'Adam' antara 80 banduan terima Anugerah Emas NYAA - jumlah tertinggi dalam 20 tahun
Gara-gara salah pilih kawan, 'Adam', bukan nama sebenar, meringkuk di penjara setelah terjerumus dalam dunia samseng sejak berusia 16 tahun.
SINGAPURA: Gara-gara salah pilih kawan, 'Adam', bukan nama sebenar, meringkuk di penjara setelah terjerumus dalam dunia samseng sejak berusia 16 tahun.
Padahal, 'Adam' merupakan seorang pelajar yang 'pandai' dan berada dalam aliran Ekspres semasa di sekolah menengah.
Melihat wajah kecewa ibu bapanya ketika bertemu di penjara, dia bertekad untuk mengubah haluan hidupnya.
Hari ini, 'Adam', yang berusia 27 tahun, adalah antara 80 penerima Anugerah Pencapaian Belia Kebangsaan (NYAA) bagi kategori Emas.
Jumlah itu adalah bilangan tertinggi sejak program itu diperkenalkan di Jabatan Penjara Singapura (SPS) 20 tahun lalu.
Tahun ini, seramai 131 banduan kesemuanya diiktiraf menerusi anugerah tersebut. Baki 51 banduan lain pula menerima anugerah kategori Perak dan Gangsa.
Program NYAA itu membantu para banduan yang berusia antara 16 dengan 30 tahun untuk membina ciri-ciri positif dalam diri mereka termasuk berdikari, bersungguh-sungguh dan bertanggungjawab.
Para banduan perlu menamatkan pelbagai kegiatan dalam empat komponen iaitu perkhidmatan, penghargaan sekitaran, gaya hidup sihat dan projek-projek kemahiran kepimpinan.
BAGAIMANA TERJEBAK DENGAN KUMPULAN SAMSENG?
Seperti kebanyakan remaja lain, 'Adam' sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru secara suka-suka dan dia mula ikut kawan.
"Seperti remaja-remaja lain, kita sentiasa rasa ingin tahu. Jadi bila saya berkawan terlibat pula dalam kegiatan samseng," cerita 'Adam' kepada para wartawan sebelum majlis penyampaian anugerah NYAA oleh Presiden Halimah Yacob itu, yang diadakan di Penjara Tanah Merah hari ini (15 Dis).
Sejak itu, dia tidak mengambil berat pelajarannya dan gagal peperiksaan peringkat O dan tidak dapat ke politeknik. 'Adam' mula putus asa dan enggan belajar lagi. Setelah ditangkap dan dipenjarakan, 'Adam' mula sedar bahawa bukan ini yang diinginkan. Dari situ, dia mula bangkit.
"Satu pengajaran penting yang saya belajar adalah kita mesti belajar buat pilihan yang betul. Bila saya renungkan semula, ini bukan kehidupan yang saya mahu untuk diri saya.
"Memang apa yang berlaku ini seolah-olah saya sudah buang masa, tetapi sekarang ini saya perlu beri tumpuan kepada apa yang boleh saya buat untuk menjadi lebih baik," kata 'Adam'.
SAMBUNG BELAJAR & SERTAI NYAA
Pada 2019, 'Adam' mendaftarkan diri di Sekolah Penjara. Dia meraih diploma dalam Pengurusan Rangkaian Bekalan Antarabangsa dengan purata mata gred 3.6 dan kini dalam proses mendapatkan pula ijazah sains - juga dalam bidang rangkaian bekalan dan logistik.
Selain bidang akademik, 'Adam' juga menyertai program NYAA. Dia mengambil bahagian dalam gerakan nasional iaitu 'Walk for Rice' (Berjalan untuk Nasi) serta menganjurkan persembahan dan majlis jamuan tengah hari bersama warga tua sebelum tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 atau 'circuit breaker'.
Ini adalah sebahagian usaha para banduan itu untuk menyumbang kembali kepada masyarakat di bawah komponen khidmat pendampingan masyarakat program NYAA.
Salah satu sumbangan utama 'Adam' adalah sebuah video yang memaparkan sebuah karnival permainan maya sempena Gerakan Baik Budi Singapura yang berlangsung dalam bulan Mei tahun ini. Video itu kemudian disiarkan kepada semua banduan di penjara.
Setelah mengharungi pelbagai ujian dan cabaran, 'Adam' ternyata dapat membuktikan bahawa dia juga mampu membanggakan ibu bapanya.
IBU SENTIASA UNGKAP "MAK SAYANG"
Ibu 'Adam', Cik 'Fatin' (bukan nama sebenar), menyifatkan anak bongsunya itu sebagai seorang yang pintar, sangat baik hati dan "disayangi semua orang".
Maka itulah, beliau sekeluarga amat terkejut apabila menerima panggilan dari penjara memaklumkan bahawa anaknya sudah ditahan.
"Saya terlalu sedihlah. Sebenarnya penjara telefon suami saya. Suami saya pun tak tahu nak kasi tahu macam mana. Terus dia telefon penjara balik dan tanya. Dari situ kita boleh mula melawat anak saya," cerita Cik 'Fatin'.
Naluri seorang ibu, Cik 'Fatin' yakin bahawa anaknya itu boleh bangkit daripada kesilapannya. Dia juga tidak putus-putus memberi kata-kata semangat dan mengungkapkan "mak sayang" setiap kali menatap wajah anaknya itu di balik kaca di bilik lawatan penjara.
"Saya nasihat supaya berubah. Saya tetap cakap macam mana pun mak sayang. Walau apa pun mak sayang. Mulanya dia pun nangis masa pertama kali saya jenguk dia. Dia minta maaf banyak-banyak," ujar Cik 'Fatin' bergenang airmata.
Ternyata, kata-kata semangat serta sokongan yang tidak pernah putus itu membuahkan hasil apabila ternampak perubahan positif dalam diri 'Adam'.
"Memang banyak perubahan dia. Dia mula nak baca buku. Kalau dulu memang dia tak nak. Kita tahu. Bapa dia cakap dia memang 'budak bijak'. Sekarang dia selalu minta bila datang melawat dia belikan buku ini, buku ini. Lagi dia cakap dia dah mula solat lima waktu setiap pagi subuh dia bangun dia doakan mak. Itulah yang bikin saya seorang ibu terharu," tambah Cik 'Fatin' dengan nada sebak.
"PERJALANAN TIDAK AKAN MUDAH TAPI ANDA BOLEH" - PRESIDEN HALIMAH
Semasa menyampaikan ucapannya kepada para banduan penerima anugerah itu, Presiden Halimah Yacob berkata, sedang kita meraikan pencapaian mereka, penting untuk turut melihat nilai NYAA lebih dari sekadar satu anugerah.
"Menerusi pengalaman-pengalaman yang anda lalui (dalam program ini) saya pasti anda sudah lebih mengenali diri anda sendiri - kekuatan anda, aspek-aspek yang boleh diperbaiki dan cara menangani cabaran. Kesedaran lebih tinggi in akan membantu anda dalam perjalanan untuk pulih dan memperkasa anda untuk mengawal kehidupan dengan lebih baik sedang anda berusaha mencapai matlamat anda.
Presiden Halimah memuji semangat 'Adam' untuk memanfaatkan sepenuhnya masa sepanjang di penjara untuk memperbaiki diri.
Ini nasihat Presiden Halimah kepada semua penerima anugerah NYAA itu:
"Perjalanan anda tidak akan mudah tetapi akan berbaloi. Anda boleh lakukannya dengan komitmen dan disiplin."
NYAA pertama kali diperkenalkan oleh Jabatan Penjara Singapura pada tahun 2000 kepada para remaja yang belajar di penjara.
Ia kemudian dibuka kepada para remaja di Pusat Latihan Pemulihan dan Penjara Wanita. Tahun ini, lagi tiga institusi penjara juga diberikan peluang menyertai NYAA. Ini sekali gus membolehkan lebih ramai banduan memperoleh anugerah Emas NYAA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.