Skip to main content

Singapura

Ada ibu bapa bimbang, sukar cari alternatif lain bila tiada lagi khidmat tajaka pada hari Sabtu

Anggaran Waktu Membaca:
Ada ibu bapa bimbang, sukar cari alternatif lain bila tiada lagi khidmat tajaka pada hari Sabtu

Ada ibu bapa bimbang, sukar cari alternatif lain bila tiada lagi khidmat tajaka pada hari Sabtu. (Gambar-gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Diterbitkan : 27 Jul 2023 09:29PM Dikemas Kini : 28 Jul 2023 02:48PM
Menurut satu tinjauan yang dilakukan, 98 peratus keluarga yang menggunakan khidmat tajaka didapati tidak memerlukan khidmat tajaka pada Sabtu.

Ini menurutnya kerana mereka boleh menjaga anak mereka sendiri atau menggunakan pilihan alternatif.

Walaupun langkah itu akan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025, pusat-pusat tajaka yang tidak mempunyai permintaan bagi khidmat tersebut dibenarkan untuk tidak beroperasi pada hari Sabtu, bermula Januari tahun depan.

SINGAPURA: Sejak pengumuman bahawa tidak wajib untuk tajaka beroperasi pada hari Sabtu bermula 2025, ibu bapa seperti Encik Abdul Halim Hidayat dan isterinya sudah mula mencari alternatif lain untuk anak-anaknya.

Ini terutama sekali bagi beliau yang bekerja pada hari Sabtu. Isterinya juga kadangkala perlu bertugas pada hari Sabtu.

Related article image
Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Oleh itu, khidmat tajaka pada hari Sabtu amat berguna bagi ibu bapa dengan jadual kerja seperti mereka.

Encik Halim menambah bahawa khidmat sebegini juga amat bermanfaat bagi para pekerja syif.

"Adalah sedikit kebimbangan kerana ada kalanya ibu bapa terpaksa bekerja pada hari Sabtu. Dengan penghentian khidmat pada hari Sabtu ini juga, ia membuatkan ibu bapa terpaksa membuat perubahan untuk menyesuaikan diri," kongsi Encik Halim 31 tahun kepada BERITA Mediacorp.

"Antara kebimbangan yang saya juga ada ialah jikalau ibu bapa atau saya dan isteri saya mahu mencari kerja baru, kita harus fikirkan atau mencari kerja yang hanya membuatkan kami bekerja pada waktu pejabat sahaja. Kita tidak boleh memilih pekerjaan yang memerlukan kita bekerja pada hari minggu. Jadi ada kekangan peluang ataupun kekangan pekerjaan," tambahnya.

IBU BAPA PERLU CARI ALTERNATIF LAIN

Related article image
Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Dengan pemansuhan kewajipan untuk tajaka beroperasi pada Sabtu, ia bermakna ibu bapa seperti Encik Halim perlu mencari alternatif lain.

"Walaupun saya gembira untuk para pekerja dan guru-guru anak-anak saya kerana mereka dapat berehat tetapi saya juga harus berfikir tentang keluarga saya," kongsi Encik Halim.

"Saya ada melihat kepada alternatif seperti penjaga jangka masa pendek dan sambilan atau meminta pertolongan ibu bapa tetapi saya rasa bahawa kedua-dua alternatif ini bukanlah satu alternatif yang mampan," tambahnya.

Related article image
Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Di sini, kos menjadi antara faktor yang dipertimbangkan lebih-lebih lagi untuk mendapatkan khidmat penjaga kanak-kanak yang mengenakan kadar yuran bagi setiap jam.

"Kalau harga misalnya, berapa belas dolar setiap jam, kalau satu hari Sabtu, mungkin S$80 hingga S$100. Jadi kalau setiap hari Sabtu, sudah lebih S$400 sebulan. Jadi tidak semua ibu bapa mampu untuk membuat aturan tersebut untuk jangka masa yang panjang. Jadi ada yang terpaksa menghantar ke rumah ibu bapa. Kalau ada yang tidak dapat bantuan dari luar pula, ia agak sukar," ujar Encik Halim.

Kos itu tambahan yuran tajaka yang beliau perlu bayar bagi penjagaan dua orang anaknya dari hari Isnin hingga Jumaat.

Dengan pengurangan hari dan masa di tajaka, Encik Halim berharap yuran tajaka juga dapat disemak agar ia boleh "disalurkan" untuk mencari alternatif lain yang juga menelan belanja.

Bagaimanapun, Encik Halim akui masa yang diberikan sehingga 2025 untuk aturan baru itu dikuatkuasakan mencukupi bagi para ibu bapa mencari alternatif lain.

Buat waktu ini, rancangan Encik Halim adalah untuk mencari dan menghantar anak-anaknya ke program-program pengayaan yang dianjurkan pada hari Sabtu.

PERMINTAAN RENDAH TAPI ADA IBU BAPA PERLUKAN KHIDMAT ITU PADA SAAT AKHIR, KECEMASAN

Related article image
Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri


Buat masa ini, masih ada tajaka yang beroperasi pada hari Sabtu untuk memenuhi keperluan para ibu bapa seperti Encik Halim.

Antaranya termasuk Pusat Tajaka Ilham.

"Kita mempunyai kerja-kerja pembasmian yang dilakukan setiap bulan jadi kita perlu buka pada hari Sabtu. Dan untuk lebih bersedia, sekitanya ada ibu bapa yang memerlukan khidmat ini seperti kecemasan, kita akan ada di sini," ujar Pengurus Pembangunan Sumber (HR) dan Operasi, Cik Masyita Daud.

Related article image
Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Untuk ibu bapa yang perlu menghantar anak mereka pada hari Sabtu, mereka perlu memaklumkan pihak sekolah lebih awal lagi agar persiapan yang perlu dapat diuruskan pihak tajaka.

"Kami harus menjadualkan kakitangan ataupun guru yang mempunyai sijil Makanan dan Kebersihan untuk ada pada hari Sabtu itu kerana mereka yang akan menyiapkan makanan untuk kanak-kanak ini dan juga kita akan memastikan tiada pengendali yang akan datang pada hari Sabtu itu untuk keselamatan kanak-kanak juga," tambah beliau.

Meskipun demikian, tajaka itu mendapati tiada permintaan bagi khidmat hari Sabtu.

Related article image
Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri


"Kita memang tidak ada permintaan untuk hari Sabtu. Mungkin 'once in a blue moon' yang mereka akan hantar kanak-kanak mereka pada Sabtu, dalam satu kanak-kanak sahaja," kongsi Cik Masyita

"Jadi pada dasarnya, tidak ada banyak permintaan untuk khidmat pada hari Sabtu," tambah beliau.

Related article image
Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Malah, Pusat Tajaka itu juga mendapati ramai ibu bapa yang mengalu-alukan langkah yang diumumkan itu.

"Kami juga mendapatkan maklum balas daripada ibu bapa dan tidak ada yang memberi maklum balas negatif, semuanya positif. Ramai ibu bapa yang menyatakan bahawa itu adalah inisiatif yang bagus untuk guru-guru dan kakitangan kami berehat," menurut Cik Masyita

Usaha itu adalah sebahagian daripada usaha pemerintah menarik lebih ramai orang untuk bekerja dalam sektor pendidikan awal kanak-kanak dan mengekalkan kakitangannya yang sedia ada.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita