Skip to main content

Singapura

Acara Pelita Kita beri ruang selamat untuk belia suarakan pandangan, jadikan Kampong Gelam lebih inklusif

Anggaran Waktu Membaca:
Acara Pelita Kita beri ruang selamat untuk belia suarakan pandangan, jadikan Kampong Gelam lebih inklusif
(Gambar: MEMBINA Community)
Diterbitkan : 02 Feb 2026 08:48PM
SINGAPURA: Sebuah program anjuran pertubuhan amal MEMBINA Community, Pelita Kita diadakan bagi memberi ruang kepada golongan belia berkongsi idea dalam usaha menjadikan Kampong Gelam kawasan yang lebih inklusif dan mesra belia.

Acara yang menghimpunkan sekitar 120 peserta itu diadakan di kawasan Kampong Gelam pada Jumaat (30 Jan).

Antara topik yang disentuh dalam perbincangan yang diadakan secara santai dalam suasana piknik termasuk kesihatan mental, keterlibatan belia dalam ruang komuniti serta cara kepimpinan yang dekat dengan golongan belia.

Menurut Naib Pengerusi MEMBINA Community, Syukri Azman, program tersebut menumpukan kepada tiga aspek, iaitu penglibatan belia secara aktif, perbincangan diterajui belia dan hubungan dijalinkan bersama masyarakat.

Dengan adanya platform yang selamat dan inklusif, belia tidak kira latar belakang akan rasa selesa untuk menyuarakan pandangan, perspektif dan idea mereka.
Related article image
(Gambar: MEMBINA Community)
Perbincangan yang dipimpin belia itu membolehkan mereka melibatkan diri dan belajar daripada satu sama lain meskipun setiap individu mempunyai latar belakang yang berbeza.

"Kami dapati bahawa perbincangan inklusif dapat dipupuk dengan mengatasi rasa malu, dan perbualan secara spontan boleh membawa kepada perkongsian lebih peribadi dan bermakna jika diberikan ruang seperti ini, seperti perbincangan dalam suasana piknik ini," kata Muhammad Danial Roslan, penuntut Tahun 1 Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Inggeris di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Seorang lagi peserta, Jay Loo Yong Le, pelajar diploma tahun ketiga Teknologi Mesin di ITE Kolej Tengah berkata bahawa pelbagai perspektif dikongsi belia daripada pelbagai sekolah dan latar belakang.

"Mereka berkongsi pandangan tentang pekerjaan, kerjaya dan cita-cita mereka," tambahnya.
Related article image
(Gambar: MEMBINA Community)
Berdasarkan maklum balas daripada perbincangan tersebut, pihak penganjur menyatakan bahawa is sedang meneroka inisiatif-inisiatif susulan yang memberi tumpuan kepada mewujudkan tempat-tempat yang inklusif dan mesra belia di kawasan Kampong Gelam.

Ini termasuk sesi dialog secara kerap, kegiatan-kegiatan anjuran belia serta ruang bebas yang selamat untuk para belia menyumbang secara bermakna kepada kawasan tersebut.

Ini merupakan kali pertama MEMBINA Community mengadakan sesi perbincangan ala piknik di ruang awam selain acara 'Night Walk' di mana peserta dibawa untuk menjelajah kawasan bersejarah di sekitar Kampong Gelam.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita