Skip to main content

Singapura

Ada alahan udang? Kajian pertama SG uji rawatan melalui pendedahan berperingkat

Anggaran Waktu Membaca:
 Ada alahan udang? Kajian pertama SG uji rawatan melalui pendedahan berperingkat

(Gambar: iStock/quintanilla)

Diterbitkan : 02 Oct 2026 01:11PM Dikemas Kini : 02 Oct 2026 01:12PM
  • NUH melancarkan ujian klinikal pertama Singapura bagi imunoterapi oral alahan udang, melibatkan Dr Lydia Wong, Alicia Kang, penyelidik dan pesakit yang memenuhi kriteria.
  • Kajian ini penting kerana alahan makanan laut bercengkerang menjejas ramai penduduk Singapura, boleh menyebabkan anafilaksis, dan sukar dielakkan dalam makanan tempatan.
  • Sehingga 30 peserta akan direkrut; 20 menerima serbuk udang dalam dos meningkat selama lapan hingga 10 bulan, manakala 10 menjadi kawalan.
  • Penyelidik akan memantau peserta sehingga dua tahun bagi menilai keselamatan, keberkesanan, ketahanan toleransi dan potensi rawatan baharu untuk meningkatkan mutu kehidupan.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Bagi mereka yang alah kepada udang, cara untuk mengelakkan reaksi alahan serius yang boleh mengancam nyawa atau anafilaksis mungkin kedengaran mudah: jangan makan udang.

Namun, di Singapura, ia tidak semudah itu.
Makanan laut bercengkerang banyak digunakan dalam masakan tempatan – sama ada sebagai bahan utama dalam hidangan seperti mi udang, ataupun sebagai ramuan dalam makanan kegemaran ramai seperti laksa dan rojak.

Ini bermakna mereka yang mempunyai alahan udang berdepan risiko termakan udang secara tidak sengaja atau terdedah akibat pencemaran silang ketika makanan disediakan.

Kini, satu ujian klinikal baharu di Singapura sedang menguji pendekatan yang mungkin kedengaran bertentangan dengan kebiasaan: memberikan udang kepada pesakit dan meningkatkan jumlahnya secara beransur-ansur.

Hospital Universiti Nasional (NUH) melancarkan ujian klinikal pertama Singapura bagi imunoterapi oral untuk alahan udang.

Kajian itu mahu mengetahui sama ada pendedahan kepada udang dalam jumlah yang dikawal dengan teliti dapat membantu pesakit membina tahap toleransi yang lebih tinggi dari semasa ke semasa.

MENGAPA ALAHAN UDANG JADI PERHATIAN DI SINGAPURA?

Alahan terhadap makanan laut bercengkerang adalah antara alahan makanan paling biasa di Singapura dan dianggarkan menjejas antara 90,000 hingga 150,000 orang, menurut NUH.

Kajian terdahulu di Singapura yang dipetik hospital itu mendapati sekitar 5.2 peratus remaja mengalami alahan disebabkan oleh makanan laut bercengkerang.

Ia juga merupakan punca utama anafilaksis berkaitan makanan yang dirawat di jabatan kecemasan Singapura, merangkumi 14 peratus kes anafilaksis akibat makanan.

Tidak seperti alahan terhadap susu atau telur yang mungkin hilang apabila kanak-kanak semakin membesar, alahan makanan laut bercengkerang biasanya mula muncul ketika remaja atau dewasa dan sering berterusan sepanjang hayat.

Reaksi alahan boleh berbentuk gatal-gatal dan bengkak hingga anafilaksis yang boleh mengancam nyawa.

“Bagi mereka yang mempunyai alahan udang, mengelakkan udang buat masa ini merupakan satu-satunya cara berkesan untuk menguruskan keadaan tersebut,” kata penyelidik utama kajian itu, Dr Lydia Wong, yang juga konsultan di Divisyen Alergi Pediatrik, Imunologi dan Reumatologi NUH.

Menurutnya, ini boleh menjadi satu cabaran di Singapura kerana makanan laut bercengkerang digunakan dalam banyak hidangan tempatan dan pencemaran silang sukar dielakkan.

APA ITU IMUNOTERAPI ORAL?

Berbanding mengelakkan makanan yang menyebabkan alahan sepenuhnya, imunoterapi oral mendedahkan pesakit kepada makanan tersebut dalam jumlah yang dikawal dengan teliti.

Jumlahnya kemudian ditingkatkan sedikit demi sedikit di bawah pengawasan perubatan, dengan tujuan mengubah cara sistem imun tubuh bertindak balas terhadap bahan yang menyebabkan alahan.

Dalam kajian NUH, peserta yang menerima rawatan itu akan diberikan serbuk udang yang dirumus khas dalam dos yang ditingkatkan secara beransur-ansur.

Para penyelidik mahu melihat sama ada pendekatan tersebut dapat membantu mereka membina toleransi terhadap udang dari semasa ke semasa.

Fasa pertama kajian akan memberi tumpuan kepada dua perkara utama – adakah rawatan ini selamat dan sejauh mana ia berkesan.

Namun, ini bukan sesuatu yang harus dicuba sendiri di rumah dengan makan udang dalam jumlah kecil.

Imunoterapi oral untuk alahan makanan bukanlah rawatan baharu. Ia sudah dikaji di peringkat antarabangsa bagi alahan terhadap makanan seperti kacang tanah, susu dan telur.

Namun, bukti mengenai keberkesanannya terhadap alahan makanan laut bercengkerang masih terhad. Kajian NUH ini merupakan antara yang pertama di rantau ini khusus untuk alahan udang.

APA YANG AKAN DILAKUKAN DALAM KAJIAN INI?

NUH merancang mendapatkan sehingga 30 peserta untuk kajian tersebut.

Daripada jumlah itu, 20 orang akan menerima imunoterapi oral, manakala 10 lagi akan menjadi kumpulan kawalan.

Mereka yang menerima rawatan akan menjalani terapi selama kira-kira lapan hingga 10 bulan.

Para penyelidik kemudian akan memantau mereka sehingga dua tahun untuk melihat sama ada peningkatan toleransi itu dapat dikekalkan.

Menurut NUH, mereka yang mahu menyertai kajian tersebut perlu mempunyai sejarah alahan udang yang jelas, memenuhi kriteria perubatan kajian dan bersedia menghadiri pemeriksaan susulan secara berkala.

JIKA SUDAH BERTOLERANSI, BOLEHKAH MAKAN UDANG SEPERTI BIASA?

Tidak semestinya.

Ini antara persoalan yang masih cuba dijawab para penyelidik.

Buat masa ini, mereka mahu mengetahui sama ada rawatan tersebut dapat meningkatkan toleransi terhadap udang dengan selamat dan sama ada kesannya dapat bertahan selepas rawatan selesai.

“Menerusi kajian ini, kami berharap dapat menentukan sama ada imunoterapi oral boleh membantu pesakit membina toleransi dengan selamat dan meningkatkan mutu kehidupan mereka,” kata Dr Wong.

Jika terbukti selamat dan berkesan, imunoterapi oral mungkin suatu hari nanti menawarkan pilihan baharu kepada mereka yang mempunyai alahan makanan laut bercengkerang.

Penyelaras kanan penyelidikan klinikal Alicia Kang berkata selain menilai rawatan baharu yang berpotensi itu, kajian tersebut juga akan membantu penyelidik memahami dengan lebih baik bagaimana imunoterapi oral boleh memberi manfaat kepada pesakit yang mengalami alahan makanan laut bercengkerang.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita