Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Acara Krismas mesra alam, halal di WGS dihadiri 1,200 pengunjung berbilang kaum

Satu acara bagi menyerlahkan lagi sikap inklusif dan kepelbagaian budaya di Singapura diadakan sempena Krismas buat julung-julung kalinya di Wisma Geylang Serai semalam (14 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu acara bagi menyerlahkan lagi sikap inklusif dan kepelbagaian budaya di Singapura diadakan sempena Krismas buat julung-julung kalinya di Wisma Geylang Serai semalam (14 Dis).

Dianjurkan GRC Marine Parade, SMC MacPherson dan SMC Mountbatten, acara kemasyarakatan itu bertujuan memupuk pemahaman silang agama dalam masyarakat majmuk Singapura.

Meskipun diadakan buat pertama kali, acara itu begitu meriah kerana dihadiri seramai 1,200 orang. Mereka semuanya merebut peluang untuk saling mengenali masyarakat yang menyambut Krismas. 

PENGUNJUNG BAWA BALIK BUAH TANGAN 

Tidak kira kaum dan agama, tua atau muda, ramai tetamu acara itu mencuba membuat seni kraf tangan berbentuk 'snowman' yang boleh digantung untuk menghiasi pokok Krismas. Ada juga yang cuba membuat tanglung Krismas tradisional Filipina berbentuk bintang.

(Gambar-gambar: Wisma Geylang Serai/Facebook)

Menariknya, semua kraftangan diperbuat daripada bahan-bahan dikitar semula. Hasil daya kreativiti mereka kemudian boleh dibawa pulang.

Sedang mereka menyertai pelbagai kegiatan percuma itu, hubungan antara keluarga, rakan, jiran tetangga dan sesama penduduk menjadi lebih erat.

"Wisma Geylang Serai adalah sebuah tempat baru. Ia tempat berkumpul baru bagi masyarakat. Di acara ini, kami mengundang rakyat tempatan mahupun penduduk baru untuk datang bersama," kata Ketua Jawatankuasa Persepaduan dan Penyerapan Kembangan-Chai Chee, Encik Chew Lee Teck.

Beliau menambah, tema mesra alam juga dipilih bagi acara itu bagi menyokong usaha Singapura menuju ke arah sifar sisa.

CUBA HIDANGAN TRADISIONAL KRISMAS HALAL

Hidangan-hidangan tradisional sempena perayaan Krismas turut disajikan. Antara yang dapat dinikmati ramai termasuk 'turkey ham' halal dan salami ayam yang disalut dengan rempah-ratus Asia.

Persembahan pancaragam pula menghiburkan mereka ketika menikmati juadah yang dihidangkan.

Beberapa pengunjung yang ditemui BERITAmediacorp berkongsi keseronokan mereka di acara itu.

Cik Sumarni Surana misalnya, gembira dapat beramah mesra dengan teman-teman baru.

Seorang pengunjung berasal dari Pahang, Malaysia, juga gembira diberikan kesempatan untuk menyertai acara itu. Cik Helnita diajak temannya.

"Seronok betul. Semuanya bagus dan memuaskan. Ada orang Cina, Melayu, semuanya ada. Semua seperti keluarga," katanya.

MESRA BAWA KECERIAAN AGIH BISKUT PERCUMA

Untuk menggalak murah tangan dan menyemarakkan lagi sikap memberi sempena Krismas, Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MESRA) turut meluangkan masa dan tenaga untuk mengagihkan biskut dibakar sendiri kepada sekitar 150 penerima bantuan Kelompok Marine Parade.

"Apa sahaja wadah yang ada, peluang bagi kami untuk berinteraksi dengan mereka daripada lain-lain kaum ataupun lain latar belakang. MESRA berbesar hati untuk turut mengambil bahagian," kata Cik Amatul Jameel Suhani.

Sorakan kanak-kanak terus memenuhi sekitar kawasan WGS sehingga sekitar 9.00 malam. Apatah lagi kerana mereka dapat bertemu Santa Claus dan bermain salji.

Yang pasti, di balik semua tawa dan riang di acara ini, kepelbagaian dalam masyarakat berbilang kaum dan agama diraikan dan terus menjadi nadi masyarakat Singapura.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan