Skip to main content

Singapura

AGC akan putuskan tindakan terhadap Ong Beng Seng selepas kes S Iswaran selesai

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Jan 2024 03:53PM Dikemas Kini : 18 Jan 2024 09:05PM
SINGAPURA: Pejabat Peguam Negara (AGC) akan membuat keputusan tindakan yang diambil ke atas Ong Beng Seng hanya selepas kes Encik S Iswaran selesai, menurutnya sebagai menjawab soalan media, pada Khamis (18 Jan).

Mantan Menteri Pengangkutan Iswaran, 61 tahun, didakwa atas 27 tuduhan awal sebelum itu atas beberapa kesalahan, termasuk rasuah dan memperoleh barangan bernilai semasa bertugas sebagai pegawai perkhidmatan awam, serta menghalang proses keadilan.

Beliau meletak jawatan dalam Kabinet dan sebagai Anggota Parlimen (AP).
Beberapa dakwaan melibatkan hadiah daripada Encik Ong termasuk tiket bagi persembahan teater dan perlawanan bola sepak.
Encik Ong, seorang rakyat Malaysia yang berpangkalan di Singapura, dikenali sebagai individu yang membawa Formula One (F1) ke Singapura. Beliau juga memiliki beberapa perniagaan seperti hotel dan fesyen jenama mewah bersama isterinya, Cik Christina Ong.

"Selain Encik S Iswaran, CPIB (Biro Siasatan Amalan Rasuah) juga menyiasat peranan individu lain dalam isu ini, termasuk Encik Ong Beng Seng," dedah AGC.

"Pejabat Peguam Negara akan membuat keputusan berkaitan siasatan terhadap Encik Ong dan individu lain, selepas kes Encik S Iswaran selesai, termasuk pembentangan bukti di mahkamah."

Pakar undang-undang yang bercakap dengan Mediacorp berkata kenyataan AGC itu bukan sesuatu yang luar biasa, terutama sekali bagi kes rasuah, dan Encik Ong mungkin akan memainkan peranan sebagai saksi pendakwa dalam perbicaraan Encik Iswaran.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita