Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AGAB 2024: Dedikasi 3 guru Bahasa Melayu guna pendekatan kreatif diiktiraf

Tiga guru Bahasa Melayu dinobatkan sebagai penerima Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB) tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tiga guru Bahasa Melayu dinobatkan sebagai penerima Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB) tahun ini.

Mereka terpilih atas usaha dan dedikasi mereka dalam memperkenalkan dan menggunakan pendekatan inovatif dalam pembelajaran bahasa Melayu.

Berucap di majlis yang diadakan di The Chevrons pada Sabtu (26 Okt), tetamu terhormat Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng memuji komitmen serta sumbangan kesemua 77 penerima AGAB sejak ia diperkenalkan pada 2007.

Mereka juga bergabung untuk membentuk Kumpulan Kerja AGAB bagi memikirkan cara dan teknik pengajaran yang sesuai untuk memupuk minat dalam diri pelajar mereka terhadap Bahasa Melayu.

"Bahasa Melayu bukan sekadar wadah perhubungan. Ia adalah jambatan kepada warisan, sejarah dan nilai kita yang kaya. Keindahannya terletak pada kedalamannya, dengan ungkapan dan pepatah yang tersirat pelbagai lapisan makna. Ini mencerminkan kebijaksanaan dan pengalaman nenek moyang kita.

"Melalui Bahasa Melayu, kita mewariskan kisah-kisah daya tahan, masyarakat dan identiti yang dikongsi buat generasi akan datang. Identiti yang dikongsi ini akan membantu kita memupuk warga negara yang aktif dan membina Singapura yang lebih kukuh," kata Dr Tan yang juga Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan.

AGAB TERIMA 394 PENCALONAN

Tiga orang guru itu terpilih daripada 394 pencalonan yang diterima tahun ini.

Satu-satunya penerima Anugerah Kategori Teladan dalam edisi ke-18 AGAB ialah Ketua Jabatan Bahasa Ibunda, Sekolah Menengah Woodlands Ring, Cikgu Hafiza Yahya.

Anugerah tersebut mengiktiraf dedikasi beliau kepada pendidikan Bahasa Melayu selama lebih 20 tahun.

"Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB) adalah salah satu pencapaian yang tinggi. Untuk menerima anugerah ini, saya rasa sangat rendah hati dan rendah diri dan juga sangat terharulah. Terharu kerana pertama sekali dicalonkan dengan guru-guru lain yang sungguh berprestasi," kata Cikgu Hafiza kepada wartawan Syawal Yusoff.

GUNA MEDIA SOSIAL UNTUK TARIK MINAT PELAJAR

Di dalam kelasnya, para pelajar digalakkan untuk bermain dan berinteraksi demi memupuk semangat kerjasama antara mereka.

Elemen interaktif sering diterapkan Cikgu Hafiza adalam kelas-kelas Bahasa Melayu di peringkat Menengah satu, tiga, empat dan lima.

Selain itu, Cikgu Hafiza, 41 tahun juga menggunakan media sosial untuk mendedahkan para pelajar kepada isu-isu kontemporari bagi memperkayakan pengetahuan am mereka.

"Kalau remaja sekarang suka gunakan TikTok, saya mengadakan bahan-bahan pengajaran yang ringkas kerana tumpuan dan fokus mereka sangat singkat. Jadi apabila saya memberikan mereka tip ataupun ada kandungan yang saya rasa sangat berguna bagi mereka, saya akan kongsi kepada mereka," ujarnya.
(Gambar: Syawal Yusoff)
KAITKAN SUBJEK LAIN DENGAN BAHASA MELAYU

Sebagai seorang ibu kepada empat cahaya mata juga, beliau juga prihatin dengan pembangunan para pelajarnya di luar bilik darjah.

Lantaran itu, beliau mengatur langkah kreatif untuk memastikan pengajarannya tidak terhad kepada Bahasa Melayu sahaja.

"Kita mesti mengikut arus kemodenan, arus perkembangan. Saya suka kaitkan subjek ‘social studies’. Saya suka betul kaitkan subjek sejarah. Subjek geografi, ilmu alam dan sebagainya. Ada juga sedikit ilmu agama tentu sekali kerana saya rasa sebagai guru bahasa Melayu, salah satu ialah nilai Islam," kata Cikgu Hafiza yang pernah mengajar di Sekolah Menengah Fuchun dan Institusi Raffles sebelum ini.

Sepanjang 21 tahun dalam bidang pendidikan, Cikgu Hafiza percaya pentingnya untuk membina hubungan yang erat dengan para pelajar dan rakan pendidik.

Inilah antara yang beliau cuba teladani daripada pendeta Cikgu Ariff Ahmad yang beliau kagumi.

Beliau berkongsi: "Apa yang saya mempelajari daripada Cikgu Ariff adalah untuk sentiasa berkolaborasi dengan guru-guru yang lain. Kita mesti melihat kepada kekuatan semua rakan rakan seperjuangan kita. Kalau kita hanya melakukan perkara secara berdikari, macam tidak mahu meminta bantuan, kita hanya dalam ketinggalan."
(Gambar: Syawal Yusoff)
2 GURU TERIMA ANUGERAH KATEGORI PERANGSANG

Anugerah Kategori Perangsang AGAB yang mengiktiraf sumbangan guru-guru yang berkhidmat kurang dari 10 tahun disampaikan kepada dua orang guru tahun ini.

Antaranya ialah Cikgu Faridah Mohamed Ali dari Sekolah Rendah Fuhua.

Pencapaian yang dapat dibanggakannya sepanjang enam tahun berkhidmat sebagai pendidik ialah usahanya bagi mengubah pengalaman pembelajaran menjadi sesuatu yang menyeronokkan dan bermakna dengan menggunakan aktiviti kreatif.

Contohnya, menyuntik elemen nyanyian ke dalam ucapan 'selamat pagi'.

"Mereka akan menyanyi sebuah lagu tentang kepentingannya menimba ilmu. Saya mengambil lagu-lagu ini daripada lagu-lagu rakyat. Daripada mereka menyanyi itu, mereka dah rasa bahawa ini merupakan suatu suasana yang selamat untuk saya belajar dan tidak bukan bukanlah sesuatu yang menggerunkan atau menyeramkan. Jadi itulah merupakan salah satu cara," kata Cikgu Faridah, 31 tahun.
MANFAATKAN AI DALAM KELAS

Elemen moden dan tradisional sering digabungkan di dalam kelas-kelasnya.

Dengan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi program bacaan ThingLink dan Craiyon, murid-murid belajar tentang cerita rakyat dengan cara yang interaktif.

Pendekatan itu bukan sahaja memperkukuh penguasaan bahasa Melayu mereka tetapi juga meningkatkan pengetahuan mereka mengenai keindahan bahasa dan budaya Melayu.

"Murid-murid belajar juga tentang legenda-legenda Singapura seperti Hang Nadim, Badang dan juga apakah nilai-nilai yang mereka belajar daripada cerita-cerita sebegini. Mereka menggunakan AI ini untuk mencipta semula gambar-gambar Hang Nadim, Badang untuk mereka lebih faham akan cerita itu dan lebih ingat dan menghargai khazanah Melayu yang ada," ujarnya.
(Gambar: Syawal Yusoff)
GALAK PELAJAR LAKUKAN KERJA-KERJA KEMASYARAKATAN

Pembelajaran juga tidak terhad di dalam bilik darjah.

Cikgu Faridah juga giat memupuk nilai-nilai kemasyarakatan dalam kalangan para pelajarnya.

Hasil kerjasama dengan Kelab Masyarakat Yuhua, Cikgu Faridah giat menganjurkan kegiatan-kegiatan kemasyarakatan semasa musim perayaan sejak tiga tahun lalu.

"Murid-murid juga belajar untuk menghargai warga emas yang telah banyak menyumbang dan juga membangunkan Singapura. Dari situ, kami memupuk suatu hubungan yang rapat dan merapatkan jurang antara kanak-kanak yang berusia 9 hingga 12 tahun dan juga generasi perintis. Mereka belajar daripada generasi ini tentang peri pentingnya nilai-nilai murni, bagaimana untuk mencintai negara," jelas Cikgu Faridah, seorang ibu tiga cahaya mata.
 
(Ihsan: Faridah Mohamed Ali)
Di samping usahanya sendiri, Cikgu Faridah turut menzahirkan penghargaan buat guru-guru bahasa Melayunya yang banyak menyuntik ilham dalam dirinya.

"Saya mendapat inspirasi daripada guru-guru saya yang bergerila dalam perjuangan mereka untuk menghidupkan Bahasa Melayu dari sudut mereka mengkaji dan memastikan bahawa kami guru-guru juga berwibawa untuk meneruskan bahasa dan budaya ini. Jadi buat saya, ini merupakan suatu tanggungjawab dan juga simbol peringatan yang menegaskan tentang peranan saya sebagai guru dan pendidik Bahasa Melayu," katanya.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Seorang lagi penerima Anugerah Kategori Perangsang ialah Cikgu Siti Aishah Mohamed Kamsani dari Sekolah Menengah Swiss Cottage.

Dengan pengalaman hampir lapan tahun sebagai guru, beliau menitikberatkan kepentingan nilai-nilai kebudayaan bagi merancakkan lagi pengalaman pembelajaran.

Menerusi persembahan teater 'Dari Pena Ke Panggung' anjuran Kementerian Pendidikan, para pelajar Sastera Melayu di sekolahnya diberi wadah untuk meneroka bahasa Melayu dengan cara menarik dan menyeronokkan.

Cikgu Siti Aishah juga telah memperkenalkan pendekatan baharu untuk memastikan kurikulum Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE) kekal segar dan relevan.
Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan