Skip to main content

Singapura

AGC perjelas keputusan kurangkan pertuduhan kes bunuh Orchard Towers selepas terima pertanyaan

Pejabat Peguam Negara (AGC) mengeluarkan kenyataan pada Selasa (20 Okt) bagi menjelaskan keputusan untuk mengurangkan pertuduhan di mahkamah bagi kes Orchard Towers, yang pada awalnya menyaksikan tujuh orang didakwa atas pembunuhan seorang lelaki berusia 31 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
AGC perjelas keputusan kurangkan pertuduhan kes bunuh Orchard Towers selepas terima pertanyaan

Kertas tisu berdarah di pintu masuk Orchard Towers pada 2 Julai 2019. (Gambar: 8world News/Cai Youxia)

Diterbitkan : 21 Oct 2020 01:58AM Dikemas Kini : 21 Oct 2020 02:00AM

SINGAPURA: Pejabat Peguam Negara (AGC) mengeluarkan kenyataan pada Selasa (20 Okt) bagi menjelaskan keputusan untuk mengurangkan pertuduhan di mahkamah bagi kes Orchard Towers, yang pada awalnya menyaksikan tujuh orang didakwa atas pembunuhan seorang lelaki berusia 31 tahun.

Tan Sen Yang, Joel Tan Yun Sheng, Chan Jia Xing, Ang Da Yuan, Loo Boon Chong, Tan Hong Sheng dan Natalie Siow Yu Zhen didakwa pada Julai tahun lalu atas niat yang sama untuk membunuh Encik Satheesh Noel Gobidass, 31 tahun.

Daripada tujuh individu itu, hanya Tan Sen Yang berdepan dengan tuduhan membunuh. Dia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada Selasa (20 Okt) dan dituduh menyebabkan kematian Encik Satheesh Noel dengan menggunakan kerambit dengan niat untuk menyebabkan pelbagai kecederaan pada bahagian kepala dan leher mangsa.

Dakwaan-dakwaan terhadap enam lagi individu sudah dikurangkan, dengan empat kes sudah dimuktamadkan. Kes-kes terhadap dua lelaki - Tan Hong Sheng and Loo - sedang berjalan.

"AGC menerima pertanyaan berhubung tuduhan-tuduhan terhadap pelbagai individu yang terlibat dalam insiden berkenaan, dan ingin menjelaskan perkara tersebut," menurut pejabat pendakwa raya.

Pada awal pagi 2 Julai 2019, ketujuh-tujuh individu itu sedang meminum arak di Naughty Girl Club di tingkat dua Orchard Towers. Tan Sen Yang pada "satu ketika" dipercayai meletakkan sebilah pisau di atas meja dan ini dilihat oleh beberapa orang dalam kumpulan itu.

Semasa kumpulan itu meninggalkan bangunan tersebut, Encik Satheesh Noel bersemuka dengan mereka.

PERTUDUHAN DIKURANGKAN TERHADAP ANG, SIOW, JOEL TAN

Tan Sen Yang, Ang, Siow dan Joel Tan berkelahi dengan mangsa, dengan Tan Sen Yang dipercayai beberapa kali mengelar mangsa.

Tiga yang lain, iaitu Chan, Tan Hong Sheng dan Loo "sama ada tidak terlibat atau cuba meleraikan pergaduhan itu", menurut AGC pada Selasa.

Ang, Siow dan Joel Tan mengaku menendang dan menumbuk Encik Satheesh Noel semasa pergaduhan itu.

"Bagaimanapun, tiada rancangan sebelumnya untuk menyerangnya," menurut AGC.

"Keseluruhan insiden itu, dari waktu pertama kali mereka bersemuka sehingga ketika mangsa rebah, berlaku kurang seminit. Mereka juga tidak tahu bahawa Tan akan menggunakan senjata semasa pergaduhan itu."

Tindakan mereka menyebabkan luka dan melecet pada bahagian atas badan mangsa, yang disifatkan sebagai "kecil dan tidak membawa maut", menurut AGC, sambil menambah bahawa tidak ada bukti yang mencukupi untuk menunjukkan bahawa "mereka berniat untuk menyebabkan lebih daripada sekadar kecederaan".

Ang, Siow dan Joel Tan didakwa dengan tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan dengan niat yang sama.

Memandangkan Ang dan Siow masih berada bersama Tan meskipun mengetahui bahawa dia membawa kerambit, mereka berdua didakwa dengan tuduhan bersubahat dengan seseorang yang membawa senjata berbahaya di tempat awam.

ANG, SIOW DAN JOEL TAN DIJATUHI HUKUMAN

Atas dasar luka dan melecet saja, "hukuman biasa" kerana sengaja menyebabkan kecederaan dengan niat yang sama adalah hukuman denda, menurut AGC.

Ini tergolong dalam kumpulan denda paling rendah bagi denda atau atau hukuman penjara sehingga empat minggu, berdasarkan garis panduan daripada kes lalu.

"Memandangkan terdapat keganasan kumpulan dan kegelisahan orang ramai kerana pergaduhan itu berlaku semasa ramai orang berada di tempat tersebut, dan diimbangi dengan pengakuan bersalah daripada orang-orang yang dituduh, hukuman penjara sebulan yang diminta untuk Joel Tan dan Siow bagi tuduhan berkenaan," menurut pejabat pendakwa raya.

"Oleh kerana Ang didapati bertindak ganas, hukuman penjara selama dua bulan diminta bagi tuduhan tersebut."

Bagi tuduhan bersubahat dengan seseorang individu yang membawa senjata berbahaya di tempat awam, pihak pendakwa meminta hukuman penjara selama enam bulan dan enam sebatan terhadap Ang.

Memandangkan Siow tidak boleh disebat kerana dia adalah seorang wanita, hukuman penjaranya ditambah lagi tiga bulan, menjadikan hukuman yang diminta dikenakan terhadapnya selama sembilan bulan secara keseluruhannya.

Hukuman-hukuman ini yang diusulkan oleh pihak pendakwa sejajar dengan garis panduan Amalan Hukuman Mahkamah bagi Mahkamah Rendah, menurut AGC.

Ang dijatuhi hukuman penjara selama lapan bulan dan disebat enam kali, dengan hukuman bagi kedua-dua tuduhan berjalan berturut-turut.

Siow, yang tiada sabitan sebelumnya, dijatuhi hukuman penjara selama lima bulan sebagai tambahan kepada 107 hari yang dia ditahan reman sebelum itu.

Joel Tan, yang tiada sabitan sebelumnya, dijatuhi hukuman penjara selama sebulan.

AMARAN BERSYARAT BAGI CHAN

Chan, yang tidak terlibat dalam pergaduhan itu, diberikan amaran bersyarat selama 12 bulan atas tuduhan bersubahat dengan seseorang inidvidu yang membawa senjata berbahaya di tempat awam.

AGC menyatakan bahawa pihaknya sudah menimbangkan fakta-fakta kes dan pelibatan Chan, termasuk "dia cuba menghentikan serangan" ke atas Encik Satheesh Noel, serta kerjasamanya dalam siasatan polis.

Pejabat pendakwa raya menyatakan ia mengarahkan pihak polis untuk mengeluarkan amaran terhadapnya, dan tuduhan terhadap Chan boleh dikenakan terhadapnya jika dia melakukan lagi kesalahan dalam tempoh 12 bulan.

DUA KES BELUM SELESAI

Kes-kes terhadap Tan Hong Sheng dan Loo masih belum dibicarakan.

Tan Hong Sheng berdepan dengan satu tuduhan bersubahat dengan individu yang membawa senjata berbahaya di tempat awam, manakala Loo menghadapi satu tuduhan bersubahat dengan individu yang membawa senjata berbahaya di tempat awam dan satu tuduhan menghalang proses keadilan.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita