitan kes hukuman gantung
Pejabat Peguam Negara (AGC) menghantar surat kepada peguam M Ravi yang menuntut agar beliau meminta maaf dan menarik balik tuduhan yang dibuatnya semasa satu wawancara mengenai kes seorang pembawa dadah yang sebelum ini dijatuhi hukuman mati.
Peguam M Ravi (Gambar fail: TODAY)
SINGAPURA: Pejabat Peguam Negara (AGC) menghantar surat kepada peguam M Ravi yang menuntut agar beliau meminta maaf dan menarik balik tuduhan yang dibuatnya semasa satu wawancara mengenai kes seorang pembawa dadah yang sebelum ini dijatuhi hukuman mati.
Encik Ravi membuat tuduhan terhadap pihak pendakwaan yang menurut AGC adalah "palsu dan bersifat amat mengapi-apikan" dalam wawancara video dengan The Online Citizen (TOC) pada Isnin, setelah kes Encik Ravi bagi pihak Gobi Avedian selesai di Mahkamah Tinggi.
Dalam satu kenyataan pada Selasa (20 Okt), AGC menyatakan pihaknya menhantar surat kepada Encik Ravi pada awal hari Selasa untuk menuntut kenyataan maaf dan memintanya untuk menarik balik tanpa syarat tuduhan yang dibuatnya.
Berikutan permohonan Encik Ravi bagi pihak Gobi, banduan rakyat Malaysia itu dijatuhi hukuman penjara dan hukuman sebat atas tuduhan yang dikurangkan kepada percubaan mengimport dadah dan bukan hukuman mati kerana mengimport dadah.
AGC menuntut Encik Ravi agar menarik balik dakwaan yang dibuatnya dalam wawancara dengan TOC seperti berikut:
- Bahawa pendakwa raya "keterlaluan" dalam pendakwaan Gobi, dan ini "telah membawa kepada hukuman mati" bagi Gobi;
- bahawa adalah "membimbangkan" pihak pendakwaan membawa kes yang berbeza di hadapan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan;
- bahawa pendakwa raya, antara pihak-pihak lain, harus meminta maaf kepada Gobi atas penderitaan yang dilalui;
- dan bahawa keadilan pendakwaan dipersoalkan oleh Mahkamah Rayuan.
"Ini adalah tuduhan serius bahawa pendakwa raya telah bertindak dengan niat tidak baik atau jahat dalam pendakwaan (Gobi)," kata AGC.
"Tuduhan itu adalah palsu dan bersifat amat mengapi-apikan. Ia adalah amat tidak wajar dan bertentangan dengan kewajipan Encik Ravi sebagai seorang pegawai mahkamah apabila beliau membuat tuduhan tidak berasas dan mengelirukan itu."
AGC menambah bahawa Mahkamah Rayuan tidak mempunyai dapatan buruk terhadap pendakwa raya dalam pendakwaan Gobi.
Hakikatnya, Mahkamah Rayuan menyatakan dalam keputusannya bahawa keputusan awal untuk mensabitkan Gobi adalah "betul pada masa ia dibuat", dan tiada hujah yang dipertimbangkan dalam penghakiman itu "boleh dibuat berdasarkan pandangan kedudukan undang-undang seperti yang difahami ketika itu ".
Penghakiman itu juga menggariskan bahawa pihak-pihak terlibat tidak mempunyai kelebihan sandaran kes baru Adili Chibuike Ejike lwn PP.
AGC memberi masa kepada Encik Ravi sehingga tengah hari 22 Okt untuk memberi jawapan.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.