Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ACRA pulihkan fungsi carian pada minggu depan, namun tidak akan papar nombor NRIC

Anggaran Waktu Membaca:
ACRA pulihkan fungsi carian pada minggu depan, namun tidak akan papar nombor NRIC

(Gambar: CNA/Wallace Woon)

Diterbitkan : 19 Dec 2024 10:15PM Dikemas Kini : 19 Dec 2024 10:26PM
SINGAPURA: Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (ACRA) akan memulihkan fungsi carian Bizfile pada minggu depan, namun ia tidak akan menunjukkan nombor Kad Pengenalan (NRIC).

Perubahan itu diumumkan pada Khamis (19 Dis), berikuta kemarahan orang ramai selepas portal Bizfile mendedahkan nombor NRIC penuh orang lain dalam enjin cariannya.

Pengguna yang ingin melihat nombor NRIC dan maklumat individu menerusi daftar Bizfile ACRA perlu membayar S$33 bagi setiap orang yang dikaitkan kepada entiti perniagaan.

Menurut Menteri Kedua Kewangan Indranee Rajah, perubahanyitu akan menyukarkan pengguna Bizfile, mengenal pasti individu tertentu yang mereka cari.

Selepas menilai keadaan, pihak berkuasa berpendapat langkah itu memberi "keseimbangan yang tepat antara ketelusan korporat dengan kebimbangan orang ramai mengenai maklumat peribadi", kata Cik Indranee di sidang media bersama Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital Josephine Teo serta ketua eksekutif ACRA Chia-Tern Huey Min.

"Kami akan terus memantau maklum balas di portal Bizfile dan akan menyemak serta mengemas kini Bizfile secara berterusan," tambah beliau.

Portal Bizfile ACRA mengandungi himpunan maklumat yang banyak berkaitan dengan entiti perniagaan dan individu di sebalik entiti berkenaan. Pangkalan data itu boleh diakses oleh mereka yang ingin melakukan pemeriksaann.

Cik Chia-Tern berkata portal itu menyokong ketelusan korporat dan membantu mencegah aktiviti haram.

Kebimbangan mengenai privasi timbul apabila portal Bizfile baharu ACRA, yang dilancarkan pada 9 Disember, mempunyai fungsi carian di mana nama dan nombor NRIC penuh mereka didedahkan.

Sebelum ini, nombor NRIC disembunyikan - atau hanya sebahagiannya didedahkan - dalam hasil carian. Pengguna kemudiannya boleh membayar untuk mendapatkan maklumat lengkap, yang termasuk nombor NRIC dan alamat individu tersebut.

Kekeliruan mengenai nombor NRIC didedahkan dalam portal Bizfile baharu berlaku selepas Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) mengeluarkan pekeliling kepada agensi pemerintah agar tidak lagi menggunakan nombor NRIC yang disembunyikan dalam proses dan perkhidmatan perniagaan baharu.

Akibat salah faham dan kesilapan penyelarasan antara kakitangan MDDI dengan ACRA, badan itu terus mendedahkan nombor NRIC dalam portal Bizfile baharu.

Cik Chia-Tern memohon maaf atas kesilapan itu dan berkata bahawa ACRA sepatutnya lebih peka bahawa rakyat Singapura telah lama menganggap nombor NRIC sebagai maklumat peribadi dan sulit.

Akur tentang kebimbangan itu, ACRA menghentikan fungsi carian tersebut pada Jumaat lalu dan akan memulihkannya dengan cara yang menangani kebimbangan orang ramai serta keperluan pengguna, tambahnya.

Cik Indranee pula berkata bahawa fungsi carian tersebut kekal berguna dan diperlukan untuk menyokong keperluan perniagaan yang sah.

"Memandangkan fungsi itu dihentikan Jumaat lalu, kami telah menerima pertanyaan mengenai bila ia akan disambung semula," katanya. Beliau menambah bahawa fungsi carian yang dikemas kini, tidak akan menunjukkan nombor NRIC, dan akan diperkenalkan minggu depan, tetapi beliau tidak menyatakan bila ia dilakukan.

Menurut kenyataan MDDI pada 14 Disember pihaknya ingin mengubah amalan menyembunyikan nombor NRIC, yang menurutnya bertujuan untuk mengenal pasti individu.

Agensi-agensi awam sudah mula menghentikan penggunaan nombor NRIC yang disembunyikan untuk mengelak daripada memberikan rasa selamat yang palsu, tambah MDDI.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan