Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Aduan terhadap kontraktor ubah elok naik hampir 50% pada 2021: CASE

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 31 Jan 2022 01:08PM Dikemas Kini : 31 Jan 2022 11:16PM

SINGAPURA: Jumlah aduan pengguna terhadap kontraktor kerja ubah suai melonjak hampir 50 peratus pada 2021, dengan hampir setengah daripadanya berkaitan mutu kerja yang kurang memuaskan ataupun kegagalan kontraktor untuk menyelesaikan projek mengikuti jadual yang ditetapkan. 

Ini berikutan data yang didedahkan Persatuan Pengguna Singapura (CASE) hari ini (31 Jan) tentang aduan pengguna bagi 2021.  Sebanyak 15,515 aduan dicatatkan tahun lalu, turun 15.3 peratus berbanding 18,335 aduan yang dilaporkan pada 2020, menurut CASE. 

"Jumlah aduan berkurangan disebabkan kemerosotan yang ketara pada jumlah aduan terhadap industri pelancongan, perubatan dan bekalan yang diperlukan bagi sistem kesihatan," menurut CASE. 

Daripada 15,515 aduan yang diterima, CASE menasihatkan 86.7 peratus pengguna tentang cara untuk menghuraikan pertikaian yang dihadapi dengan perniagaan-perniagaan tersebut. CASE juga membantu 13.3 peratus pengguna untuk berunding dan menjadi orang tengah untuk menghuraikan pertikaian dengan perniagaan-perniagaan itu. 

Secara keseluruhan, CASE menyatakan 64.7 peratus kes diselesaikan, dengan S$2 juta - secara wang tunai dan barangan - didapatkan semula untuk para pengguna. 

Persatuan itu juga menyatakan jumlah aduan pengguna yang diterima pada 2021 sudah kembali kepada paras sebelum 2020, satu "petanda awal" bahawa tabiat dan kelakuan pembelian pengguna di Singapura sudah kembali stabil seperti paras yang dicatatkan sebelum pandemik. 

ADUAN TERHADAP KONTRAKTOR KERJA UBAH SUAI MENINGKAT 

CASE menerima 1,300 aduan terhadap kontraktor kerja ubah suai rumah pada 2021, naik hampir 50 peratus daripada 869 aduan pada 2020. 

"Hampir separuh aduan terhadap industri tersebut adalah tentang kegagalan kontraktor untuk menyelesaikan projek mengikuti jadual dan mutu kerja yang kurang memuaskan," menurut persatuan tersebut. 

Kenaikan jumlah aduan itu dikaitkan dengan kekurangan berpanjangan tenaga manusia dan bahan mentah disebabkan kawalan sempadan akibat COVID-19 yang berlarutan, permintaan terpendam dalam pasaran hartanah kediaman dan juga permintaan bagi kerja ubah elok rumah tahun pada lalu. 

"Untuk melindungi hak pengguna, mereka dinasihatkan agar mengelak membuat bayaran awal yang besar jumlahnya dan berunding untuk membuat bayaran secara berperingkat selepas setiap fasa kerja ubah suai diselesaikan," kata Presiden CASE, Melvin Yong. 

KERUGIAN MELONJAK DALAM PEMBAYARAN AWAL

CASE juga menyatakan bahawa para pengguna yang membuat pembayaran awal bagi barangan ataupun khidmat seperti pakej kecantikan dan perkahwinan mengalami kerugian yang lebih besar tahun lalu. 

Para pengguna mengalami kerugian pembayaran awal lebih $520,000 tahun lalu, naik daripada S$190,000 yang dilaporkan pada 2020. 

Industri kecantikan dan perkahwinan mengalami kerugian pembayaran awal yang paling besar pada 2021. Para pengguna yang membuat pembayaran awal bagi pakej kecantikan dan perkahwinan tidak berhasil mendapat bayaran balik kerana perniagaan-perniagaan tidak mampu melakukannya.

INDUSTRI KECANTIKAN CATAT JUMLAH ADUAN PALING TINGGI PENGGUNA 

Aduan terhadap industri kecantikan berada di tempat teratas, merangkumi hampir 10 peratus aduan yang diterima pada 2021, menurut CASE. 

Persatuan tersebut menerima 1,434 aduan terhadap industri itu tahun lalu, naik lima peratus dalam tahun 2020. 

Sekitar 25 peratus aduan terhadap spa dan salon kecantikan berhubung kait dengan kaedah penjualan yang memberi tekanan terhadap pelanggan dan membuat dakwaan yang mengelirukan. 

Sebilangan pengguna mengadu bahawa mereka tidak dibenarkan meninggalkan tempat-tempat kecantikan itu sehingga mereka membeli pakej yang berharga lebih tinggi. Ada juga yang mengatakan mereka diberikan rawatan yang lebih mahal tanpa izin dan kemudian dicaj bagi rawatan-rawatan tersebut. 

Terdapat juga aduan tentang tempat-tempat kecantikan yang mengelirukan para pelanggan tentang jumlah sesi yang termasuk dalam pakej-pakej dan juga bagaimana rawatan-rawatan berkenaan boleh merawat ataupun mengurangkan penyakit kesihatan yang sudah ada. 

JUMLAH ADUAN TERHADAP INDUSTRI PELANCONGAN MEROSOT 

Sebaliknya, jumlah aduan terhadap industri pelancongan merosot sebanyak 62.6 peratus tahun lalu. 

Pada 2020, industri tersebut mencatat jumlah aduan tertinggi pengguna, menurut data CASE yang dikeluarkan tahun lalu. 

Bahagian "besar" aduan yang diterima berkaitan dengan tempahan perjalanan yang dibuat sebelum COVID-19 bermula, menurut CASE.

"Sebilangan pelanggan mengadu bahawa mereka tidak mendapat bayaran balik bagi baucar pelancongan yang sudah tamat tempoh, yang diberikan untuk penerbangan atau pakej lawatan yang ditunda pada 2020," tambah CASE. 

Selain itu, terdapat 18 aduan berkaitan tempahan penerbangan Laluan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) dan tiket bas. Kebanyakan daripadanya berkaitan pertukaran tempahan penerbangan dan isu kuarantin. 

"Memandangkan sekatan perjalanan yang berubah-ubah di seluruh dunia, para pengguna dinasihatkan supaya menempah tiket daripada syarikat penerbangan yang menawarkan tempahan semula penerbangan secara percuma," kata Encik Yong. 

Para pengguna juga dinasihatkan supaya  membaca syarat-syarat tempahan penerbangan ataupun pakej wisata dan meneliti syarat-syarat tertulis bagi bayaran balik dan pembatalan. 

JUMLAH ADUAN E-DAGANG MEROSOT

CASE menerima sebanyak 2,206 aduan berkaitan pembelian online pada 2021, menyumbang kepada kira-kira 14 peratus jumlah aduan yang diterima. 

Jumlah itu 49 peratus lebih rendah daripada 4,366 aduan yang diterima pada 2020, akibat kemerosotan mendadak jumlah aduan berhubung pelitup, cecair pembasmi kumas bagi tangan atau 'sanitiser', tiket penerbangan dan pakej wisata. 

Dua jenis aduan e-dagang yang biasa yang diterima pada 2021 adalah berkaitan barangan yang rosak atau "tidak memuaskan" dan juga masalah penghantaran, seperti penghantaran lewat, tidak lengkap ataupun salah. 

Secara keseluruhan, aduan terhadap industri kecantikan dan kontraktor kerja ubah elok kekal sebagai satu keprihatinan, kata Encik Yong. 

"CASE akan terus melibatkan Pemerintah dan rakan-rakan industri untuk memperkukuhkan perlindungan untuk pengguna dan melenyapkan amalan yang tidak adil tepat pada masanya." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan