Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Aduan diskriminasi bahasa dalam permohonan kerja tunjukkan trend merosot: TAFEP

Satu tinjauan oleh Institut Pengajian Dasar (IPS) dan OnePeople.sg mendapati kadar jumlah responden Melayu dan India yang berkata mereka rasa didiskriminasi semasa memohon untuk pekerjaan meningkat sejak 2013.

Anggaran Waktu Membaca:
Aduan diskriminasi bahasa dalam permohonan kerja tunjukkan trend merosot: TAFEP

(Gambar: Unsplash/rawpixel)

Diterbitkan : 18 Sep 2019 09:20AM Dikemas Kini : 18 Sep 2019 10:04AM

SINGAPURA: Satu tinjauan oleh Institut Pengajian Dasar (IPS) dan OnePeople.sg mendapati kadar jumlah responden Melayu dan India yang berkata mereka rasa didiskriminasi semasa memohon untuk pekerjaan meningkat sejak 2013.

Dalam tinjauan tersebut, kadar tinggi kaum minoriti - 73 peratus Melayu, 68 peratus India dan sekitar separuh daripada Lain-Lain kaum termasuk Serani - merasakan mereka mengalami diskriminasi sewaktu memohon pekerjaan.

Sebagai perbandingan, 38 peratus responden kaum Cina berasa sedemikian menurut dapatan kajian itu.

Kajian itu juga mendapati 80.2 peratus responden dari kaum Cina mengatakan bahawa bahasa kadang-kala penting, penting untuk kebanyakan masanya atau sentiasa penting apabila ingin mengambil seseorang bekerja untuk mereka.

Perangkaan tersebut jauh lebih rendah dalam kalangan responden Melayu dan India, masing-masing pada 71.5 peratus dan 73.2 peratus.

Penyelidik IPS Dr Mathew Mathews, seorang zamil penyelidik kanan di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, memberitahu Mediacorp bahawa dalam sekitaran pekerjaan di mana kebanyakan pekerja berasa selesa menggunakan sesuatu bahasa, mungkin akan timbul pilihan untuk mengambil pekerja yang boleh bertutur dalam bahasa tersebut.

"Terdapat pandangan bahawa apabila orang bertutur bahasa yang sama, semua akan lebih memahami antara satu sama lain dan akan ada kurang salah faham. Namun, ini boleh membawa kepada kecenderungan untuk hanya mengambil orang serupa dan tidak termasuk orang lain yang layak menyumbang," tambah beliau.

KURANG ADUAN TENTANG DISKRIMINASI BAHASA

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan kepada Mediacorp, Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Yang Adil dan Progresif (TAFEP) menyatakan aduan mengenai dakwaan dikriminasi di tempat kerja berkaitan dengan bahasa menunjukkan trend merosot sepanjang tempoh lima tahun lalu.

Aduan-aduan itu, menurut TAFEP melibatkan iklan pekerjaan, proses temu duga dan amalan sumber manusia (HR) yang berunsur diskriminasi

TAFEP menyatakan ia menerima sejumlah 113 aduan berhubung perkara berkenaan antara 2014 hingga 2018 dengan 31 kes pada 2014 dan 15 kes pada 2018.

Dalam menangani keprihatinan mengenai iklan atau temu duga pekerjaan yang mungkin menonjolkan bahasa-bahasa pilihan, TAFEP menjelaskan: "Garis Panduan Perikatan Tiga Pihak mengenai Amalan-amalan Pekerjaan Adil memerlukan para majikan untuk mengambil pekerja berdasarkan merit dan tidak penggunaan bahasa sebagai ciri membataskan, semasa pemilihan atau pengambilan pekerja".

"Jika pekerjaan itu memerlukan seorang pekerja untuk bertutur dalam satu bahasa khusus, majikan hendaklah menjelaskan bagaimana kriteria tersebut akan diguna pakai dan menjejas keupayaan pekerja untuk melaksanakan tugas mereka."

Cik Eugenia Ng, Pengarah Bersekutu Michael Page Singapore berkata agensi pengambilan pekerja itu telah menyaksikan situasi klien yang meminta supaya bahasa Mandarin dikemukakan sebagai kemahiran yang disyorkan atau diperlukan kerana budaya atau pilihan syarikat.

Bagaimanapun, beliau menarik perhatian dalam sebuah ekonomi lebih global, kian banyak pertubuhan juga berkembang untuk menggalakkan pemimpin dan pekerja supaya menggunakan bahasa perniagaan sejagat iaitu bahasa Inggeris.

Melainkan peranan tersebut memerlukan seorang pekerja untuk mahir dalam bahasa Mandarin, iklan-iklan pekerjaan seharusnya hanya memberi tumpuan kepada kemahiran teknikal dan kelayakan, kata Cik Lim Chai Leng, Pengarah khidmat perbankan dan kewangan di agensi pengambilan pekerja Randstad Singapore.

Bagaimanapun, menurut Cik Lim, Randstad Singapore juga memerhati bahawa calon yang mempunyai keupayaan dwibahasa atau boleh bertutur berbilang bahasa mempunyai "sedikit kelebihan" kerana lebih banyak laluan pengembangan kerjaya yang mungkin tersedia dalam sesebuah pertubuhan itu. Ini termasuk perluasan portfolio ke pelbagai negara di rantau ini.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan