Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Aduan polis terhadap aktiviti kutip hutang meningkat; MHA usul undang-undang kawal selia

Pemerintah sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan undang-undang bagi mengawal selia kegiatan mengutip hutang di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pemerintah sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan undang-undang bagi mengawal selia kegiatan mengutip hutang di Singapura.

Ia berikutan "jumlah tinggi aduan polis" terhadap pemungut hutang yang bertindak "dengan cara yang mencetuskan kecemasan dan gangguan kepada masyarakat awam" sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ketika mengumumkan perkara itu dalam satu kenyataan pada Rabu (15 Jun), Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menarik perhatian terdapat 272 aduan polis dibuat mengenai gangguan berhubung kegiatan mengutip hutang pada 2021, naik dari 134 laporan pada 2015.

Pada 2018, jumlah tinggi sebanyak 590 aduan polis dibuat terhadap kegiatan mengutip hutang.

Buat masa ini, tiada peraturan atau undang-undang sedia ada berhubung kegiatan mengutip hutang, menurut MHA, yang sudahpun memulakan rundingan awam mengenai peraturan yang diusulkan.

Seorang pemungut hutang, antara lain, perlu mengesahkan tujuan perbuatan mereka adalah orang yang berhutang dan tidak "mempamerkan atau menggunakan sebarang kata-kata, tingkah laku, tulisan, tanda mahupun paparan yang jelas dilihat sebagai mengancam secara fizikal".

Satu lagi saranan adalah untuk memperkenalkan rejim pelesenan dan kelulusan bagi syarikat yang mengutip hutang serta kakitangan mereka.

“Memandangkan pihk-pihak ini berkemungkinan besar membentuk sebahagian besar daripada kes tatalaku kutipan hutang yang bermasalah, peraturan yang paling ketat akan dikenakan ke atas mereka," menurut MHA.

Ini termasuk proses pemeriksaan oleh polis dan ia "serupa dengan proses permohonan bagi banyak rejim kawal selia yang lain".

Polis akan diberikan kuasa untuk mentadbir dan menguatkuaskan rejim pelesenan. Misalnya seperti meluluskan atau menolak permohonan lesen, menukar syarat-syarat pelesenan dan kelulusan serta menggantung atau menarik balik pelesenan dan kelulusan.

MENTAKRIF KEGIATAN MENGUTIP HUTANG

Penggubalan undang-undang yang diusulkan itu termasuk mentakrif aktiviti mengutip hutang sebagai "mana-mana kegiatan yang dijalankan untuk memungut sebarang hutang tetapi tidak termasuk menyediakan atau percubaan untuk menyediakan sebarang proses undang-undang mahupun surat tuntutan kepada mana-mana individu yang berhubung kait dengan penguatkuasaan mana-mana hutang."

Ini tertakluk kepada kedua-dua pengutipan hutang yang dipinjam daripada syarikat seseorang dan orang lain, baik individu mahupun syarikat.

Di bawah peraturan disarankan itu, kedua-dua kegiatan fizikal dan bukan fizikal - seperti mengunjungi tempat kerja atau kediaman penghutang dan membuat panggilan telefon kepada penghutang - akan dianggap sebagai kegiatan mengutip hutang.

"Takrifan ini ditetapkan berdasarkan skop yang luas untuk mencegah pengutip hutang yang ingkar daripada mencari jalan untuk melanggar peraturan," jelas MHA.

PELESENAN IKUT KELAS

Peraturan diusulkan itu tidak akan dikenakan ke atas entiti undang-undang dan pengamal ketakmampuan bayar yang sudahpun dikawal selia, pengutipan hutang yang dijalankan oleh atau bagi pihak Pemerintah serta aktiviti memungut hutang yang diuruskan mahkamah.

Satu saranan yang dikemukakan oleh MHA adalah untuk memberikan lesen kelas kepada syarikat yang menjalankan kutipan hutang secara meluas bagi mendapatkan semula wang yang dihutang daripada mereka tetapi mempunyai kepentingan utama komersil yang bukan melibatkan kutipan hutang.

“Perniagaan seumpama ini akan dinyatakan dalam undang-undang yang diusulkan itu dan ia merangkumi perniagaan yang dijalankan oleh pemiutang berlesen, bank, bank pedagang atau syarikat kewangan," menurut MHA.

Di bawah rangka kerja itu, syarikat-syarikat yang tergolong dalam lesen mengikut jenis kelas tidak perlu memohon bagi pelesenan atau kelulusan. Bagaimanapun, ia mesti mematuhi syarat-syarat mengutip hutang yang merupakan sebahagian daripada saranan tersebut.

PERATURAN KUTIP HUTANG

Antara peraturan lain yang diusulkan, seorang pengutip hutang tidak boleh:
  • Menyiarkan atau memaparkan sebarang notis mengenai hutang di mana-mana hartanah, kereta atau tempat kerja yang bukan milik penghutang atau di tempat awam
  • Meneruskan sebarang percubaaan untuk mengutip hutang atau berhubungan dengan seseorang individu yang mempunyai cara yang disahkan untuk menunjukkan bahawa hutang itu sedang dipertikaikan dan penghutang mahu melangsaikan hutang menerusi kaedah guaman seperti melalui mahkamah atau pengantaraan

Perundangan yang diusulkan itu, yang tidak menyatakan hukuman yang mungkin dihadapi mereka yang melanggarnya, boleh didapati di https://go.gov.sg/mha-consultation-paper-debt-collection-regulations.

Masyarakat awam boleh berkongsi pandangan mereka berhubung saranan itu sehingga 29 Jun di laman https://form.gov.sg/#!/62a965da55ac2a001467095b.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan