Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ada rancangan untuk ke luar negara? Berikut kemas kini langkah kawalan sempadan dan VTL baru S'pura

Langkah-langkah kawalan sempadan di Singapura akan dipermudahkan bagi menyambut ketibaan pelawat yang kurang kemungkinan akan menghidap jangkitan teruk COVID-19 dan membebankan sistem jagaan kesihatan negara ketika mereka berada di sini.

Anggaran Waktu Membaca:
Ada rancangan untuk ke luar negara? Berikut kemas kini langkah kawalan sempadan dan VTL baru S'pura

Para penumpang beratur di kaunter daftar masuk di Lapangan Terbang Changi pada 8 Jun 2020. (Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 17 Feb 2022 11:48AM Dikemas Kini : 17 Feb 2022 01:49PM

SINGAPURA: Langkah-langkah kawalan sempadan di Singapura akan dipermudahkan bagi menyambut ketibaan pelawat yang kurang kemungkinan akan menghidap jangkitan teruk COVID-19 dan membebankan sistem jagaan kesihatan negara ketika mereka berada di sini.

"Memandangkan kadar kejadian COVID-19 di Singapura kini sama dengan kebanyakan destinasi di luar negara, kes import mungkin tidak akan menjejas trajektori kes tempatan," menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (16 Feb).

Singapura juga mengumumkan pelancaran laluan perjalanan penumpang sudah lengkap divaksin (VTL) yang baru bersama Hong Kong dan beberapa wilayah lain pada Rabu. Kuota VTL juga akan dipulihkan dan secara beransur-ansur ditambah.

Berikut kemas kini yang perlu anda tahu:

VTL HONG KONG

Satu-satunya sekatan sempadan yang diperketat adalah dengan Hong Kong.

Sebagai wilayah di bawah Kategori Satu, pelawat dari Hong Kong, termasuk mereka yang belum divaksin, boleh memasuki Singapura di bawah aturan pembukaan sepihak.

Aturan itu akan dibatalkan pada pukul 11.59 malam 24 Februari ini menyusuli semakan MOH terhadap situasi COVID-19 di sana.

Ia digantikan dengan laluan sehala VTL yang baru, bermakna pelawat dari Hong Kong kini perlu lengkap divaksin untuk memasuki Singapura tanpa perlu menjalani kuarantin.

Permohonan bagi pas perjalanan udara (ATP) bagi perjalanan dari Hong Kong berhenti pada 11.59 malam, 17 Feb.

Pelawat yang mempunyai sejarah perjalanan ke Hong Kong dan mempunyai ATP yang sah masih boleh memasuki Singapura sehingga 11.59 malam, 24 Feb.

Semua ATP untuk masuk ke Singapura dari Hong Kong selepas waktu itu akan dibatalkan.

Pelawat dengan sejarah perjalanan ke Hong Kong boleh mohon bagi Pas Penumpang Sudah Divaksin (VTP) untuk memasuki Singapura dari pukul 10.00 pagi, 22 Feb untuk masuk ke sini pada atau selepas 25 Feb.

LAGI 5 NEGARA VTL, LEBIH BANYAK RANGKAIAN KE THAILAND

Laluan VTL yang diumumkan sebelum ini bersama Qatar, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu, yang ditunda di tengah-tengah kemunculan varian Omicron, akan dibuka semula mulai 25 Februari.

Pelawat dari tiga negara tersebut boleh memohon bagi VTP mulai 10.00 pagi pada 22 Februari.

VTL baru bersama Israel dan Filipina turut diumumkan pada Rabu, dengan laluan bebas kuarantin dua hala antara Singapura dan negara-negara tersebut dilaksanakan pada 4 Mac.

Permohonan VTP bagi Israel dan Filipina akan dibuka bermula 10.00 pagi pada 1 Mac.

Aturan VTL bagi Thailand juga dilanjutkan ke semua kota selain Bangkok, menurut Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS).

"Syarikat penerbangan yang merancang untuk beroperasi dari lebih banyak bandar Thailand di bawah VTL boleh menghantar rancangan mereka bagi penerbangan khusus kepada CAAS untuk mendapatkan kelulusan," menurut penguasa itu.

KUOTA VTL DARAT M'SIA DIPULIHKAN

Dalam usaha membendung penularan varian Omicron, Singapura mengurangkan kuota VTL darat bersama Malaysia sebanyak 50 peratus pada Disember lalu.

Kuota itu akan dipulihkan semula mulai 22 Feb, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI). Penjualan tiket bas tambahan untuk perjalanan bermula 22 Februari sudah dibuka.

"Memandangkan kes import tidak mungkin akan menjejas trajektori kes tempatan, MTI akan memulihkan semula kuota VTL darat dan menyelaraskan langkah-langkah sempadan bagi VTL (darat)," menurut MTI.

VTL LAUT BERSAMA BATAM, BINTAN

Perjalanan dua hala bebas kuarantin antara Singapura dengan pulau Batam dan Bintan bermula 25 Feb.

Indonesia pada masa ini membenarkan pelawat dari Singapura untuk melakukan perjalanan di bawah aturan perjalanan khas ke Terminal Feri Antarabangsa Nongsapura di Batam dan Terminal Feri Bandar Bintan Telani di Bintan, tanpa perlu menjalani kuarantin.

Di bawah VTL laut, pelawat tetap tertakluk kepada peraturan biasa iaitu mereka harus sudah lengkap divaksin dan mempunyai bukti vaksinasi secara digital atau fizikal yang diiktiraf pihak berkuasa Singapura.

Mereka juga perlu menjalani dua ujian COVID-19. Pertama, sebelum berlepas dari Batam atau Bintan, dan ujian kedua sebaik tiba di Singapura.

GABUNGAN KATEGORI NEGARA

Kategori Dua, Tiga dan Empat sedia ada akan digabungkan menjadi satu kategori Perjalanan Am. Pelawat lengkap divaksin yang tiba ke Singapura menerusi aturan VTL boleh terus menikmati langkah kawalan sempadan bebas kuarantin.

Pelawat dari negara atau rantau di bawah Kategori Satu, seperti Macau, Taiwan dan China boleh memasuki Singapura tanpa perlu menjalani kuarantin. Hong Kong, yang kini merupakan negara Kategori Satu, akan diklasifikasikan di bawah kategori Perjalanan Am mulai 25 Februari.

Satu kategori baru diperkenalkan bagi negara atau rantau dengan situasi COVID-19 yang mungkin memerlukan langkah-langkah kawalan sempadan lebih ketat semasa ketibaan. Buat masa ini tiada negara atau rantau dimasukkan ke dalam kategori Sekatan tersebut, menurut MOH.

Memandangkan tempoh inkubasi varian Omicron yang lebih singkat, tempoh notis jangan keluar rumah (SHN) juga akan diselaraskan kepada tujuh hari bagi semua kategori negara atau rantau.

Ini akan berkuat kuasa bagi pelawat yang tiba di Singapura mulai pukul 11.59 malam pada 21 Februari.

SYARAT LEBIH MUDAH BAGI PELAWAT VTL

Mulai 11.59 malam pada 21 Feb, rejim ujian tujuh hari yang dipertingkat bagi pelawat VTL ke Singapura akan dihentikan.

Selain itu, pelawat dari Kategori Satu dan VTL tidak lagi perlu melakukan ujian tindak balas berantai polimerase (PCR) pada ketibaan di Lapangan Terbang Changi.

Sebaliknya, mereka mempunyai masa sehingga 24 jam selepas ketibaan untuk mengambil ujian pantas antigen (ART) kendiri yang dipantau di salah satu pusat ujian yang terletak di merata Singapura.

Selain dibenarkan keluar unutk menjalani ujian itu, mereka perlu menjalani pengasingan kendiri di tempat kediaman masing-masing sehingga diuji negatif. Mereka juga perlu menaiki pengangkutan privet apabila melakukan perjalanan ulang alik ke pusat ujian.

Syarat sejarah perjalanan dikurangkan dari 14 hari kepada tujuh hari bagi pelawat VTL.

Mereka harus terus berada di satu atau lebih negara atau rantau VTL, atau sebuah negara atau rantau Kategori Satu selama tujuh hari berturut-turut sebelum berlepas ke Singapura.

Pemegang pas jangka panjang yang lengkap divaksin juga tidak lagi perlu mendapatkan VTP atau kelulusan kemasukan ke Singapura.

Mulai 11.59 malam pada 21 Feb, hanya pelawat jangka pendek dan pemegang permit kerja yang layak melakukan perjalanan menerusi VTL perlu memohon bagi VTP untuk masuk ke Singapura dengan menaiki pesawat VTL.

Sumber : CNA/HA/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa