'Ada banyak bakat dalam WP, jadi tidak perlu bimbang', tegas mantan ketua Low Thia Kiang

Temu ramah Mediacorp bersama mantan ketua Parti Pekerja, Low Thia Kiang, pada 26 Jun 2020.
SINGAPURA: Mantan ketua Parti Pekerja (WP) Low Thia Kiang meyakinkan penduduk tentang kaliber anggota parti tersebut berikutan dapatan laporan Jawatankuasa Hak Istimewa (COP). Tegasnya parti itu mempunyai "ramai anggota berbakat".
Encik Low juga mengulas sama ada beliau akan kembali ke bidang politik. Menurut beliau "ia terserah kepada penduduk untuk memintanya berbuat demikian", lapor akhbar Cina Shin Min Daily News yang menukil Encik Low pada Jumaat (11 Feb).
"Semua orang sangat bimbang" kata Encik Low. "(Namun) ada banyak bakat dalam WP. Oleh itu, tidak perlu bimbang."
COP, dalam laporan terbaru pada Khamis (10 Feb) mendapati bekas Anggota Parlimen (AP) WP Cik Raeesah Khan bersalah menyalahgunakan hak istimewa apabila berbohong di Parlimen pada 3 Ogos, dan mengulanginya pada 4 Oktober.
Laporan itu bagaimanapun menyatakan sejak 8 Ogos, Cik Raeesah bertindak di bawah bimbingan tiga pemimpin kanan WP, iaitu setiausaha agung Pritam Singh, naib pengerusi Faisal Manap dan pengerusi Sylvia Lim untuk "terus tutup mulut" tentang pembohongan tersebut, manakala pada 3 Oktober, Cik Raeesah diberitahu sekali lagi oleh Encik Singh untuk terus berbohong.
Jawatankuasa COP juga menyarankan agar Encik Singh dirujuk kepada pihak pendakwa raya awam untuk siasatan lanjut, "dengan kemungkinan untuk mempertimbangkan sama ada prosiding jenayah harus dimulakan berhubung tingkah lakunya semasa berdepan dengan Jawatankuasa itu".
Encik Faisal juga akan disiasat kerana enggan menjawab pertanyaan berkaitan yang dikemukakan Jawatankuasa berkenaan, dan sama ada prosiding jenayah harus dimulakan terhadapnya.
Encik Low mengundurkan diri sebagai setiausaha agung WP pada 2018 dan pernah berkata tidak mungkin akan kembali ke arena politik.
Dalam temu ramah bersama Mediacorp pada 2020, Encik Low berkata beliau ingin melihat pasukan WP yang lebih muda dan "lebih berdaya tahan" untuk mengukuhkan lagi asas yang sudah dibentuk parti tersebut bagi "memberi Singapura sebuah sistem politik yang lebih seimbang sebagai perlindungan kepada rakyat Singapura".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.