Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Adakan rumah terbuka buat golongan bukan Muslim cuba berpuasa dan iftar bersama

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Pada bulan Ramadan ini, Encik Walid Jumlatt Abdullah cuba meluangkan masa untuk berbuka puasa di rumah bersama isteri dan anak lelaki beliau.

Kadangkala meluangkan masa untuk berbuka puasa bersama sahabat handai di majlis-majlis rumah terbuka.

Bagi dirinya sendiri, Encik Walid menganjurkan rumah terbuka untuk sesiapa sahaja yang ingin datang dan berbuka puasa.

Menariknya, beliau juga menggunakan peluang itu untuk mempelawa golongan bukan Muslim untuk berbuka puasa di rumahnya.

'

Encik Walid berpendapat bahawa pengalaman berpuasa itu bagi masyarakat bukan Muslim mampu untuk mengeratkan lagi hubungan masyarakat majmuk di Singapura.

Encik Walid berkata, "Tujuan saya untuk perkenalkan mereka kepada pengalaman seorang Muslim apabila berpuasa. Apabila mereka dapat melalui pengalaman ini, mereka mungkin ada lebih simpati dan empati kepada orang Islam. Harap-harap hubungan antara kaum akan diperbaiki lagi."

Tahun ini merupakan tahun kelima Encik Walid membuka pintu rumahnya kepada masyarakat bukan Muslim yang ingin berbuka puasa di rumahnya.

"Tiap-tiap tahun lebih ramai yang mahu mengambil serta inisiatif ini, ini petanda baik. Lebih-lebih lagi anak-anak muda yang lebih bersemangat untuk mencuba perkara-perkara daripada budaya lain," kata beliau.

AJAK MASYARAKAT BUKAN MUSLIM UNTUK BERPUASA JUGA

Lebih daripada sekadar menjemput masyarakat bukan Muslim untuk berbuka puasa di rumahnya, beliau juga menyarankan agar mereka juga berpuasa untuk merasakan pengalaman sepenuhnya.

"Saya akan beritahu mereka cara berpuasa dari jam ini hingga jam ini. Kalau bersahur, saya makan buah dan sebagainya, saya sarankan mereka makan buah juga."

"Untuk berpuasa, kalau tidak boleh tidak mengapa, kalau tidak dapat puasa penuh, minum air, yang penting, cuba," ujar Encik Walid.

Pengalaman berpuasa itu juga yang pertama seumpamanya bagi sesetengah daripada sekitar 10 orang bukan Muslim yang ke rumah Encik Walid.

Salah seorang daripada mereka ialah Encik Kean Gwee.

Encik Gwee berkata, "Saya merasakan bahawa pengalaman ini amat mencabar, lebih-lebih lagi untuk bangun pada 4.30 pagi untuk bersahur kerana saya memang sering tidak makan sarapan pagi."

"Mulut saya sepanjang berpuasa, sangat kering. Saya asyik rasa nak batalkan puasa dan minum air," tambahnya lagi.'

Salah seorang lagi peserta, Cik Thomas Sharon pula berkata, "Ini merupakan kali pertama saya berpuasa. Saya rasa gementar sebab tidak pernah melakukannya tetapi saya bekerja dari rumah jadi perkara itu membantu juga. Menerusi pengalaman ini, saya rasa ia memerlukan disiplin yang tinggi untuk berpuasa selama 30 hari berturut-turut."

Pengalaman itu juga sedikit sebanyak membentuk perspektif mereka terhadap masyarakat Muslim.

"Pengalaman sebegini membuat saya lebih menghormati masyarakat Muslim kerana untuk berpuasa buat jangka masa panjang, saya rasa ia memerlukan usaha yang banyak." kata seorang lagi peserta, Cik Zee Wong.

"Saya kini ada lebih rasa empati untuk rakan-rakan Muslim saya dan membuat saya terfikir bagaimana mereka boleh melakukan kegiatan-kegiatan seharian sambil berpuasa," kata Encik Wong pula.

Mereka mengalu-alukan usaha Encik Walid ini dan berharap untuk cuba berpuasa lebih daripada sehari pada masa akan datang.

Bagi Encik Walid, ini satu permulaan yang baik bagi golongan bukan Muslim untuk mengenali agama Islam dengan lebih lanjut lagi.

Ini disebabkan ada yang mungkin segan untuk ke masjid langsung dan suasana lebih santai di rumah lebih selesa buat mereka.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan