AGC beri amaran tentang penipuan gunakan namanya
(Gambar fail: CNA/Syamil Sapari)
SINGAPURA: Pejabat Peguam Negara (AGC) pada Rabu (25 Okt) memaklumkan orang ramai tentang surat penipuan yang menggunakan namanya.
Surat itu, yang diterima oleh seorang individu di luar negara, meminta penerima membuat pembayaran berkaitan dengan perkara yang disyaki melibatkan pengubahan wang haram.
Ia ditandatangani oleh seseorang yang mendakwa sebagai peguam kanan AGC.
"Surat itu adalah palsu dan tidak dihantar oleh AGC," menurut kenyataan yang dikeluarkan, sambil menambah bahawa AGC tidak meminta orang ramai untuk memindahkan wang ke akaun pihak ketiga.
"Surat itu juga mengandungi beberapa kesilapan tipografi dan tatabahasa, yang menunjukkan tanda-tanda bahawa surat itu tidak sahih."
AGC menasihatkan orang ramai agar terus berwaspada terhadap penipuan tersebut dan tidak memberikan maklumat peribadi – termasuk nama, nombor pengenalan, butiran pasport, maklumat hubungan dan butiran akaun bank dan kad kredit – kepada pihak yang mencurigakan atau tidak dikenali.
Sesiapa yang telah menerima surat yang mencurigakan yang didakwa daripada AGC harus menghentikan sebarang perhubungan dengan pengirim, menghubungi AGC untuk mengesahkan kesahihannya dan membuat laporan polis, tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.