Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ada cara lebih baik untuk kawal jumlah burung gagak selain menakai, kata ACRES susuli serangan gagak di Bishan

Anggaran Waktu Membaca:
Ada cara lebih baik untuk kawal jumlah burung gagak selain menakai, kata ACRES susuli serangan gagak di Bishan

(Gambar: Try Sutrisno Foo/CNA)

SINGAPURA: Walaupun kaedah menakai merupakan cara terpantas untuk menghuraikan aduan masyarakat,  terdapat cara lebih baik untuk mengawal jumlah burung gagak di Singapura, menurut Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (ACRES). 

Mengurangkan akses burung itu kepada makanan dan mengubah tempat tinggal unggas itu misalnya merupakan cara mampan untuk masa akan datang, tambah kumpulan penyelamat haiwan liar itu selepas sekawan burung gagak menyerang beberapa pejalan kaki di laluan pejalan kaki di sekitar Bishan Street 12. 

Sebagai respons kepada serangan tersebut, pihak berkuasa mengepung sebahagian kawasan tersebut dan menghapuskan seekor burung gagak yang cedera pada Rabu lepas (15 Feb). 

Lembaga Taman Negara (NParks) menyatakan, ia bekerjasama dengan Majlis Bandaran Bishan-Toa Payoh untuk menghapuskan sarang, mencantas pokok berdekatan dan memerangkap burung gagak. Agensi itu juga menakai burung gagak sebagai salah satu cara untuk mengawal jumlahnya. 

Burung gagak itu yang dikenali oleh nama saintifik corvus splendens, ialah spesis invasif yang senang menyesuaikan diri dengan persekitaran bandar. Insiden ganas dengan burung itu kadangkala menarik perhatian di Singapura. 

Menyusuli insiden di Bishan itu, akhbar Lianhe Zaobao melaporkan, seorang wanita, 38 tahun, diserang oleh burung gagak di Houganga Avenue 8 pada Jumaat lalu (17 Feb). 

Sebelum ini, penempak sukarela dari Kelab Pistol Singapura membantu menakai burung gagak. Dua bekas sukarelawan yang enggan mendedahkan identiti mereka, mengesahkan, terdapat program sedemikian, yang berakhir pada awal tahun 2010-an setelah lesen menembak burung gagak tidak diperbaharui. 

Seorang sukarelawan kelab pistol itu untuk selama dua dekad, berkata, mereka dahulu menembak burung gagak setiap hujung minggu, dengan 200 hingga 300 dibunuh setiap kali. Pada salah satu sesi menembak di Ang Mo Kio pada tahun 1990-an, hampir 900 burung dibunuh. 

Pada satu ketika, pihak berkuasa juga mendapatkan perkhidmatan Certis CISCO untuk menakai burung gagak. Ia menarik perhatian tiga tahun lalu apabila seorang pembantu pegawai polis dikenakan hukuman penjara kerana membunuh burung gagak dengan senapang patah tanpa kehadiran seorang pegawai keselamatan. 

Certis CISCO memberitahu Mediacorp, ia tidak lagi menembak burung gagak. 

NParks bagaimanapun tidak menjawab pertanyaan Mediacorp mengenai sebab program menembak itu dihentikan, namun menyatakan sebelum ini ia mengurangkan sumber makanan dan mengubah tempat tinggal burung gagak sebagai sebahagian langkah untuk mengawal jumlah burung tersebut. 

NParks turut menyatakan, ia mengambil "kaedah lebih berperikemanusiaan dengan memerangkap dan memberikan eutanasia". 

Walaupun kaedah menembak burung gagak sudahpun dihentikan, ACRES menyatakan, ia masih prihatin dengan cara jumlah burung gagak dikawal. 

Burung gagak dibunuh dengan meletakkannya di dalam beg plastik dan karbon dioksida dipam ke dalam beg-beg itu, menurut CEO bersama kumpulan itu, Cik Anbarasi Boopal. 

Dan ini "sama sekali tidak berperikemanusiaan", tambahnya. 

"Menggunakan karbon dioksida dalam beg plastik mungkin dilihat sebagai cara menjimat wang bagi kontraktor. 

"Namun, burung lazimnya menderita dan kaedah ini disarankan hanya untuk situasi kecemasan seperti penularan penyakit bagi keselamatan peribadi." 

Beliau merayu agar Singapura memikirkan "cara lebih baik bagi menangani haiwan-haiwan itu".

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan