Adinda by Gerai Nenek Obek gabung elemen tradisional dengan konsep moden
SINGAPURA: Menggabungkan elemen tradisional dan moden dalam penyediaan dan sajian makanan.
Itulah konsep "baharu" yang cuba ditampilkan Adinda by Gerai Nenek Obek yang membuka pintunya pada Jun lalu di Pasir Ris Mall pada Jun lalu.
Ia menawarkan pelbagai makanan asli resipi turun temurun keluarga seperti Nasi Rawon, Nasi Jenganan, Lontong dan pelbagai variasi nasi campur.
Namun hidangan-hidangan itu dijual dalam bentuk set dengan berkonsepkan 'takeaway'.
"Menu kami serupa yang kita adakan di kedai kami di Geylang. Kita adakan lauk tradisional kita seperti set Nasi Rawon, Nasi Jenganan dan Lontong. Kelainannya hanya dari segi bekas 'takeaway' dalam bentuk kotak jadi tiada kertas bungkus di sini," kongsi pemilik Adinda by Gerai Nenek Obek, Cik Filzah Miranti Mohamed Dawood.
"Hidangan set juga menyenangkan proses pemesanan makanan dan lebih senang untuk orang buat pilihan. Lauk-lauk hidangan set kita adalah lauk-lauk yang paling popular, jadi senang untuk dihidangkan," tambahnya.
KIOS LAYAN DIRI UNTUK CEPATKAN PROSES PEMESANAN UNTUK PELANGGAN
Cara penyediaan dan pemesanan makanan di Adinda juga agak berbeza.
"Pembaharuan di sini kami adakan 'self-ordering kiosk' atau kiosk layan diri untuk mempercepatkan proses pemesanan buat pelanggan dan kami. Kedua, kami gunakan 'Combi Oven' untuk menyenangkan masakan dan pada masa yang sama, kami tidak perlu memerhatikan lauk-lauk itu yang akan diproses sendiri," tambah pemilik yang berusia 32 tahun itu.
MUTU & RESIPI ASLI NENEK MOYANG DIKEKALKAN
Cik Filzah, yang merupakan generasi penjaja keempat Gerai Nenek Obek berkata, meskipun Adinda menampilkan konsep moden 'takeaway', mutu dan resipi asli nenek moyangnya dikekalkan
"Kami kekalkan tradisi dan legasi Gerai Nenek Obek menerusi Adinda untuk memastikan resipi asli nenek moyang kita terus digunakan dan mutu bahan-bahan kami tidak akan dikurangkan dengan tumpuan yang diberikan untuk kekal konsisten," jelas Cik Filzah.
"Adinda itu semua orang tahu bahawa ia merujuk kepada wanita atau adik dan Gerai Nenek Obek ini sebenarnya dikendalikan oleh empat generasi wanita jadi saya fikir ia boleh menjadi nama yang menjadi simbol bagi kita sebagai usahawan wanita yang mengendalikan perniagaan ini. Dan ia juga senang diingati oleh kaum-kaum lain juga," tambahnya.
INGIN MENARIK PELANGGAN BUKAN MELAYU
Cik Filzah juga berharap dapat menarik pelanggan bukan Melayu serta generasi muda.
"Saya pilih ruang di Pasir Ris Mall kerana saya rasa ada potensi untuk kaum-kaum yang lain untuk mencuba dan rasa lauk-lauk warisan kita," ujar Cik Filzah.
"Kita juga ingin kaum-kaum lain mencuba lauk-lauk kita dan memperkenalkan lauk-lauk lama dan tradisional agar mereka akan dapat merasakan rasa keaslian warisan dan kerana kebanyakan pelanggan di Geylang Serai adalah orang Melayu kita. Jadi saya harap di sini, kami dapat sampaikan lauk-lauk kita ini pada kaum yang lain juga," tambahnya.
GEYLANG SERAI DINAIK TARAF, GERAI NENEK OBEK ALIH OPERASI KE ADINDA
Memandangkan Pasar Geylang Serai ditutup untuk selama tiga bulan sejak Isnin (29 Jul) untuk kerja-kerja naik taraf, sebilangan kakitangan Gerai Nenek Obek dikerahkan ke gerai Adinda.
"Anak-anak saya yang ingin meneruskan legasi sebab penjualan nasi-nasi sebegini memang susah. Jadi anak-anak saya ambil tempat di Pasir Ris Mall dan saya menyokongnya," kongsi pemilik Gerai Nenek Obek, Cik Juhana Johan.
"Semua pekerja saya akan pindah ke Adinda tetapi di sana, ada (pekerja) yang akan diberikan tugas berkemas, ada yang memberi tumpuan untuk tempahan Grab dan ada pula yang menolong saya masak di dapur," tambah beliau.
STRATEGI TARIK PELANGGAN BAHARU
Antara strategi pemasaran Adinda by Gerai Nenek Obek adalah untuk memanfaatkan media sosial serta mengadakan kolaborasi bersama para peniaga dan pempengaruh lain.
Ia akan memanfaatkan peluang itu untuk berkongsi pengetahuan dan pemahaman tentang lauk-pauk tradisional Melayu.
Cik Filzah berharap dapat membuka lebih banyak cawangan Adinda di pusat membeli belah lain pada masa hadapan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.