Adakan kurikulum dan pendidikan tentang antiperkauman di sekolah rendah
Adakan kurikulum atau mendidik para pelajar tentang antiperkauman di peringkat seawal sekolah rendah lagi.
SINGAPURA: Adakan kurikulum atau mendidik para pelajar tentang antiperkauman di peringkat seawal sekolah rendah lagi.
Demikian antara saranan yang dikemukakan para peserta dalam forum khas berhubung isu perkauman terbitan CNA pada Khamis (8 Jul).
Perbincangan itu dijalankan menyusuli kejadian-kejadian berbaur perkauman yang menimbulkan kebimbangan masyarakat baru-baru ini.
Disampaikan oleh Menteri Negara Kanan Perhubungan dan Penerangan Dr Janil Puthucheary, forum khas "Regardless of Race" itu antara lain bertanya adakah keharmonian antara kaum kita sudah bertambah baik berbanding lima tahun lalu?
Forum kali ini mengundang semula para peserta yang pernah muncul dalam dokumentari dengan tajuk yang sama lima tahun lalu.
Menjawab pertanyaan Dr Janil tentang sama pengalaman peribadinya berhubung masalah perkauman yang pernah dialaminya, peserta Shimma Abdul Rahim secara jujur berkata "keadaannya tetap sama."
Tambahnya, perubahan sikap yang menyinggung perasaan "akan memakan masa lebih lama lebih lama dari lima tahun."
Dr Janil turut menarik perhatian kepada satu tinjauan Institut Pengajian Dasar (IPS) yang mendapati jumlah insiden perkauman yang dilaporkan melonjak tiga kali ganda, daripada 18 kes pada 2018 kepada 60 kes tahun lalu.
Memberikan komen tentang perkembangan itu, Zamil Penyelidik Utama IPS, Dr Mathew Mathews berkata:
"Cukup jelas bahawa ada beberapa kumpulan yang lebih sedar tentang perkauman, iaitu golongan muda kaum minoriti, dan juga yang lebih berpendidikan. Dalam kalangan kumpulan-kumpulan itu, mereka lebih sedar bahawa perkauman adalah satu masalah,"
Turut dibincangkan adalah isu-isu seperti dasar integrasi kaum, model CMIO (Cina, Melayu, India dan Lain-lain) serta tentang keistimewaan kaum majoriti Cina.
Diminta mengulas, pensyarah kanan di Jabatan Kemanusiaan, Seni dan Sains Kemasyarakatan di Universiti Teknologi dan Rekaan Singapura (SUTD), Dr Nazry Bahrawi berkata lebih banyak usaha menangani isu perkauman harus dijalankan di sekolah.
"Banyak usaha di sekolah-sekolah tertumpu kepada aspek kebudayaan seperti bagaimana meraikan perayaan-perayaan tertentu dan sebagainya. Saya rasa walaupun ia harus diteruskan, saya percaya sebilangan usaha baru perlu dilakukan demi membincangkan soal perkauman sebagai satu isu sistemik. Di sini, saya memikirkan tentang idea mendidik tentang antiperkauman," kata beliau.
"Tujuannya adalah untuk menarik perhatian kepada idea bagaimana sistem, institusi, dan bagaimana kita sekarang membincangkan model CMIO, boleh membawa kepada akibat negatif."
Pandangan beliau itu dipersetujui pelajar bernama Zoe Lai, yang pernah muncul dalam dokumentari Regardless of Race itu pada 2016.
"Secara peribadi saya percaya pendidikan adalah kunci dalam mengubah corak pemikiran manusia. Jadi saya ingin melihat generasi muda, mungkin murid sekolah rendah mendapat lebih banyak pendidikan mengenai hal ini," kata Zoe.
Para peserta juga menyarankan agar perbincangan yang terbuka, bermakna dan bertanggungjawab mengenai nilai, sejarah dan cabaran sesuatu kaum dipupuk.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.