Skip to main content

Singapura

ACRES hantar pulang 50 kura-kura 'Indian Star' ke Bangalore

Pusat penyelamat haiwan liar ACRES akan menghantar pulang 50 kura-kura "Indian Star" ke sebuah kawasan perlindungan di Bangalore, India bulan depan. 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Oct 2018 09:58PM Dikemas Kini : 28 Oct 2018 10:01PM

SINGAPURA: Pusat penyelamat haiwan liar ACRES akan menghantar pulang 50 kura-kura "Indian Star" ke sebuah kawasan perlindungan di Bangalore, India bulan depan.

Jumlah haiwan yang dihantar pulang itu adalah yang terbesar dilakukan negara ini selepas menyelamatkannya daripada kegiatan perdagangan haram.

Bagi para kakitangan di tempat perlindungan ACRES, perpisahan itu agak menyedihkan kerana kura-kura tersebut sudah berada di bawah jagaan mereka selama bertahun-tahun.

Namun mereka akur keputusan untuk menghantar pulang kura-kura itu ke tempat asalnya adalah yang terbaik untuk haiwan tersebut

Sepanjang lima tahun lalu, pihak berkuasa tempatan menyiasat purata 21 kes perdagangan haram haiwan liar setiap tahun.

Antara Januari hingga 17 April lalu sahaja, 13 kes sedemikian sudah dilaporkan.

Namun tidak semua haiwan itu dapat dipulangkan ke tempat asalnya kerana dana yang terhad.

Projek terbaru ACRES, misalnya, melibatkan belanja S$60,000 dan proses mengumpul dana itu masih diteruskan.

Selain itu, terdapat juga masalah lain yang mana negara-negara asal haiwan-haiwan itu tidak mempunyai kepakaran atau sumber kewangan yang mencukupi untuk memberi penjagaan yang sewajarnya

Maka itu, sebilangan haiwan eksotik masih menantikan giliran masing-masing di Jabatan Pemuliharaan Hidupan Liar Singapura (WRS) yang ditetapkan sebagai pusat bagi haiwan liar yang diselamatkan.

Bagaimanapun kemudahan pusat sedemikian mempunyai ruang yang terhad dan tidak mampu untuk mengambil lebih banyak haiwan sedemikian.

Kekhuatiran mereka kini adalah perdagangan haram yang dilakukan secara online mungkin merangsang lagi permintaan untuk haiwan liar eksotik, lantas menimbulkan lebih ancaman kepada haiwan-haiwan yang terancam pupus. 

Sumber : CNA/NT/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita