Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AGC mulakan prosiding berhubung hina mahkamah terhadap ketua editor TOC Terry Xu

Pejabat Peguam Negara (AGC) sudah memulakan prosiding penghinaan terhadap mahkamah ke atas Terry Xu, iaitu ketua editor laman sosiopolitik The Online Citizen (TOC).

Anggaran Waktu Membaca:
AGC mulakan prosiding berhubung hina mahkamah terhadap ketua editor TOC Terry Xu

Ketua Editor laman sosio-politik The Online Citizen, Terry Xu. (Gambar: TODAY/Nuria Ling)

Diterbitkan : 19 Aug 2021 09:33AM Dikemas Kini : 19 Aug 2021 09:36AM

SINGAPURA: Pejabat Peguam Negara (AGC) sudah memulakan prosiding penghinaan terhadap mahkamah ke atas Terry Xu, iaitu ketua editor laman sosiopolitik The Online Citizen (TOC).

Menjawab pertanyaan Mediacorp, AGC menyatakan pada Rabu (18 Ogos) malam bahawa permohonannya, yang diserahkan pada 11 Ogos, dibuat sebagai respons terhadap catatan blog di laman TOC yang diterbitkan pada 27 Januari yang bertajuk "Surat terbuka kepada Hakim Besar Singapura mengenai pengecualian dalam ucapan 'Pembukaan Tahun Undang-Undang 2021'".

Penulis bernama Julie O'Connor mempersoalkan sejauh mana adilnya sistem kehakiman di Singapura, merujuk kepada kes-kes tahun lalu berkaitan Cik Parti Liyani, bekas pembantu rumah yang dibebaskan daripada tuduhan mencuri; Encik Li Shengwu, yang didenda kerana menghina mahkamah, dan juga kes Cik Lee Suet Fern, yang didapati bersalah atas salah laku dalam menangani wasiat Encik Lee Kuan Yew.

Cik O'Connor menujukan rencananya kepada Hakim Besar Sundaresh Menon dan merujuk kepada ucapan yang disampaikan semasa satu majlis bagi menandakan pembukaan tahun perundangan 2021.

Xu kini terlibat dalam saman fitnah oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengenai rencana yang juga diterbitkan di TOC mengenai kediaman keluarga Lee di 38 Oxley Road.

Xu juga sedang dibicarakan atas tuduhan berasingan jenayah fitnah kerana menerbitkan rencana pada September 2018 yang mendakwa berlaku rasuah dalam kalangan peringkat tertinggi Pemerintah.

Mengenai catatan blog pada 27 Januari yang diterbitkan oleh TOC, AGC menyatakan bahawa "rencana itu menjatuhkan kewibawaan badan kehakiman Singapura dengan, antara lainnya, menyindir bahawa hakim tidak komited kepada kebenaran, memihak kepada individu yang mempunyai hubungan politik, adalah faktor penganiayaan politik, dan memutuskan kes berdasarkan perkara selain daripada merit”.

Dengan menerbitkannya di laman TOC dan Facebook, Encik Xu bertanggungjawab atas penghinaan di bawah Seksyen 3(1)(a) Akta Pentadbiran Kehakiman (Perlindungan), jelasnya.

Hakim Hoo Sheau Peng pada 6 Ogos memberikan izin kepada AGC untuk memohon bagi perintah komital terhadap Encik Xu.

"Oleh kerana hal tersebut kini dibicarakan di mahkamah, AGC tidak dapat mengulas lanjut," tambahnya.

Encik Lim Tean, yang merupakan peguam Encik Xu, menyatakan dalam satu catatan Facebook pada awal Rabu bahawa anak guamnya akan "mencabar" prosiding yang dimulakan terhadapnya.

Encik Lim menambah bahawa pengarang bagi catatan blog tersebut "belum disiasat atau didakwa menghina mahkamah".

"Oleh kerana prosiding ini pasti berhubung kepentingan awam, AGC harus mengeluarkan kenyataan yang mereka sudah difailkan di mahkamah untuk menyokong permohonan mereka ... agar masyarakat dapat menilai fakta-fakta kes itu," kata Encik Lim.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan