Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Acara memperingati 200 Tahun S'pura beri ruang kepada 'proses refleksi'; mengenang jasa dan sumbangan masyarakat

Acara memperingati 200 tahun Singapura memberi ruang bagi "proses refleksi" terhadap kandungan bagi subjek seperti Pengajian Sosial dan Sejarah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Acara memperingati 200 tahun Singapura memberi ruang bagi "proses refleksi" terhadap kandungan bagi subjek seperti Pengajian Sosial dan Sejarah.

Menurut Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, ini termasuk pembelajaran yang lebih inklusif termasuk menyingkap sumbangan masyarakat dan individu bukan sahaja sepanjang dua abad sejak ketibaan Stamford Raffles pada 1819, bahkan 700 tahun sejak ketibaan Sang Nila Utama seawal 1299.

MENGUNDANG REAKSI

Arca-arca baru itu ditempatkan bersebelahan dengan patung Sir Stamford Raffles baru-baru ini dan mengundang reaksi bercampur-campur daripada pelbagai lapisan masyarakat di sini.

Memberikan responsnya, anggota Panel Penasihat kepada Pejabat 200 Tahun Singapura, Encik Yatiman Yusof berkata maklum balas yang diterima mempamerkan bagaimana acara itu bertindak sebagai titik permulaan untuk memikir ulang sejarah dengan lebih serius dan mendalam lagi.

"Apabila kita memperingati sejarah kita, kita merasa bangga bahawa sejarah Singapura begitu panjang merentasi 200 tahun jadi ini menunjukkan bahawa Singapura bukan bangsa yang muda tapi bangsa yang tradisi yang punya sejarah, punya pengalaman dalam kehidupan yang agak panjang.

"Jadi ini merupakan satu langkah sengaja untuk memberitahu rakyat Singapura bahawa kita punya orang-orang yang pernah menyumbang yang kita mahu memperingati sumbangan mereka sehingga Singapura boleh menjadi sehingga hari ini," menurut Encik Yatiman Yusof.

SANG NILA UTAMA : MITOS ATAU SEBALIKNYA?

Encik Yatiman Yusof.

Encik Yatiman turut menarik perhatian tentang persoalan yang diajukan sama ada figura Sang Nila patut ditempatkan sedangkan ada beberapa pandangan yang menyatakan individu tersebut tidak benar sebaliknya merupakan satu mitos.

Menjawab pertanyaan ini, Encik Yatiman berpendapat masyarakat perlu membaca lebih banyak lagi sejarah tentang Singapura dan tidak terlalu terikat dengan naratif sejarah barat.

Beliau menambah terdapat banyak rakaman dalam sejarah serta bukti arkeologi yang menunjukkan pertembungan pertemuan tentang kewujudan institusi pemerintah Singapura serta individu-individu penting antaranya seperti Sang Nila Utama.

Misalnya, penemuan purba yang dikumpulkan oleh Profesor John Miksic serta buku Sejarah Melayu yang diusahakan oleh A. Samad Ahmad.

(Salinan buku Sejarah Melayu. Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAMediacorp)

“Adakah ini legenda? Adakah ia sejarah sebenar? Saya kira semakin kita dalam mengkaji tentang isu ini kita akan dapat jawapannya. Bagi saya Sang Nila Utama itu telah memberi nama kepada Singapura, figura, susuk badan orangnya sudah ada. Sama ada Sang Nila Utama atau Sri Tribuana ternyata bahawa mereka telah menyumbang kepada Singapura.

"Jadi, pemilihan pantung atau imej mereka itu merupakan satu yang penting kita mahu memperingati ia sebahagian daripada sejarah Singapura,” tambah Encik Yatiman lagi.

MEMPERINGATI DAN BUKAN MERAYAKAN

Mengulas dengan lebih lanjut lagi tentang sambutan 200 Tahun Singapura Encik Yatiman berkata masyarakat perlu memahami bahawa ia merupakan acara memperingati jasa dan sumbangan masyarakat serta beberapa individu penting.

Beliau menambah ini sama sekali tidak bermaksud untuk mengagung atau mendewakan menerusi patung-patung yang ditempatkan sepanjang Sungai Singapura.

“Ada pula yang bertanya dengan menempatkan patung-patung ini kita menempatkan budaya berpatung, saya kira kita tidak mendewa-dewakan mereka, kita tidak mengagung-agungkan mereka, kita tidak melihat mereka sebagai "super human", kita melihat mereka sebagai orang biasa, rakyat biasa dan bukan rakyat Singapura yang menyumbang kepada memajukan Singapura yang kita nikmati hari ini.

"Jadi sebagai terima kasih kita mengenangkan mereka sampai situ full stop kita tidak mendewa-dewakan mereka,” tambah Encik Yatiman lagi.

ROMBAKAN SUKATAN PELAJARAN

Di lapangan pendidikan pula, Dr Faishal berpendapat dengan bermulanya peringatan 200 tahun itu ia mengundang pengkajian semula terhadap kandungan bagi subjek Sejarah dan Pengajian Sosial.

Maka itu Dr Faishal menambah pelbagai bahan rujukan akan dipertimbangkan dalam proses penilaian bagi kedua-dua subjek itu pada masa hadapan.

Antaranya ialah edisi semakan terbaru buku "Singapore, a 700-year history", jilid Munshi Abdullah serta sebuah buku yang menyingkap 200 tahun pembangunan masyarakat Melayu di sini.

"Jadi buku-buku yang jilid ini semua pada pendapat saya adalah penting dalam meluaskan lagi pemahaman sejarah Singapura. Jadi saya pun rasa gembira kerana ia akan menjadikan bahan kepada anak-anak kita untuk mempelajari dan kita di MOE akan mengambil ilmu-ilmu yang baru ini, bahan-bahan di mana kita akan gunakannya dalam rombakan sukatan pelajaran yang akan kita lakarkan di mana ramai di kalangan warga kita boleh mempelajari mengenal pasti dan dapat mendapatkan kefahaman yang lebih tepat tentang sejarah Singapura," menurut Dr Faishal.

Dr Faishal turut berkongsi aspek interaktif serta media sosial turut akan digunakan sebagai sebahagian daripada usaha meluaskan lagi pemahaman rakyat tentang sejarah Singapura. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan