Skip to main content

Singapura

Adakah pengasas Harvey Norman Ossia, George Goh, sedang lakukan persiapan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden?

Anggaran Waktu Membaca:
Adakah pengasas Harvey Norman Ossia, George Goh, sedang lakukan persiapan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden?

Gambar: Facebook/George Goh Ching Wah

SINGAPURA: Sebelum ini, sebuah laman yang memperincikan biografi Encik George Goh serta pencapaiannya ditubuhkan beberapa bulan lalu.

Kemudian, sedang warga Singapura dikhabarkan pada petang Khamis (8 Jun) tentang hasrat Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam untuk ikut bertanding dalam Pilihan Raya Presiden, Encik Goh, 63 tahun, dilihat tampil dalam satu video wawancara di Instagram selang beberapa jam selepas pengumuman berkenaan.


Adakah Encik Goh, yang berkemungkinan menampilkan dirinya sebagai calon Pilihan Raya Presiden akan datang, sedang melakukan persiapan untuk berkempen?

Meskipun pemerhatinya berkata "tiada sebarang kemas kini" sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp pada Jumaat (9 Jun), para pengamat politik percaya usaha Encik Goh untuk membangunkan profil awamnya sejak beberapa bulan kebelakangan ini memberi bayangan berhubung aspirasinya untuk bertanding bagi jawatan tertinggi negara.

Wawancara tersebut, di samping laman yang menampilkan biografinya, adalah antara petanda yang menunjukkan tokoh perniagaan tersebut sebagai individu yang berkemungkinan berharap untuk ikut bertanding bagi jawatan Presiden Singapura, kata para pengamat politik kepada Mediacorp pada Jumaat.

Para pengamat politik menambah bahawa jika beliau menyertai gelanggang saingan tersebut, Encik Goh akan berdepan dengan cabaran besar untuk bertanding dengan Menteri Kanan, Encik Tharman, yang merupakan tokoh yang lebih dikenali warga Singapura.

SIAPA GEORGE GOH?

Encik Goh adalah pengerusi Ossia International, iaitu peruncit kasut, sukan dan fesyen yang disenaraikan dalam Bursa Singapura. beliau juga pengasas Harvey Norman Ossia, platform usaha sama dengan peruncit elektronik yang berpangkalan di Australia itu.

Beliau juga merupakan timbalan pengerusi Pertama Holdings Limited, sebuah syarikat pelaburan dengan minat terhadap produk elektronik pengguna dan perabot yang diborong, antara lainnya.

Di luar sektor swasta, bapa kepada empat orang anak itu juga mengasaskan bersama badan amal, Border Mission, dan merupakan anggota majlis di Persatuan Palang Merah, antara peranan lain yang dipegangnya.

Sejak 2017, Encik Goh menyandang jawatan sebagai Duta Singapura ke Maghribi.


APA KATA PARA PENGANALISIS?

Profesor Madya Eugene Tan, seorang pensyarah undang-undang dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU), mengatakan bahawa tindakan Encik Goh sejak beberapa bulan kebelakangan ini menunjukkan bahawa beliau "memupuk minat" untuk bertanding bagi jawatan Presiden.


"Lamannya yang disusun dengan rapi bermatlamat untuk menampilkan seorang individu yang berjaya dengan komitmen terhadap kerja-kerja amal seperti pendidikannya dan dirinya sebagai duta bukan penduduk ke Maghribi," jelas Profesor Madya Tan.


KURANG DIKENALI BERBANDING THARMAN

Sekiranya Encik Goh dan Encik Tharman akhirnya bersemuka dalam Pilihan Raya Presiden, Encik Tharman akan tampil selaku tokoh yang lebih dikenali dalam kalangan warga Singapura, oleh sebab latar belakangnya dalam perkhidmatan awamnya, menurut para penganalisis.


Profesor Madya Tan, misalnya, menarik perhatian bahawa Encik Tharman lebih dikenali bukan sahaja di Singapura, malah juga di persada antarabangsa berbanding Encik Goh.


"Dalam persaingan dari segi latar belakang kerjaya, kelayakan dan pencapaian pendidikan mereka, Encik Tharman jelas mempunyai rekod yang lebih unggul berbanding Encik Goh," ujarnya sambil menambah bahawa Encik Goh akan berdepan dengan cabaran besar untuk membuat dirinya lebih dikenali kepada masyarakat umum.


ADAKAH TERDAPAT CALON BERPOTENSI LAIN?

Mantan Anggota Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP), Inderjit Singh, tidak menjangkakan persaingan tiga penjuru, memandangkan terdapat hanya segelintir individu yang layak untuk menjadi Presiden disebabkan kriteria kelayakan yang ketat.


Beliau bagaimanapun berkata bahawa satu-satunya calon lain yang berpotensi untuk mengambil keputusan untuk ikut bertanding ialah Encik Lee Hsien Yang, adik lelaki kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong.


Bagaimanapun, para peguam sebelum ini memberitahu Mediacorp bahawa Encik Lee berkemungkinan tidak memenuhi kriteria menjadi seorang calon. Ini setelah mahkamah mendapati bahawa beliau dan isterinya berbohong semasa prosiding kehakiman melibatkan wasiat Perdana Menteri pertama Singapura, mendiang Lee Kuan Yew.

Sementara itu, Profesor Madya Tan menambah bahawa memandangkan Encik Tharman mempunyai hubungan rapat dengan PAP, pencalonannya itu mungkin mendorong individu lain dari sektor swasta untuk tampil bertanding dan menambat hati para pengundi yang mungkin lebih cenderung kepada calon yang tidak terikat dengan mana-mana pertubuhan.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita