AGC: Penekanan lebih besar pada prinsip-prinsip penghakiman daripada pertimbangan kes sebelumnya
Pejabat Peguam Negara (AGC) akan memberi lebih banyak penekanan pada prinsip-prinsip penghakiman berbanding pertimbangan daripada kes sebelumnya.
SINGAPURA: Pejabat Peguam Negara (AGC) akan memberi lebih banyak penekanan pada prinsip-prinsip penghakiman berbanding pertimbangan daripada kes sebelumnya.
Ini dilakukan ketika memutuskan hukuman untuk menyerahkannya kepada mahkamah, kata Peguam Negara Lucien Wong hari ini (8 Jan) pada pembukaan Tahun Guaman 2018.
"Tumpuan utama adalah untuk mengukuhkan kedudukan menjatuhkan hukuman berdasarkan tahap kesalahan dan kerosakan, yang kemudian disesuaikan mengikut faktor yang memudaratkan atau mengurangkan hukuman," jelas Encik Wong.
"Dengan cara ini, kami dapat memberi pertimbangan sepenuhnya kepada pilihan hukuman yang ditetapkan di bawah undang-undang, bagi memastikan hukuman yang setimpal."
Peguam Negara menambah "rasa tidak puas hati dan kemarahan" dalam kes-kes berprofil tinggi baru-baru ini di mana "orang awam berpendapat kesalahan yang benar-benar teruk tidak menerima hukuman setimpal".
Beliau menukil kes yang melibatkan pelayan wanita kurang daya intelek Annie Ee, yang didera hingga mati oleh pasangan yang tinggal serumah. Kes tersebut mencetuskan kemarahan ramai berhubung betapa teruk Cik Ee dianiaya. Sebilangan anggota masyarakat turut mempersoalkan mengapa pasangan tersebut tidak didakwa dengan tuduhan membunuh.
Dalam ucapannya, Encik Wong berkata: "Keputusan yang dibuat dengan mengambil kira kepentingan masyarakat umum tidak semestinya sama dengan keputusan yang dapat diterima ramai.
"Kami ingin orang rami lebih memahami lebih baik tentang sifat kompleks penghakiman yang perlu dibuat dan dasar lebih luas dalam membantu kami membuat keputusan."
Beliau menambah terdapat "ruang yang cukup" bagi AGC untuk bersifat lebih terbuka dalam pendekatannya untuk menjelaskan penghakiman kepada orang ramai.
Dalam kes Cik Ee, AGC sudah mengeluarkan kenyataan tentang sebab-sebab mengapa pasangan itu tidak didakwa dengan tuduhan membunuh.
Encik Wong menekankan, mahkamah bagaimanapun "tidak akan mengambil pandangan jangka pendek atau membenarkan suara minoriti untuk mempengaruhi tindakan kami".
"Dalam apa sahaja yang kita lakukan, AGC akan terus berpegang teguh pada prinsip dan peraturan undang-undang, dan ini akan membimbing kami untuk melakukan apa yang adil dan tepat bagi rakyat dan sistem ini," tambah beliau.
Biasanya, para hakim akan merujuk pada kes-kes sebelumnya dan tanda aras lain bagi memastikan kes serupa ditangani sama. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, garis panduan penghakiman berstruktur sudah ditetapkan untuk kesalahan seperti merogol, memandu dalam keadaan mabuk, mengelak daripada menjalani Perkhidmatan Negara, yang menggunakan pelbagai hukuman yang diperuntukkan di bawah undang-undang.
"Orang ramai harus yakin bahawa... tiada salah laku yang tidak dijatuhi hukuman, bahawa semua kesalahan akan dihukum secara adil, dan semua orang akan diperlakukan sama rata di bawah undang-undang," kata Encik Wong.
KURANGKAN PENDERITAAN DALAM PERTELINGKAHAN KELUARGA
Secara berasingan, Hakim Besar Sundaresh Menon memberikan perkembangan tentang Mahkamah Keadilan Keluarga dan inisiatif-inisiatifnya untuk mengurangkan rasa tidak puas hati dalam menghuraikan kes-kes melibatkan perselisihan keluarga.
Terdapat peratusan lebih tinggi berkaitan kes-kes yang diputuskan di bawah pilihan lebih mudah bagi kes penceraian yang tidak ditentang, yang bertujuan membantu mengurangkan penderitaan pihak-pihak yang terlibat. Pada 2015, 24 peratus kes yang difailkan diputuskan di bawah pendekatan yang lebih mudah, dan peratusannya melonjak kepada 49 peratus pada 2017.
Peratusan penceraian yang dibicarakan di mahkamah juga turun - pada 2016, kurang tujuh peratus perbicaraan penceraian diadakan atas alasan penceraian atau hal-hal sampingan.
Hakim Menon mengatakan ini disebabkan lebih banyak usaha perantaraan dan kaunseling untuk menggalak pihak-pihak berkenaan menyelesaikan perbezaan mereka dengan cara lebih tenang.
"Tinjauan sains sosial menunjukkan bahawa proses yang lebih sulit akan lebih menjejas pihak-pihak berkenaan terutama sekali anak mereka. Justeru, kami harus meneruskan usaha-usaha pembaharuan bersama bagi melindungi mereka yang terlibat dalam pertikaian keluarga seperti ini."
Mahkamah Keadilan Keluarga akan bekerjasama dengan Persatuan Undang-Undang untuk meneroka kemungkinan mengadakan Skim Bantuan Undang-Undang Keluarga.
Ini berikutan kejayaan Skim Bantuan Guaman Jenayah di mana golongan kurang mampu menerima bantuan guaman. Hakim Besar Menon berkata bahawa idea ini bagi menghasilkan "model bayaran rendah" yang akan "meningkatkan akses kepada perkhidmatan undang-undang bagi mereka dalam golongan pertengahan yang mengalami pertikaian keluarga."
"Dasarnya adalah jika peguam-peguam terlatih dan komited menggunakan kebijaksanaan mereka untuk menangani pertikaian ini, ia juga dapat membantu mengurangkan penderitaan mereka yang terlibat dalam prosiding perceraian itu," kata Hakim Besar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.