Aduan kesesakan selepas S'pura larang kenderaan asing dengan denda tertunggak
Para pengguna jalan raya mengadu tentang kesesakan di Koswe dan Linkedua Tuas selepas Singapura mula menguatkuasakan larangan ke atas kenderaan asing yang mempunyai denda belum dijelaskan pada Isnin (1 Apr), lapor The Star Online.

Kesesakan di laluan antara Malaysia dan Singapura (Gambar: Telegram/SG Custom & Msia Road)
SINGAPURA: Para pengguna jalan raya mengadu tentang kesesakan di Koswe dan Linkedua Tuas selepas Singapura mula menguatkuasakan larangan ke atas kenderaan asing yang mempunyai denda belum dijelaskan pada Isnin (1 Apr), lapor The Star Online.
Pada Februari, pihak berkuasa Singapura mengumumkan kenderaan asing dengan denda tertunggak bagi kesalahan-kesalahan trafik, meletak kenderaan atau pengeluaran asap mungkin akan dilarang daripada memasuki negara ini mulai April.
Menurut laporan Star Online pada Selasa, warga Malaysia yang melakukan perjalanan ke Singapura untuk tujuan kerja terperangkap dalam kesesakan di kedua-dua Koswe dan Linkedua dekat Gelang Patah.
Seorang penumpang memberitahu laman berita Malaysia itu bahawa kesesakan di Pusat Pemeriksaan Tuas "lebih teruk" kerana sebahagian pemandu menghentikan kenderaan mereka untuk membayar denda, sedang sebahagian lain terpaksa berpatah balik.
Kaunter pusat pemeriksaan di sebelah Malaysia tidak mencukupi yang menjadi punca utama kesesakan," kata Kathleen Ann Kili, 28 tahun, kepada laman berita itu. "Dengan larangan ini, situasi menjadi lebih teruk."
Keputusan Singapura melarang kenderaan asing dengan denda tertunggak daripada memasuki negara ini juga menyebabkan ramai memilih untuk mengambil pengangkutan awam, menurut laporan itu lagi.
Pekerja kilang Nurhanah Jasni Hashim, 30 tahun, memberitahu The Star Online orang ramai beratur panjang di JB Sentral sambil menunggu giliran untuk menaiki bas.
Mediacorp sudah menghubungi Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) untuk mengulas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.