Adik beradik berusia 17 & 25 tahun diberkas di Jurong West; disyaki terbabit kesalahan dadah
Dua adik beradik rakyat Singapura berusia 17 dan 25 tahun diberkas kerana disyaki terbabit dengan kegiatan dadah pada Selasa (10 Jan).
(Gambar: CNB)
SINGAPURA: Dua adik beradik rakyat Singapura berusia 17 dan 25 tahun diberkas kerana disyaki terbabit dengan kegiatan dadah pada Selasa (10 Jan).
Pelbagai dadah bernilai S$124,000 secara keseluruhannya dirampas dalam serbuan itu, menurut Biro Narkotik Pusat (CNB).
Sebanyak 1,073 gram ganja, 85 gram 'Ice', 43 gram ketamine, 310 gram pil Ecstasy, 538 pil Erimin-5 dan 198 lembar LSD dirampas.
Dalam kenyataannya pada Khamis (12 Jan), CNB menyatakan individu yang berusia 17 tahun diberkas di sekitar kawasan Jurong West Street 93 pada lewat petang Selasa.
Polis menemui sekitar 446 gram ganja, 18 gram 'Ice', 5 gram ketamine, 5 gram pil Ecstasy, 90 pil Erimin-5 dan pelbagai perkakas dadah pada individu tersebut.
Pelajar itu kemudian dibawa ke rumahnya di kawasan sama, di mana abangnya turut diberkas.
Sekitar 627 gram ganja, 67 gram 'Ice', 38 gram ketamine, 305 gram pil Ecstasy, 448 pil Erimin-5 dan 198 lembar LSD turut dirampas dari unit perumahan itu.
Siasatan terhadap aktiviti dadah masih dijalankan.
Siasatan awal mendapati dadah terkawal yang dirampas itu mungkin mempunyai kaitan dengan urus niaga dadah yang dijalankan melalui Telegram, menurut CNB.
Menurut CNB, ia sedia maklum sesetengah pesalah dadah dan sindiket menggunakan aplikasi kiriman mesej yang disulitkan seperti Telegram untuk menjalankan kegiatan dadah mereka.
CNB menambah ia sedang memantau perkembangan sedemikian dengan teliti dan ia telah mengambil tindakan pengkuatkuasaan terhadap para pesalah dadah yang menggunakan wadah Telegram untuk menjalankan kegiatan mereka.
"Para pesalah dadah ini mungkin bertanggapan wadah sedemikian membolehkan mereka untuk menjalankan kegiatan haram tanpa dikesan dan dapat mengelakkan pemantauan CNB," menurut penguasa itu.
"Tidak kira wadah atau taktik yang digunakan dalam percubaan untuk mengelakkan diri daripada dikesan, tiada tempat yang selamat bagi para pesalah dadah di Singapura."
Orang awam yang ingin melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan dadah digalak berbuat demikian dengan menghubungi CNB atau melalui talian CNB di 1800-325-6666.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.