Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

‘Adakah saya akan mati?’: Pesakit muda COVID-19 Indra Jalal tampil kongsi pengalaman ‘tidak berbaloi'

COVID-19 tidak mengenal usia. Kisah Siti Nur Indra Jalal - wanita cergas berusia 26 tahun yang dijangkiti virus ini dan dirawat di hospital sejak 21 hari lalu - menjadi buktinya.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: COVID-19 tidak mengenal usia. Kisah Siti Nur Indra Jalal - wanita cergas berusia 26 tahun yang dijangkiti virus ini dan dirawat di hospital sejak 21 hari lalu - menjadi buktinya.

Tiga orang sepupunya yang hampir sebaya turut terkena virus tersebut kerana mereka bertemu sebelum itu. Mereka kini dirawat di hospital yang sama.

Masih jelas dalam ingatan Cik Indra saat beliau menerima panggilan telefon yang menyatakan dirinya diuji positif COVID-19 pada 28 Mac dan dinamakan sebagai Kes 812 di Singapura.

Dalam keadaan kalut, wanita muda itu perlu menyiapkan sendiri segala perlengkapan yang diperlukan sebelum pegawai-pegawai berpakaian HAZMAT mengetuk pintu rumah untuk membawanya ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

Ibunya yang sudah lanjut usia pula meraung kerana takut jika apa-apa berlaku kepada anak bongsunya itu. Itulah kali terakhir Cik Indra bertemu muka dengan keluarga tersayang.

“Saya tak terkata. Pada awalnya saya terfikir… adakah saya akan mati? Saya juga bimbang jika ibu bapa saya terkena jangkitan virus itu kerana mereka sudah lanjut usia dan mengalami kencing manis,” cerita Cik Indra kepada BERITAmediacorp. Beliau bekerja sebagai penasihat kewangan.

(Gambar: @ila.jalal/Instagram)

Cik Indra bersama ibu bapanya. (Gambar fail: @ila.jalal/Instagram)

Mujur, ibu bapanya yang berusia 64 dan 67 tahun, disahkan negatif setelah diuji di Hospital Besar Ng Teng Fong.

BAGAIMANA CIK INDRA TERKENA COVID-19?

Beberapa hari sebelum disahkan positif, Cik Indra mengalami demam panas dan sering batuk-batuk. Pada 26 Mac, beliau memutuskan untuk menjalani ujian sebagai langkah berjaga-jaga setelah rakannya disyaki dijangkiti virus tersebut.

“Saya fikir itu demam biasa. Lagi pula, tiada orang di sekitar saya yang dijangkiti virus itu,” tambah Cik Indra.

Sementara menunggu hasil ujian, beliau mengurung dirinya dalam bilik dan tidak mendekati anggota keluarga lain kerana “mana tahu saya mempunyai virus itu”. Cik Indra hanya menerima panggilan dari pihak berkuasa dua hari kemudian.

Walaupun kini sudah tiga minggu dan masih dirawat di hospital hingga ke hari ini (17 Apr), masih lagi belum pasti bagaimana dirinya dijangkiti virus COVID-19. Cik Indra juga tidak terkait dengan mana-mana kelompok yang sudah dikenal pasti Kementerian Kesihatan (MOH).

DEMAM PANAS 39°C SELAMA 9 HARI BERTURUT-TURUT

Semasa dihubungi BERITAmediacorp semalam (16 Apr), Cik Indra menjelaskan dirinya tidak mengalami sebarang gejala teruk seperti kesukaran bernafas atau pneumonia.

Sungguhpun demikian, beliau mengalami demam panas dengan suhu badan mencecah 39 darjah Selsius selama sembilan hari berturut-turut.

“Beberapa hari pertama, ketika saya mengalami demam adalah saat paling menyakitkan kerana biasanya kalau makan ubat, saya baik. Tapi rasa sakit kali ini seperti tiada penghujung,” kata Cik Indra.

Beliau kini beransur pulih dan sudah dipindahkan ke Hospital Mount Alvernia setelah enam hari di NCID. Namun, Cik Indra masih perlu menjalani ujian swab “mengerikan” setiap empat hari.

Katil Cik Indra di hospital. 

MASIH POSITIF COVID-19 SELEPAS 7 KALI SWAB

“Ujian swab seperti satu mimpi ngeri. Sakit ‘gila’. Bagi saya, alat itu susah untuk masuk dari hidung hingga ke saluran pernafasan,” cerita Cik Indra.

Sejauh ini, Cik Indra sudah tujuh kali menjalani ujian berkenaan - yang terakhir dilakukan kelmarin (15 Apr). Beliau masih diuji positif walaupun tidak lagi memerlukan sebarang ubat-ubatan buat masa ini.

“Belum ada penawar bagi COVID-19. Jadi bagi para pesakit, mereka hanya diberi ubat untuk menangani simptom-simptom yang dialami. Misalnya, jika mereka demam, mereka diberi panadol. Kalau batuk, ubat batuk,” jelas Cik Indra lagi.

Selagi masih didapati positif, pesakit tidak dibenarkan pulang mahupun diziarahi keluarga atau sahabat handai di hospital.

Lantaran itu, Cik Indra menasihatkan orang ramai supaya duduk rumah sahaja buat masa ini kerana “tidak berbaloi” kalau terkena COVID-19, tekan beliau berdasarkan pengalamannya selaku pesakit.

RASA SANGAT BERSALAH KERANA… 

Cik Indra, turut berkongsi bahawa beliau sehingga kini mempunyai 'rasa bersalah'.

“Walaupun semua ini berlaku sebelum ‘circuit breaker’ dan pelaksanaan pelbagai langkah diusulkan pemerintah, saya kurang berhati-hati. Saya menjalani kehidupan seperti biasa. Saya keluar bekerja dan bergaul dengan orang lain,” kata Cik Indra dengan rasa kesal.

Semasa beberapa hari pertama dirawat di NCID, beliau memberi kerjasama dengan MOH untuk menjalankan pengesanan kontak. Cik Indra perlu menjawab panggilan telefon yang bertubi-tubi dalam keadaan sakit demi mempermudah proses itu.

“Senarai saya terlalu panjang. Ia membuat saya menyedari bahawa jika anda perlu memberikan senarai yang panjang ia bukan sesuatu yang patut dibanggakan... Saya macam masya Allah, saya perlu menjadi rakyat lebih bertanggungjawab.”

Cik Indra bersama pesakit sebilik. 

Sebagai seorang penasihat kewangan, Cik Indra perlu sering bertemu dengan para klien di luar juga. Daftar kenalan yang berhubung rapat dengannya meliputi 26 hari. Mereka yang dikenal pasti dalam pengesanan kontak termasuk pemandu Grab dan rakan-rakannya sendiri.

“Saya tidak dapat sahkan kalau saya sudah menjangkiti orang lain. Tetapi memikirkan tentang kemungkinan itu membuat saya rasa bersalah.

“Terutama sekali terhadap seorang kenalan rapat. Dia mempunyai anak kecil dan masih menyusu. Sehingga ke hari ini, dia belum dapat pulang. Saya rasa sangat bersalah,” cerita Cik Indra.

3 SEPUPU DALAM HOSPITAL SAMA

Selepas diuji positif, tiga sepupu Cik Indra juga memutuskan untuk menjalani ujian kerana mengalami tanda-tanda ringan.

“Ada yang batuk, ada yang sakit tekak. Jadi mereka jalani ujian dan ternyata mereka positif. Saya rasa kami terkait antara satu sama lain kerana kami ada keluar makan malam bersama-sama,” katanya.

“Salah seorang daripada mereka tidak mengalami sebarang simptom, cuma batuk sahaja. Sampai sekarang dia tidak mengalami simptom, tetapi semua masih di hospital. Sebab itu virus ini berbahaya,” tekan Cik Indra.

“Jika saya belum disahkan dan keluar di luar sekarang, saya tidak akan tahu kalau saya sedang mengakibatkan virus ini merebak kerana saya sudah ‘tidak sakit’.”

Gambar fail Cik Indra bersama keluarga.

Yang pasti, pengalaman terkurung di hospital tidak menyelesakan kerana “kita tak boleh keluar bilik, tak boleh bukak tingkap, tak kena matahari pun” kata Cik Indra.

TAMPIL TINGKAT KESEDARAN MESKI MATA PENCARIAN TERJEJAS

Seperkara lagi yang membelenggu fikiran gadis ini adalah mata pencariannya yang terjejas. Cik Indra bekerja sendiri. Dengan dirinya kini di hospital, beliau tidak dapat mencari wang untuk membantu menyara keperluan ibu bapanya.

“Ibu bapa saya sakit. Jadi yang membuat saya bimbang sekarang adalah bagaimana untuk menjaga mereka,” kata beliau.

Ini mendorongnya untuk bekerja dari hospital sedaya mungkin.

Kini Cik Indra turut bersedia melakukan sesuatu yang lebih bermakna - iaitu mendedahkan dirinya sebagai pesakit COVID-19 secara terbuka. Langkah itu diambil demi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pentingnya menjalankan peranan masing-masing.

Panggilan video antara Cik Indra dan rakan-rakan. 

“Saya sebenarnya takut untuk tampil dan memberitahu orang ramai bahawa saya pesakit COVID-19. Saya takut mereka menghakimi saya tetapi ternyata orang ramai prihatin,” ujar Cik Indra.

Beliau turut melahirkan harapan agar dapat pulang sebelum bermulanya bulan puasa yang bakal menjelang. Beliau mahu bersatu semula dengan keluarganya. Wanita muda itu juga tidak bersembunyi untuk berkongsi bahawa makanan hospital “tawar, tak ada rasa”. Beliau juga sudah bosan menonton Netflix “hari-hari".

Makanan Cik Indra di hospital. 

Ini nasihat Cik Indra Jalal kepada orang ramai: “Ada sebab mengapa Pemerintah melakukan semua ini. Mereka bukan suka-suka nak tutup kedai. Ia demi kebajikan orang ramai. Bagi saya, saya berfikir ‘wah jamin saya tidak akan terkena virus ini'. Dan tanpa diduga-duga, hakikatnya menjerut saya.” 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan