Aduan berkaitan rasuah jatuh 18% pada 2024; majoriti siasatan CPIB libatkan kes sektor swasta
Jumlah aduan berkaitan rasuah yang diterima oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) berkurangan pada 2024, dengan bilangan kes yang didaftarkan untuk siasatan juga kekal rendah.
Singapura terus "diiktiraf di peringkat antarabangsa" atas rangka kerja dan usahanya membanteras rasuah, menurut CPIB. (Gambar fail: REUTERS/Caroline Chia)
Agensi antirasuah itu menerima 177 laporan berkaitan rasuah pada tahun lalu, penurunan sebanyak 18 peratus berbanding 215 laporan pada 2023.
Daripada laporan-laporan itu, CPIB mendaftarkan 75 kes baharu untuk disiasat.
Dalam laporan tahunannya pada Rabu (28 Mei), CPIB turut mendedahkan bahawa 91 peratus atau 68 kes yang didaftarkan untuk siasatan adalah daripada sektor swasta.
Sektor awam menyumbang baki 9 peratus dengan tujuh kes. Ini lebih rendah daripada purata tahunan 11 kes dalam empat tahun sebelumnya, menurut CPIB.
Daripada 68 kes sektor swasta, 12 melibatkan kakitangan sektor awam menolak rasuah yang ditawarkan oleh individu daripada sektor swasta.
Ini lebih tinggi daripada purata tahunan sembilan kes dalam empat tahun sebelumnya.
Kakitangan sektor awam yang menolak rasuah terdiri daripada pegawai dari Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Pasukan Polis Singapura (SPF), kata CPIB.
Agensi itu juga melaporkan bahawa 133 orang - 128 daripada sektor swasta - telah didakwa di mahkamah atas kesalahan yang disiasat oleh mereka pada 2024.
Sebanyak 75 laporan yang didaftarkan sebagai kes baharu untuk siasatan itu merupakan 42 peratus daripada jumlah keseluruhan laporan berkaitan rasuah yang diterima pada tahun lalu.
Ini merupakan peningkatan sebanyak 7 peratus berbanding purata empat tahun sebelumnya.
Agensi itu menyatakan bahawa laporan-laporan didaftarkan untuk siasatan jika maklumat yang diterima dapat diteruskan.
"Ini ditentukan oleh mutu maklumat relevan yang diberikan," katanya.
"Siasatan dan risikan oleh CPIB turut menemui maklumat lanjut yang membolehkan jumlah laporan yang lebih tinggi didaftarkan untuk siasatan."
Menurut CPIB, ia berhasil mengekalkan "kadar penyelesaian yang tinggi", melengkapkan siasatan terhadap 87 peratus subjek yang disiasatnya tahun lalu.
Kadar sabitannya ialah 97 peratus, dengan empat dibebaskan daripada tuduhan rasuah pada 2024 dan tiga kes sedang menunggu rayuan mereka dibicarakan.
"Kerjasama antarabangsa yang berkesan dengan rakan-rakan sejawatan dari luar negara juga penting dalam memastikan penjenayah rentas sempadan tidak dapat lari daripada undang-undang."
CPIB menukil tiga kes di mana "penguatkuasaan tegas" diambil - siasatan terhadap mantan Menteri Pengangkutan S Iswaran, kes Citiraya dan siasatan terhadap Seatrium.
Iswaran dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan pada Oktober tahun lalu kerana memperoleh hadiah dan habuan bernilai kira-kira S$403,300 (S$313,000) sepanjang tempoh tujuh tahun, daripada dua ahli perniagaan yang dianggap rakannya - Ong Beng Seng dan Lum Kok Seng.
Dia mengaku bersalah atas empat tuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang melarang semua pegawai awam daripada mendapatkan apa-apa barangan berharga daripada seseorang yang terlibat dengan mereka dalam urusan rasmi, dan satu tuduhan menghalang keadilan.
Kes Ong sudah diserahkan kepada mahkamah, manakala Pejabat Peguam Negara (AGC) menyatakan bahawa pihak pendakwa tidak akan memfailkan tuduhan terhadap Encik Lum.
Ng Teck Lee, mantan Ketua Pegawai Eksekutif Citiraya Industries, dan isterinya Thor Chwee Hwa melarikan diri dari Singapura selama 19 tahun berhubung kes penyelewengan melibatkan lebih S$72 juta.
Mereka diberkas di Malaysia pada 3 Dis tahun lalu dan didakwa di Singapura pada hari berikutnya. Siasatan CPIB terhadap mereka sedang dijalankan.
Kes Seatrium melibatkan wang sogok untuk memajukan kepentingan perniagaan syarikat itu di Brazil.
Mantan Ketua Pegawai Eksekutif Sembcorp Marine Wong Weng Sun dan Lee Fook Kang, Pengurus Besar Kanan Jurong Shipyard, terlibat secara langsung dalam membuat pembayaran berbentuk rasuah.
Kedua-dua lelaki itu didakwa pada Mac tahun lalu, dengan kes itu masih belum selesai.
RANKING, PERSEPSI AWAM MENINGKAT
CPIB turut mendedahkan bahawa Singapura terus "diiktiraf di peringkat antarabangsa" atas rangka kerja dan usaha antirasuahnya.
Indeks Persepsi Rasuah terkini oleh Transparency International meletakkan Singapura sebagai negara ketiga di dunia paling kurang mengamalkan rasuah pada 2024, dengan mencatatkan markah 84 daripada 100.
"Ini adalah kedudukan tertinggi Singapura sejak 2020 dan kali pertama sejak 2010 Singapura berada di kedudukan teratas di rantau Asia Pasifik," kata agensi itu.
Political and Economic Risk Consultancy juga meletakkan Singapura sebagai negara paling kurang mengamalkan rasuah daripada 16 ekonomi dalam Laporan 2024 Mengenai Rasuah di Asia.
Singapura telah mengekalkan kedudukan ini sejak 1995.
Dalam World Justice Project Rule of Law Index 2024, CPIB menyatakan bahawa Singapura mengekalkan kedudukan ketiga daripada 142 negara kerana tiada rasuah dalam pemerintah.
Persepsi orang ramai terhadap usaha CPIB membanteras rasuah juga semakin meningkat.
Dalam tinjauan 2024 yang dijalankan oleh agensi itu, 97 peratus responden menilai usaha mengawal rasuah di Singapura sebagai baik, sangat baik atau cemerlang - berbanding 96 peratus pada 2022 dan 94 peratus pada 2020.
Hukuman berat bagi kesalahan rasuah, undang-undang antirasuah yang berkesan, keazaman politik untuk mengawal rasuah dan budaya tiada tolak ansur terhadap rasuah disebut sebagai faktor utama yang menyumbang kepada kadar rasuah yang rendah di Singapura.
Menurut CPIB, "pencegahan, pendampingan dan pencegahan" menjadi asas kepada usaha Singapura untuk terus kekal bebas rasuah.
Ia melibatkan pihak-pihak berkepentingan utama, masyarakat dan sektor swasta untuk memerangi rasuah.
"Situasi rasuah di Singapura kekal terkawal.
"Kami akan terus mengukuhkan kerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan utama untuk meningkatkan usaha pencegahan dan menguatkan mesej antirasuah," kata agensi itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.