Ada syarikat S'pura, pekerja M'sia tidak berpusu-pusu manfaatkan PCA
Sesetengah syarikat Singapura pula memilih untuk menunggu sehingga keadaan lebih stabil sebelum membawa pekerja warga Malaysia kembali ke negara ini.
SINGAPURA: Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) yang membolehkan warga Malaysia dan Singapura merentas sempadan satu sama lain bermula 17 Ogos ini, sudahpun penuh bagi Isnin hingga Rabu depan.
Kuotanya adalah 2,000 orang sehari dan menurut Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Baharuddin Tahir pada Khamis (13 Ogos), 6,000 orang sudahpun membuat permohonan bagi 17 hingga 19 Ogos.
Sungguhpun PCA membolehkan sempadan dibuka, masih ada segelintir pekerja Malaysia yang mahu tetap berada di Singapura buat masa ini, walaupun sudah lama tidak dapat pulang ke kampung halaman.
Sesetengah syarikat Singapura pula memilih untuk menunggu sehingga keadaan lebih stabil sebelum membawa pekerja warga Malaysia kembali ke negara ini.
Misalnya, syarikat pembekal makanan siap dimakan (ready-to-eat), Pondok Abang, yang mempunyai empat pekerja warga Malaysia.
Walaupun para pekerja Encik Muhammad Hasan Basri Abdul Rahman, berpeluang untuk berulang alik antara Singapura dengan Malaysia mulai minggu depan, beliau memilih untuk menunggu dan memantau keadaan.
SOAL KOS TAMBAHAN HINGGA S$2,000
Tiga pekerja Pondok Abang sebenarnya sudah pulang ke Malaysia sebelum tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 pada 7 April.
"Kita tanya bagaimana sekarang inginkah kamu semua pulang atau tinggal di Singapura? Jadi mereka semua mengatakan kami sudah lama tak pulang. Kami pun risau keadaan keluarga di sana, jadi kami ingin pulang.
"Jikalau semua sudah stabil, kami nak pulang ke Singapura untuk bekerja. Tapi mereka tidak menjangkakan, jangka masa ini akan berpanjangan sebegini," Encik Hasan memberitahu BERITAmediacorp.
Mengikut peraturan pihak berkuasa, sekiranya para pekerja tersebut kembali ke Singapura, mereka akan dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sehingga 14 hari sebelum boleh sambung bekerja.
Mereka juga perlu menetap di sini selama 90 hari sebelum boleh pulang semula ke Malaysia.
Kos penginapan kuarantin dan ujian COVID-19 yang mungkin perlu ditanggung majikan juga boleh melebihi $2,000 seorang.
Menurut laman Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), majikan atau pekerja perlu menanggung kos penginapan pekerja yang dikenakan SHN dan ujian PCR COVID-19 yang dilakukan setibanya mereka di Singapura.
"Sebelum kelonggaran ini pun mereka sudah menyuarakan hasrat untuk kembali ke Singapura untuk bekerja. Tapi kita harus membuat keputusan. Pada keadaan sekarang ini kami amat prihatin atas kos-kos yang kami perlu keluarkan. Kalau keadaan kembali pulih dengan lagi stabil kami tidak perlu menghantar mereka untuk kuarantin lebih baik," ujar Encik Hasan.
GAJIKAN PEKERJA S'PURA GANTI TEMPAT PEKERJA M'SIA
Sekalipun demikian Encik Hasan mengaku tidak akan teragak-agak untuk membawa masuk para pekerja warga Malaysia itu ke Singapura sekiranya keadaan mendesak.
"Mereka ini adalah pekerja yang telah dilatih dalam posisi mereka sebagai penolong dapur, sebagai pemotong daging, sebagai pekerja pemproses makanan. Jadi jikalau kami betul-betul memerlukan mereka semula walaupun kami harus membayar untuk mereka kuarantin di Singapura, kami akan memanggil mereka," tambah beliau.
Buat masa ini, kata Encik Hasan, ketiga-tiga pekerja warga Malaysia di syarikatnya sedang bekerja sambilan di negeri masing-masing untuk menyara hidup sementara menanti masa yang sesuai untuk mereka kembali ke sini.
"Sekarang di sana mereka cuba mencari kerja sambilan untuk tanggung perbelanjaan. Yang ada kerja di pelabuhan untuk buat, apa-apa yang mereka boleh buat mereka buat dulu. Yang ada buat jual insurans pun ada juga hanya untuk pastikan mereka boleh bertahan ketika mereka di sana," kongsi beliau.
Sementara menanti untuk membawa ketiga-tiga pekerja warga Malaysia itu kembali ke Singapura, Encik Hasan mendedahkan bahawa syarikatnya juga perlu membuat penyesuaian.
Untuk mencukupkan tenaga kerja yang berkurangan itu, beliau kini menggajikan warga Singapura.
"Kita mengambil lebih ramai tenaga kerja daripada warga Singapura. Lagi pun ramai yang terjejas dengan keadaan COVID-19 ini jadi kami amat gembira juga kami dapat membantu lebih ramai warga Singapura bekerja dengan kami. Buat masa sekarang kami telah mengambil sebanyak lagi empat warga Singapura bekerja dengan kami," kata Encik Hasan.
KHUATIR HILANG KERJA JIKA BALIK M'SIA
Satu-satunya pekerja warga Malaysia di Pondok Abang, yang masih berada di Kota Singa ini, ialah Wan Aina Imani.
Sedang rakan-rakan yang lain memilih untuk pulang, beliau pula memilih untuk terus berada di Singapura walaupun sudah lapan bulan tidak dapat pulang dan walaupun kini ada peluang untuk berbuat demikian menerusi PCA.
Beliau sebenarnya ada pertimbangan lebih besar untuk tidak pulang ke kampung halamannya di negeri Perak. Ini khususnya terkait dengan soal jaminan pekerjaan di tengah-tengah krisis COVID-19 sekarang dan gaji yang lebih lumayan yang sedang diraihnya di sini.
"Sebab ada penularan ini, saya fikir nanti kalau dah berhenti susah nak cari kerja, itu yang utamalah. Rindu itu rindu juga dengan ibu bapa tapi saya rasa kerja pun penting juga. Apa-apa saya boleh tolong dari sini untuk ibu bapa saya. Melalui duit ke apa ke boleh tolong juga. Daripada saya tak kerja, nanti ibu bapa saya pun tak bekerja tak ada pendapatan," jelas Wan Aina.
Beliau sebenarnya baru juga bekerja sepenuh masa sebagai pegawai eksekutif pentadbiran di syarikat Pondok Abang sejak bulan Mac lalu. Sebelum itu, sejak Januari 2019, beliau menjalani latihan amali di Pondok Abang.
Sepanjang bekerja di syarikat itu sehingga kini, Wan Aina hanya pulang ke Malaysia sebanyak tiga kali sahaja. Kali terakhir adalah pada November 2019.
Beliau sebenarnya sudah merancang dengan keluarganya untuk bercuti pada bulan Mac tahun ini. Namun terpaksa dibatalkan setelah muncul pelbagai gangguan COVID-19, khususnya perintah kawalan pergerakan dan penutupan sempadan kedua-dua negara.
"Jadi, tak bolehlah. Ibu bapa saya selalu kata tak apalah lain kali mungkin. COVID-19 ini tak lama kan, sekejap saja. Tapi tak sangka sampai nak dekat setahun," cerita Wan Aina kepada BERITAmediacorp.
Dengan keadaan masih terus tidak menentu, Wan Aina juga belum merancang untuk pulang ke Malaysia dalam tempoh terdekat.
Jelas, tidak semua pekerja dan majikan berpusu-pusu memanfaatkan PCA walaupun sempadan mula dibuka.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.