Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Acara MJ12 Gerun Malam dapat sambutan, kembali diadakan selepas 12 tahun

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Selepas 12 tahun, rancangan popular Mediacorp RIA 897, Misteri Jam 12 (MJ12) kembali diadakan di luar bilik radio untuk bertemu para penggemar program itu pada Sabtu (20 Jan) di Auditorium Stephen Riady.

Berbeza kali ini, MJ12 Gerun Malam membawakan konsep menarik dengan paparan video dan rakaman sebenar serta temu ramah bagi perkongsian cerita-cerita yang menggerunkan.

Gambar: Mediacorp

"Kalau kita imbas kembali acara MJ12 sekitar 12 tahun yang lepas, di mana kita adakan di Fort Canning, detik itu lebih lagi menjurus ke arah persembahan dan juga pertandingan tetapi kalau dibandingkan kembalinya MJ12 Gerun Malam pada tahun ini, (terdapat) kolaborasi khas yang mana kita tampilkan The Paranormal Consultants, Deadtime Stories SG dan ScreamApura!, kemudian bersama dengan Santau Santai yang mengetengahkan Zuhairi Idris dan juga Ustaz Fadhly Rosli dalam perbincangan menarik yang kami ketengahkan sebagai satu wadah untuk mendekati para pendengar RIA 897," kongsi Penolong Pengarah Program Mediacorp RIA 897, Azlin Ali.

PARA DEEJAY RIA 897 NITY BAIZURA DAN FADLI KAMSANI TURUT JAYAKAN ACARA ITU

Gambar: Mediacorp

Antara yang turut menjayakan acara itu termasuk para deejay Mediacorp RIA 897, Nity Baizura dan Fadli Kamsani.

"Saya memegang watak sebagai pengacara yang membuat pembukaan bagi acara MJ12 Gerun Malam ini dan selain itu juga, saya ada satu sesi temu ramah bersama dengan personaliti tempatan kita iaitu Izyan Mellyna di mana beliau akan berkongsi pengalaman seram dan kisah peribadi beliau," kongsi Nity kepada BERITA Mediacorp.

"Para penonton boleh jangkakan perasaan yang bercampur baur sebab kita ada penayangan eksklusif buat pertama kalinya ditayangkan di acara ini dan kita ada susuk-susuk entiti yang berbeza dan pengalaman seram dari personaliti yang turut hadir dalam acara MJ12 Gerun Malam," tambahnya.

SAKSIKAN RAKAMAN PARANORMAL YANG TIDAK PERNAH DITAYANGKAN
 

Gambar: Mediacorp

Istimewanya, para penonton juga berpeluang menyaksikan rakaman-rakaman paranormal yang tidak pernah ditayangkan sebelum ini.

"Para penonton boleh jangkakan adegan-adegan yang menyeramkan, yang mengejutkan dan juga pada masa yang sama, adegan-adegan yang akan membuat mereka tidak terkata dan menjadi tanda tanya mengapa perkara-perkara sebegini berlaku," kongsi Fadli.

"Selain daripada (menjadi) moderator, saya juga boleh dikatakan secara tidak langsung, menjadi penonton juga sebab saya sendiri tidak pernah melihat semasa sesi raptai ataupun apa, saya pada acara malam ini barulah pertama kalinya, akan saya saksikan rakaman tersebut," tambahnya.

Gambar: Mediacorp

Bagi Fadli, acara sebegini merupakan wadah yang baik untuk mendekati pendengar Mediacorp RIA 897.

"Bagi saya bagi MJ12 ini, cerita-cerita seram ini antaranya wadah hiburan yang tak akan pudar. Setiap hari, setiap detik, setiap masa akan ada. Jadi sebaik mungkin kalau acara-acara sebegini kita adakan secara langsung, mereka hanya bukan boleh mendengar tetapi mereka boleh menyaksikannya dan bertanya," ujar Fadhli.

Acara itu mendapat sambutan hangat dengan kesemua tiket habis terjual.

Secara keseluruhan, lebih 500 penonton hadir untuk acara itu.

"Saya adalah peminat cerita seram jadi saya boleh meraih ilmu daripada apa yang dibincangkan atau dikongsi oleh pasukan yang menjayakan acara ini," ujar Muhammad Zaki Mahfud, antara penonton yang hadir.

"Apa yang saya dapati menarik ialah ia boleh membuka mata kita kepada situasi yang berbeza, di mana saya boleh meraih pelajaran daripadanya dan mungkin boleh kongsi kepada orang lain tentang cerita yang saya pernah dengar dahulu," tambahnya.

Zaki juga merupakan antara peminat rancangan radio, MJ12.

MJ12 KINI DI PELBAGAI PLATFORM, LIBATKAN SAMA PEMPENGARUH

Gambar: Mediacorp

Bagi memberi kesegaran kepada program tersebut, terdapat beberapa perubahan yang diperkenalkan.

"Kalau kita lihat dari segi peredaran masa, perkembangan teknologi yang mana sekarang ini sudah beralih kepada 'podcast'. Jadi untuk para pendengar kita yang tidak dapat mendengar secara langsung, mereka boleh terus ke platform melisten untuk mendengar kembali rancangan-rancangan dahulu jadi kalau kita lihat jumlah podcast yang dimuat turunkan, kalau untuk sebulan itu, mungkin dalam puluhan ribu.Jadi itulah merupakan di antara perkembangan atau perbezaan dulu dan juga sekarang," menurut Azlin.

Jika dahulunya ia diterbitkan oleh para deejay radio, kini pihak RIA 897 juga menjemput para pempengaruh untuk terlibat sama dalam penerbitan program itu dan diterbitkan dalam platform berbeza.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan