Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Adeep Nahar dari kumpulan V.E bangga wakili S'pura dalam GV9

Sejak barisan peserta Gegar Vaganza (GV) tahun ini diumumkan, dua artis Singapura iaitu Hazrul Nizam dan Fuad Rahman menarik perhatian ramai.

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Sejak barisan peserta Gegar Vaganza (GV) tahun ini diumumkan, dua artis Singapura iaitu Hazrul Nizam dan Fuad Rahman menarik perhatian ramai.

Namun, tahukah anda, selain mereka berdua, ada seorang lagi penyanyi asal Singapura yang turut membawa bendera negara bagi pentas gah itu?

Individu berbakat yang dimaksudkan ialah Adeep Nahar yang menganggotai satu-satunya kumpulan yang bertanding dalam musim ini iaitu V.E (Voices Of Euphonious).

Menurut Adeep, beliau menyertai kumpulan yang popular dengan lagu 'Pop Yeh Yeh' itu sejak tiga tahun lalu dan beliau amat bersyukur dipilih bertanding bersama.

"Saya menganggap itu satu benda yang tak disangka-sangka. Kita tahu nama V.E kan, mereka salah satu kumpulan vokal yang 'top' di Malaysia.

"Tak sangka pula ditakdirkan Allah, rezeki bersama-sama V.E juga di pertandingan Gegar Vaganza dan pada saya itu adalah satu tanggungjawab besar untuk memikul nama V.E di atas pentas Gegar Vaganza," kata Adeep, yang sudah mengenali anggota kumpulan V.E sejak beliau bersama kumpulan 2D lagi.

Kumpulan 2D pernah popular pada lewat 1990-an dengan lagu 'Cenderawasih' dan 'Di Pinggiran Aidilfitri'.

Kumpulan V.E pula mencuri perhatian ramai baru-baru ini setelah dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Persembahan Vokal Terbaik Berkumpulan Di Dalam Lagu di Anugerah Industri Muzik (AIM) tahun ini.

ADEEP NAHAR PERNAH JADI NAIB JUARA GEMA GEGAR VAGANZA 2018

Selepas mengembangkan sayapnya ke Malaysia, penyanyi dan penggubah lagu berusia 43 tahun itu lebih giat berkarya di negara itu dan pernah menyertai sebuah lagi kumpulan, The Fabulous Cats antara 2006 hingga 2011.

Sebagai penyanyi solo pula, beliau banyak menghasilkan lagu-lagu berunsur kerohanian seperti 'Izinkan', 'Ampunkanlah' dan 'Aku Tak Sempurna'.

Bakatnya dalam genre itu berjaya membawanya ke pentas pertandingan dengan format serupa GV, Gema Gegar Vaganza pada 2018.

Adeep berjaya membawa pulang gelaran naib juara musim kedua pertandingan tersebut.

Bagi GV pula, beliau berharap untuk saksikan daya kreativiti para peserta dan berharap dapat mempamerkan kebolehannya menguasai pelbagai genre berbeza.

"Dalam kumpulan V.E ini, semua boleh nyanyi. Semua ada genre masing-masing. Semua ada kekuatan vokal masing-masing. Saya mula dengan dikir barat, saya mula dengan tradisional jadi kekuatan saya ada di dalam situ.

"Jadi kalau kami diberi peluang, lagu yang luar kotak keselesaan kami, nak cuba dangdut ataupun tradisional tapi dengan cara kami tersendiri," ujar Adeep.

Adeep turut berharap dengan sokongan orang ramai, ia dapat menaikkan lagi nama V.E menjadi peserta berkumpulan pertama menjuarai GV.

"Saya harap orang-orang Singapura, kawan-kawan, sahabat-sahabat dan juga yang mengenali saya yang menganggap saya masih warga Singapura, tolong sokong saya tapi bukan sokong saya sahaja, kumpulan saya V.E juga," tambah Adeep.

FUAD RAHMAN DAPATKAN NASIHAT JUARA BERTAHAN

Bagi seorang lagi peserta asal Singapura, Fuad Rahman, beliau juga berharap sokongan peminat, dapat memberinya semangat untuk bertanding sehingga ke garis penamat.

Dengan artis-artis Singapura seperti Hady Mirza dan Aliff Aziz yang pernah menjuarai pertandingan tersebut pada 2019 dan 2021, Fuad berkongsi beliau tidak berasa "tekanan" bagi jangkaan untuk mengikut langkah mereka.

"Saya tidak ada tekanan apa-apa pun. Saya cuba sebaik-baik yang mungkin untuk beri peminat-peminat saya yang tak mengenali saya di Kuala Lumpur, mungkin boleh menerima dan terima saya seadanya yang saya ada, apa yang kemampuan saya," jelas Fuad, 43 tahun.


(Gambar: Syawal Yusoff)

Malah, beliau juga sempat mendapat kata-kata nasihat daripada juara bertahan GV, Aliff Aziz.

"Nasihat dia untuk tawakal kepada Allah s.w.t dan jadi diri sendiri, dan teruskan sahaja. Anggap ini sebagai macam persembahan, bukan pertandingan," kata Fuad, yang pernah mendapat tempat kedua dalam pertandingan Anugerah 2003.

Akur dengan format GV yang menguji kehebatan para peserta mencuba genre di luar zon keselesaan mereka, Fuad yang sinonim dengan genre rok akan cuba beranikan diri untuk mempertaruhkan bakat dalam genre mencabar baginya iaitu Asli dan Dangdut.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan