Skip to main content

Singapura

Adik beradik cemerlang dalam pelajaran dan silat, terima Geran Pendidikan Gentarasa

Sepasang adik beradik yang aktif dalam sukan silat, merupakan antara 16 belia cemerlang yang menerima Geran Pendidikan Gentarasa, malam ini (7 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sepasang adik beradik yang aktif dalam sukan silat, merupakan antara 16 belia cemerlang yang menerima Geran Pendidikan Gentarasa, malam ini (7 Jul).

Anugerah disampaikan oleh Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli, yang juga Penasihat MESRA, di acara persembahan warisan dan budaya, Gentarasa 2018. Acara berlangsung di Wisma Geylang Serai.

Geran tersebut mengiktiraf pelajar cemerlang dalam kedua-dua bidang akademik dan seni.

Adik beradik - Nurzianah Mohammad Yazid, 16 tahun, dan Aniq 'Asri Mohammad Yazid, 13, antara 16 penerima yang masing-masing mendapat geran bernilai antara $300 hingga $1,300.

Ketika ditemui BERITAMediacorp, Nurzianah yang menang pingat emas acara seni tunggal putri di Kejohanan Pencak Silat Remaja Sedunia pada April lalu, menyifatkan pengiktirafan itu, satu pemangkin semangat bagi dirinya.

"Geran pelajar ini memberi saya motivasi untuk pelajaran dan juga sukan silat. Kita boleh gunakan duit ini untuk tuisyen atau kelas tambahan. Duit ini juga boleh saya gunakan untuk bertanding di luar negara," kata Nurzianah.

ANGGOTA MASYARAKAT GABUNG TENAGA DALAM PEMENTASAN GENTARASA

Nurzianah dan adiknya juga mengambil bahagian dalam Gentarasa tahun ini yang bertemakan "Bersatu Menuju Kesejahteraan".

Antara peserta Gentarasa 2018. (Gambar: BERITAMediacorp)

Pementasan tahunan itu menampilkan 140 peserta berbilang kaum dari kelab-kelab masyarakat merata Singapura dan diadakan di ruang terbuka di tiga lokasi berbeza, bermula di Wisma Geylang Serai.

Tujuannya bagi membolehkan lebih ramai orang menikmati pementasan tahunan itu dengan sasaran menarik lebih 3,000 penduduk dari pelbagai latar belakang di semua lokasi.

Gentarasa 2018 akan dipentaskan di The Canopy @ J-Link pada 21 Julai dan Hab Tampines Kita pada 28 Julai.

Selama 90 minit, para penonton disajikan dengan persembahan berwarna warni dan penuh bertenaga bagi menampilkan pelbagai kemajuan yang dicapai masyarakat Melayu serta aspirasi mereka untuk maju bersama-sama masyarakat lain di sini.

Selain Encik Masagos Zulkifli, turut menikmati pementasan malam ini adalah Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohd Maliki Osman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Program Wisma Geylang Serai. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita