Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Acara 'Timeless Classics' di WGS tarik 500 pengunjung, gamit kenangan zaman 70-an & raikan kemajuan negara sempena SG60

Anggaran Waktu Membaca:
Acara 'Timeless Classics' di WGS tarik 500 pengunjung, gamit kenangan zaman 70-an & raikan kemajuan negara sempena SG60

Pengunjung di Acara 'Timeless Classics' di WGS. (Gambar: WGS/Facebook)

SINGAPURA: Peluang untuk menggayakan fesyen 'vintaj' dan 'Pop Yeh Yeh' sambil menggamit kenangan zaman 70-an.

Acara 'Timeless Classics' anjuran Wisma Geylang Serai (WGS) pada Sabtu (1 Feb) membawa kelainan apabila mengembalikan nostalgia zaman dahulu menerusi tema 70-an.

Selama hampir lapan jam, para pengunjung dapat menikmati pelbagai aktiviti menarik seperti tayangan filem-filem klasik, reruai-reruai permainan tradisional, makanan dan minuman serta sebuah 'photobooth' bertema, ada yang lengkap dengan motosikal vespa!

Acara itu dianjurkan kumpulan kerja SG60 Bersama bagi meraikan enam dekad Singapura sejak merdeka.

Ia juga sebahagian usaha WGS untuk memaparkan bagaimana masyarakat Melayu/Islam bersatu-padu dalam meraikan pencapaian negara sepanjang enam dekad dan menyusuri sumbangan orang Melayu dalam pembangunan Singapura.
Pengerusi kumpulan Kumpulan Kerja SG60 Bersama dan juga Penasihat Utama WGS, Dr Faishal Ibrahim, berkongsi acara itu diadakan dengan tujuan untuk jadi jambatan antara generasi muda dengan yang lebih tua.

"Kita menggunakan tema 'connect' atau hubung, di mana kita boleh menghubungkan generasi yang sedia ada daripada generasi tua kita, ibu bapa nenek moyang dan juga kepada generasi pada hari ini.
Acara 'Timeless Classics' di WGS. (Gambar: WGS/Facebook)
"Di mana kita dapat melihat bukan sahaja orang berusia yang ada di sini, mereka datang dengan ahli keluarga mereka dan ada juga kanak kanak. Ini menjadikan satu wadah yang baik bagi kita melihatnya dari segi bagaimana kita boleh menghubungkan generasi antara satu sama lain selama 60 tahun, kita membangunkan Singapura," ujar Dr Faishal.

IMBAS KEMBALI PENGALAMAN, ASPEK KEHIDUPAN ZAMAN 70-AN

Beliau juga berharap acara ini boleh dijadikan sebuah wadah untuk pengunjung mengimbas kembali pengalaman dan aspek kehidupan pada zaman 70-an serta meraikan kemajuan negara.

"Acara ini memberi peluang kepada kami untuk menonjolkan genre dan juga format 'Timeless Classics' di mana ia mencungkil sejarah kita dan juga cara kita hidup pada masa lampau yang masih kekal di dalam hati naluri kita.

"Ini mencerminkan bahawa di Singapura, walaupun kami telah membangun sebagai sebuah negara yang moden, tetapi yang penting adalah cara-cara dan juga inisiatif untuk selalu memikirkan daripada mana kita datang, asal usul kita dan cara kehidupan kita pada masa lampau," kata Dr Faishal.
Acara 'Timeless Classics' di WGS. (Gambar: WGS/Facebook)
PERADUAN MENGGAYAKAN FESYEN 70-AN

Lebih menarik lagi, ada juga yang datang memperagakan fesyen 70-an dan jayakan pertunjukan fesyen di Anjung@WGS itu.

Bagi Harris Irfan Jamaludin, 21 tahun, peraduan itu adalah peluang yang baik baginya untuk memperkenalkan fesyen 70-an kepada generasi muda.

"Tujuan kami datang pada hari ini untuk kami memperkenalkan apakah itu 70-an yang dikenali pada zaman dulu kerana zaman generasi sekarang ini memang ramai tidak tahu 70-an itu apa," kata Harris yang menyertai peraduan itu bersama dengan tiga lagi kawannya.

Seorang lagi pengunjung, Farida Idris, 63 tahun, juga teruja dengan pelbagai aktiviti dan acara yang disediakan untuk dinikmati seisi keluarga.

"Penting untuk gabungkan warga muda dan senja. Kenal dan belajar zaman kehidupan kami. Aktiviti yang saya lihat seperti 'photobooth' kedai gunting rambut, sekarang tidak ada bukan? Jadi ini satu usaha yang baik," kata Cik Farida.

ACARA RAIKAN SG60 SEPANJANG 2025

Acara selama lapan jam itu berjaya menarik seramai 500 pengunjung.

Lebih banyak acara akan dianjurkan kumpulan kerja SG60 Bersama yang diterajui WGS.

"WGS akan mengadakan program-program yang mempunyai aspek-aspek budaya dari segi kesenian dan juga acara-acara yang lain di mana ini termasuk daripada program-program yang akan disediakan oleh badan badan Melayu Islam," kata Dr Faishal.

Dua lagi acara, sebuah komedi musikal bertajuk 'Jodoh – A Love in Reverse' dan sebuah bengkel penulisan dan persuratan berjudul 'Dendang Warisan' juga akan diadakan pada bulan Februari ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan