Adikong Presiden Halimah, CPT Julianah Jamal, antara pegawai wanita SAF pertama berjaya tamatkan kursus GCC
Sepanjang kerjayanya sebagai seorang pegawai tentera dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Kapten (CPT) Julianah Jamal, 37 tahun, tidak berasa gentar malah bertekad memberanikan diri setiap kali berdepan dengan cabaran.

CPT Julianah sudah berkhidmat sebagai Adikong Kehormat kepada Presiden sejak 2016. (Gambar: PIONEER/CPT Julianah Jamal)
SINGAPURA: Sepanjang kerjayanya sebagai seorang pegawai tentera dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Kapten (CPT) Julianah Jamal, 37 tahun, tidak berasa gentar malah bertekad memberanikan diri setiap kali berdepan dengan cabaran.
Sejak meninggalkan kerjayanya dalam bidang jagaan kesihatan mental sepuluh tahun lalu sehingga menjadi pegawai wanita bukan pengawal yang pertama berjaya menamatkan Kursus Penukaran Pengawal (GCC), CPT Julianah berjaya membuktikan kebolehannya untuk menyesuaikan diri dengan tuntutan tugas.

CPT Julianah didampingi ibu bapanya ketika ditauliahkan sebagai pegawai tentera pada Januari 2012. (Gambar: PIONEER/CPT Julianah Jamal)
GIAT BERUSAHA RAIH LENCANA PENGAWAL
Meskipun CPT Juliana adalah satu-satunya wanita yang menyertai kursus GCC pada Februari 2014 semasa berkhidmat sebagai Timbalan S4 Briged Infantri Singapura ke-7, beliau menjalani latihan dan perlu memenuhi syarat-syarat kelulusan yang sama seperti para peserta kursus yang lain, menurut rencana PIONEER.
Ini termasuk berbaris pantas sejauh 10 kilometer, turun bertali dari helikopter dan mengharungi misi-misi yang sangat mencabar selama seminggu.
"Saya berasa begitu takut ketika berenang 2 kilometer di laut semasa menjalani GCC - saya takut air dan kumpulan saya adalah antara yang pertama untuk berenang.
"Mujur kami memakai jaket keselamatan. Saya cuba memberanikan diri dan berhasil menyelesaikan latihan renang tersebut. Ini berkat dorongan dan bantuan rakan-rakan pelatih yang 'mengheret' saya," ujar CPT Julianah kepada majalah PIONEER.
Menurut CPT Julianah, sokongan para pegawai atasannya dan juga teman-temannya membakar semangatnya untuk menamatkan kursus GCC dengan cemerlang.
MENUKAR HALUAN KERJAYA
Sebelum menyarung seragam tentera pada usia 27 tahun, CPT Julianah bertugas sebagai pengurus kes di jabatan psikiatri forensik di Institut Kesihatan Mental (IMH) selama kira-kira dua tahun.
"Saya mendambakan suatu perubahan dan rakan saya mencadangkan agar saya menjadi askar kerana saya memang gemar bersukan dan melakukan kegiatan lasak," kata CPT Julianah.
CPT Julianah berkongsi dengan PIONEER bahawa beliau pernah menyertai larian 10 kilometer, larian separuh maraton dan mengembara.
Meskipun kelasakannya diuji semasa mengembara di hutan apabila hujan turun mencurah-curah pada beberapa malam berturut-turut, CPT Julianah menganggapnya sebagai pengalaman yang membina daya bingkasnya.
Kaedah latihan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang membina juga membantunya untuk membiasakan diri dengan kehidupan sebagai seorang askar.
PENGALAMAN LUASKAN PANDANGAN
CPT Julianah berkata bahawa satu perkara yang disenangi dalam kerjayanya sebagai pegawai tentera adalah peluang-peluang yang disediakan untuk mendedahkan dirinya kepada pelbagai pengalaman dan bidang pekerjaan.
Bahkan beliau dilantik sebagai Adikong Kehormat kepada Presiden pada 2016 dan terus berkhidmat dalam peranan itu sehingga ke hari ini.
Tugasnya sebagai adikong termasuk menjadi pengacara majlis di Istana dan mempelajari tentang protokol tentera serta bekerjasama dengan Kementerian Ehwal Luar (MFA).

CPT Juliana (tengah) merupakan pegawai bukan pengawal wanita pertama untuk selesai menjalani Kursus Penukaran Pengawal (GCC). (Gambar: Tentera Singapura)
"Ia satu penghormatan bagi saya apabila dilantik sebagai adikong" kata CPT Julianah.
"Ketika Presiden Halimah Yacob dan kabinet baru mengangkat sumpah jawatan pada 2017, saya turut hadir untuk menyaksikan upacara itu.
"Ia suatu pengalaman yang membuka mata saya kerana saya dapat melihat sendiri bagaimana acara itu dikendalikan dan bukan sekadar membayangkan sesuatu upacara," kata CPT Julianah kepada PIONEER.
GILAP BAKAT PEGAWAI PELAPIS
CPT Julianah kini menyandang jawatan sebagai jurulatih kanan Sekolah Logistik di Institut Logistik Tentera (ALTI), di mana beliau melatih pegawai kadet logistik. Tugasnya termasuk menyampaikan kuliah, membimbing kadet semasa mengembara dan menyelia latihan jasmani.

CPT Julianah memberi kata-kata perangsang kepada pegawai-pegawai kadet semasa menjalani latihan di Kem Kranji III. (Gambar: PIONEER/Kenneth Lin)
"Saya percaya bahawa usaha menggilap bakat generasi pelapis memerlukan dorongan dan mereka perlu diterapkan dengan nilai-nilai dan pengetahuan yang sewajarnya supaya mereka menjadi pemimpin-pemimpin yang berhemah.
"Sungguhpun saya berpuas hati ketika melatih askar-askar muda, rakan-rakan sekerja sayalah yang membuat pekerjaan saya lebih menyenangkan," kata CPT Julianah.
PEGAWAI WANITA SETANDING LELAKI
Sebagai seorang pegawai wanita SAF, CPT Julianah berkata bahawa beliau dapat menyaksikan bagaimana pemimpin-pemimpin wanita lain mampu mempengaruhi askar-askar lelaki dan keupayaan sedemikian harus dijadikan sebagai peran contoh kepada wanita-wanita lain.
Menurut CPT Julianah, ramai wanita memilih untuk menjadi askar tanpa mengharapkan layanan istimewa. Satu-satunya keprihatinan mereka adalah untuk melakukan yang terbaik.
"Sepuluh tahun sudah berlalu sejak saya menyertai SAF. Ada pasang surutnya namun sering kali saya mendapati bahawa anda akan menimba pengalaman yang paling berharga ketika mengharungi saat-saat sukar dan mencabar.
"Setiap hari berbeza jika dibandingkan dengan hari-hari lain. Setiap hari pasti membawa cabaran baru. Inilah kehidupan seorang askar dan inilah yang saya gemar lakukan," kata CPT Julianah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.