Acara 'Pathways to Success' MENDAKI pikat 250 peserta; kupas pelbagai isu tentang pendidikan kanak-kanak
Laluan pendidikan mana yang terbaik buat anak saya? Subjek asas atau 'standard'? Perlu daftar bagi Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA) atau tidak?

(Gambar: Yayasan MENDAKI)
Inilah antara persoalan yang terjawab bagi para peserta program Yayasan MENDAKI pada Sabtu (16 Nov).
Lebih 250 ibu bapa dan kanak-kanak kesemuanya mengambil bahagian dalam acara empat jam dipanggil "Pathways to Success: Supporting Your Child’s Future" (Laluan mencapai Kejayaan: Menyokong Masa Depan Anak Anda) yang diadakan di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat itu.
Golongan ibu bapa dapat mengambil bahagian dalam beberapa perbincangan mengenai pendidikan anak mereka, selain mendengar sendiri daripada pakar-pakar pendidikan awal kanak-kanak mahupun pengetua Sekolah Rendah Radin Mas, tentang cara menyokong aspirasi anak mereka.
Pada masa yang sama, kanak-kanak berusia antara empat dengan sembilan tahun dapat mengikuti bengkel menyeronokkan.
Pelajar berusia antara 10 dengan 12 tahun pula dapat mengikuti satu program motivasi.
"Kami menyediakan maklumat sewajarnya dengan bantuan pakar-pakar. Menerusi pelbagai aktiviti yang dianjurkan, kami menggalak dan memupuk lagi minat ibu bapa untuk menjadi pendidik dan guru pertama anak mereka," ulas Timbalan Ketua Eksekutif Yayasan Mendaki, Dr Noraslinda Zuber.
"Kami ingin memastikan kedua-dua ibu bapa dan anak dapat menikmati zaman persekolahan si kecil."
Acara itu menerima maklum balas positif daripada para peserta.
Bagi Encik Najmuddin Zaidi dan Cik Nurliyana Ishak misalnya, mereka meraih pengetahuan baharu seperti teknik yang memupuk interaksi membina bersama anak mereka, selain cara mengajar kemahiran penting seperti berfikir secara kritis.
"Kami mendapati ia baik buat ibu bapa seperti kami. Apatah lagi kerana kami mempunyai anak berusia empat tahun dan satu lagi, empat bulan. Kami juga belajar cara-cara untuk mempertingkat waktu bermain bersama mereka."
Acara tersebut turut disertai Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol Sharael Taha yang mendampingi para peserta.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.