Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ada kedai nasi ayam tutup, ada yang cari jalan lain selepas seminggu larangan eksport ayam M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
Ada kedai nasi ayam tutup, ada yang cari jalan lain selepas seminggu larangan eksport ayam M'sia

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 08 Jun 2022 06:41PM Dikemas Kini : 08 Jun 2022 11:46PM

SINGAPURA: Bekalan terakhir ayam segar dari Malaysia tiba di gerai nasi ayam Encik Ong Eng Koon pada Selasa (7 Jun). 

Pada Rabu (8 Jun), beliau mencuba sesuatu yang tidak pernah dilakukannya sejak ancaman demam burung beberapa tahun lalu - beliau menghidangkan makanan terkenal itu menggunakan ayam beku yang dimasak. 

Mujurlah, beliau berjaya. 

Sebanyak 10 ekor ayam yang dimasak Encik Ong itu habis dijual dalam dua jam. 

Setakat 11.30 pagi, tiada ayam lagi yang boleh dihidangkan dan yang tinggal hanyalah nasi itik dan nasi char siew yang juga dijualnya. 

"Mereka makan. Mereka katakan ia sedap," kata Encik Ong dengan gembira. 

Sebelum ini, beliau memberitahu Mediacorp bahawa beliau mungkin perlu bergantung kepada penjualan hidangan-hidangan lain untuk kekal beroperasi, meskipun nasi ayamnya itu paling laris dijual. 

Encik Ong yang sudah mengendalikan gerainya di Pasar dan Pusat Makanan Pek Kio selama 25 tahun, berkata, beliau akan terus menghidangkan nasi ayam menggunakan alternatif ayam beku itu, memandangkan ia disukai pelanggan. 

Namun, lagi sebuah kedai ayam di pusat penjaja itu tutup disebabkan oleh larangan eksport ayam, tambah Encik Ong. 

Meskipun harga nasi ayam itu kekal sama di gerai Encik Ong, cawangan nasi ayam Boon Tong Kee di Balestier menunjukkan bahawa kombo nasi ayam kini berharga S$6 tanpa GST, naik berbanding S$0.50 sejak 1 Jun. 

BEKALAN BERTERUSAN

Di tengah-tengah keadaan tidak menentu mengenai kesan-kesan larangan eksport itu, Encik Affandi Abdul Rahman yang mengendalikan gerai nasi ayam dan ayam penyet di Pasar dan Pusat Makanan Marine Parade Central bersama keluarganya, berasa lega bahawa gerainya itu masih beroperasi. 

Pembekal Malaysianya sepanjang 14 tahun masih menghantar bekalan ayam beku ke gerainya, meskipun Encik Affandi berkata beliau tidak pasti mana datang bekalan ayam itu kerana dikendalikan oleh ayahnya. 

Beliau sebelum ini mengadu bahawa apabila menggunakan ayam beku, rasanya kurang sedap disebabkan teksturnya yang kurang baik dan rasnya yang kurang sedap apabila dihidangkan. 

Pada Rabu (8 Jun), Encik Affandi memberitahu Mediacorp bahawa pembekal yang dipercayainya sudah mencari huraian untuk menghantar ayam. 

"Kami tidak mahu lakukan kerja-kerja yang leceh, jadi dia akan lakukannya, dia akan mencari pembekal. Dia pun bukan lakukannya untuk kita sahaja, dia juga lakukannya untuk ramai pemilik kedai, gerai," katanya. 

SITUASI DI PASAR BASAH

Di sebuah pasar basah yang dikunjungi Mediacorp, keadaan agak lengang.

Tidak ramai orang yang mengunjungi Pasar Beo Crescent pada pagi Rabu (8 Jun) sekitar pukul 9.00 pagi. Itu bukanlah keadaan yang disaksikan Mediacorp sebelum larangan eksport ayam berkuat kuasa. 

Namun, kedai ayam halal Nur Muhammad Meat Enterprise memberitahu Mediacorp bahawa para pelanggan masih membeli ayam beku. 

"Saya sudah menjual ayam beku selama 20 tahun. Tiada masalah. Tetapi dahulu, satu kilogram S$5, sekarang S$10," kata pemilik kedai Nur Muhammad yang berusia 33 tahun. 

"Namun, bagi barangan beku, harga sudah naik sejak Hari Raya," tambahnya, sambil menerangkan bahawa harga sudah meningkat sejak sebelum larangan eksport itu berkuat kuasa. 

Malangnya, beberapa kedai dilihat sudah terjejas. Di kedai Kim Heng Frozen Food, bekalan ayam bekunya masih belum dijual. 

Pemilik kedai itu, yang ingin dikenali sebagai Encik Tan berkata, jumlah pelanggan berkurangan sejak larangan eksport ayam itu dikenakan seminggu lalu. 

Beliau menarik perhatian bahawa kedai di sebelahnya, iaitu Swee Heng Fresh Chicken Shop yang dikunjungi Mediacorp beberapa kali sebelum larangan eksport, sudah ditutup kira-kira seminggu. 

"Ramai orang tidak suka daging beku. Kalau tak ada kedai jual sayur atau ikan, mesti kurang pelanggan. Orang masih suka ayam segar," kata Encik Tan. 

Mereka yang mahu membeli ayam segar juga akan membeli daripada pasar raya di mana ayam itu berharga lebih berpatutan, kata pemilik kedai yang berusia 60 tahun itu. 

Apabila ditanya apa yang beliau akan lakukan untuk mengatasi kekurangan pelanggan, Encik Tan berkata, "kita harus menyesuaikan diri". 

"Mungkin pelanggan akan datang kembali kerana tiada pilihan. Kami tidak boleh bergantung kepada Malaysia," tambahnya. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan