Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Aduan berkait pembakaran kertas colok pada Bulan Hantu berkurangan

Anggaran Waktu Membaca:
Aduan berkait pembakaran kertas colok pada Bulan Hantu berkurangan

Gambar: iStock

Diterbitkan : 31 Oct 2022 08:40PM Dikemas Kini : 01 Nov 2022 08:39PM
SINGAPURA: Terdapat kurang aduan tentang pembakaran kertas colok pada Bulan Hantu tahun ini.

Demikian menurut angka yang dikeluarkan oleh Pejabat Perkhidmatan Perbandaran (MSO) pada Isnin (31 Okt).

Terdapat 2,999 aduan sepanjang tempoh perayaan 'Hantu Lapar' tahun ini.

Jumlah tersebut kurang 13 peratus daripada jumlah 3,441 dalam tempoh yang sama pada 2021. Terdapat 4,333 aduan pada 2020.

Semasa wawancara dengan para wartawan pada Khamis (27 Okt), Menteri Negara Kanan Pembangunan Negara, Sim Ann memuji jumlah lebih rendah aduan hasil usaha baru-baru ini oleh perikatan kumpulan agama dan masyarakat yang berusaha untuk mendidik orang ramai tentang cara yang betul membakar kertas sembahyang.

Alliance for Action on Norms for Joss Paper Burning, yang dilancarkan pada Julai terdiri daripada sepuluh
pertubuhan termasuk Persekutuan Buddha Singapura, Persekutuan Persatuan Puak Cina Singapura, Persekutuan Tao serta Persatuan Pedagang Barangan Agama Singapura.

Untuk mengatasi masalah pembakaran kertas colok secara sembarangan, perikatan itu melancarkan kempen pendidikan awam yang menumpukan perhatian kepada usaha membetulkan salah tanggapan dan mitos yang berkaitan dengan pembakaran kertas colok.

Sebagai contoh, sesetengah penganut agama percaya bahawa ia adalah tradisi untuk melemparkan kertas colok ke udara.

Perikatan berkenaan memberi tumpuan kepada usaha membetulkan salah tanggapan itu dengan menyatakan bahawa kertas colok harus dibakar semasa beribadat dan tidak dilambung atau ditaburkan.

Usaha pendampingan dan mesej kempen perikatan itu dipaparkan dalam rancangan getai dan program radio Cina.

Poster yang mengingatkan orang ramai mengenai amalan dan larangan membakar kertas colok turut dipasang di kawasan kejiranan dan pasar raya, bersebelahan tempat produk kertas colok itu dijual.

Ditanya sama ada pemerintah akan mempertimbangkan lebih banyak tindakan keras untuk mengekang pembakaran kertas colok sembarangan, Cik Sim berkata ia mungkin tidak begitu berkesan.

Cik Sim berkata perikatan itu akan meneruskan usaha untuk mendidik orang awam dan melihat bagaimana ia boleh menangani isu pembakaran kertas sembahyang di sepanjang koridor di blok HDB.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan