Skip to main content

Singapura

Aduan berkait rasuah turun 8% pada 2023, keadaan 'terkawal': CPIB

Anggaran Waktu Membaca:
Aduan berkait rasuah turun 8% pada 2023, keadaan 'terkawal': CPIB

Bangunan CPIB. (Gambar: Javier Lim/CNA)

SINGAPURA: Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) menerima 215 aduan berkait rasuah tahun lalu, turun lapan peratus daripada 2020, dengan keadaan di Singapura kekal "terkawal", dedah agensi antirasuah tersebut.

Daripada 215 aduan yang diterima, 81 didaftar untuk siasatan, tambah CPIB dalam laporan tahunannya pada Selasa (30 Apr).

Aduan didaftarkan untuk siasatan "sekiranya maklumat diterima boleh digunakan untuk siasatan".

CPIB menambah bahawa kebanyakan aduan yang disiasat pada 2023 adalah daripada sektor privet, dengan 86 peratus, manakala sektor awam merangkumi baki 14 peratus.

Daripada 70 kes sektor privet, sembilan kes melibatkan kakitangan sektor awam yang menolak rasuah ditawarkan oleh individu daripada sektor privet.

CPIB menyatakan pihaknya berjaya menyelesaikan 84 peratus siasatan ke atas individu tahun lalu.

Secara keseluruhan, 111 individu didakwa di mahkamah pada 2023 atas kesalahan yang disiasat oleh agensi antirasuah tersebut. Sebanyak 105 daripada mereka merupakan kakitangan sektor privet, manakala yang lain merupakan kakitangan sektor awam.

Kadar sabitan bagi kes pada 2023 adalah 99 peratus, sama seperti tahun sebelumnya.

"Kadar sabitan yang kekal tinggi bagi kes-kes CPIB adalah bukti mutu siasatan biro itu sehingga ia boleh dihadapkan ke mahkamah, serta kerjasama yang baik antara CPIB dengan Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam menangani pesalah rasuah," menurut agensi itu.

Memetik beberapa kes yang disiasat tahun lalu, termasuk kes ketua pengarah Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan mantan Menteri Pengangkutan S Iswaran, CPIB menambah bahawa pihaknya "kekal komited untuk bekerjasama dengan setiap lapisan masyarakat untuk memastikan Singapura bebas rasuah".

Transparency International menempatkan Singapura di tangga kelima bagi negara yang paling kurang terlibat dengan rasuah dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita