Skip to main content

Singapura

Adat resam proses persemadian dalam agama berbeza disingkap dalam Festival 'My Community'

Anggaran Waktu Membaca:
Adat resam proses persemadian dalam agama berbeza disingkap dalam Festival 'My Community'

Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp

SINGAPURA: Festival 'My Community' kembali diadakan dengan tema "Perjalanan Terakhir Saya".

Dari 1 hingga 17 November 2024, para pengunjung boleh memahami sedikit sebanyak tentang budaya dan tradisi penganut agama berbeza bagi kematian atau upacara persemadian dan pengebumian.

Ia dilancarkan di Kreta Ayer Square di Chinatown pada Jumaat (1 Nov).

APABILA AJAL DI DEPAN MATA

Tema festival itu diilhamkan daripada pengalaman penganjur acara itu sendiri.

Suatu insiden yang hampir meragut nyawa seorang anggota My Community mendorong rakan-rakan anggota lain badan bukan meraih untung My Community, untuk memikirkan soal mati sehingga terangsang untuk mengajak orang ramai sama-sama mengambil tahu soal perjalanan terakhir yang diamalkan agama-agama berbeza di Singapura.

"Kami menganjurkan festival dengan tema 'Perjalanan Terakhir Saya' oleh kerana rakan sekerja saya, Li Yong mengalami serangan jantung. Setelah serangan jantung itu, kami mengambil masa itu untuk memikirkan tentang kehidupan dan terutamanya kematian kami semua.
"Kami mendapati bahawa acara kematian di antara masyarakat Singapura ada banyak makna dan ada banyak yang belum diceritakan. Ada sebabnya tentang kerana topik perbualan tu agak 'pantang'. Jadi, kami ingin mengadakan pesta ini untuk menggalakkan lebih daripada masyarakat Singapura untuk menanya soalan dan memberi mereka peluang untuk datang dan tanya soalan tentang acara kematian masyarakat mereka sendiri dan masyarakat lain-lain di Singapura," ujar Penganjur Festival My Community, Aqid Aiman Azam Azmi.

Lokasi yang dipilih bagi festival itu juga sinonim sebagai ‘lorong kematian’ kerana terkenal menjual barangan keperluan bagi perjalanan terakhir masyarakat Cina iaitu berdekatan dengan Sago Lane.

Di bawah khemah putih di tengah-tengah Kereta Ayer Square, lima ruang berbeza memaparkan kelengkapan lima agama utama - Tao, Buddha, Kristian, Islam dan Hindu.
"Kami merancang pameran 'Navigating Piety: Customs and Practices for the Afterlife' untuk memaparkan tradisi dan adat resam penghormatan terakhir bagi masyarakat di Singapura. Kami melakukannya dengan meneroka adat-resam, amalan agama dan tradisi-tradisi masyarakat seperti kaum Melayu/Islam, penganut Buddha, kaum Cina, penganut Hindu, dan kaum-kaum yang berbeza.

Acara-acara khas untuk masyarakat Melayu juga tersedia.

Selain pencerahan ilmu berjudul 'Corak Batik dan Pengebumian Melayu' serta perkongsian asatizah tentang solat jenazah dan bagaimana keranda diusung ke pusara, ada juga perkongsian cerita seorang Pembersih Trauma.
"Contohnya bagi kaum Melayu, kami menggunakan kain batik atau batik lepas sebagai suatu selimut untuk jenazah semasa dilawati oleh kaum keluarga dan rakan-rakannya. Bagi penganut agama Buddha, kami mempamerkan meja-meja berbeza yang digunakan untuk menyembah Buddha dan untuk jenazah yang baru meninggal dunia," dedah kurator festival dan pameran itu, Encik Zulfadhli Hilmi Mohamad.
Encik Zulfadhli Hilmi Mohamad, kurator festival dan pameran itu.
Acara pencerahan ilmu berjudul 'Corak Batik dan Pengebumian Melayu' pula mengajak orang ramai memikirkan tentang kaitan corak batik dengan tradisi pengebumian Melayu/Islam.

PEMBERSIH TRAUMA KONGSI PENGALAMAN

Satu lagi yang menarik dan mungkin bukan untuk semua orang adalah acara yang akan dipimpin oleh seorang Pembersih Trauma, Encik Rahman Razali.

Pembersih trauma ditugaskan untuk membersihkan tempat kejadian selepas peristiwa yang menyedihkan atau traumatik, termasuk lokasi kejadian jenayah, kemalangan, kes bunuh diri, atau kematian yang diketahui setelah mayat membusuk.

Orang ramai berpeluang untuk mendengar sendiri daripada Encik Rahman yang akan berkongsi pengalamannya dan cabaran emosi apabila membantu individu pulih selepas tragedi.

"Kami percaya pameran akan membantu kaum Melayu kita untuk memahami tentang aspek penghormatan terakhir kaum-kaum lain di Singapura dan merapatkan silaturahim antara masyarakat majmuk," ujar kurator festival dan pameran, Encik Hilmi.

Selain pameran di Kreta Ayer Square, lawatan berpandu, dan bengkel-bengkel yang menarik, festival ini mengajak orang ramai meneroka pelbagai adat dan amalan yang kaya berkaitan dengan kehidupan selepas mati di Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita