Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Acara Harmoni Raya PPIS himpunkan 50 pemimpin wanita, peserta berbilang kaum & agama

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mengenali persamaan dan perbezaan konsep perayaan dalam agama-agama lain boleh jadi salah satu cara untuk membina ukhuwah antara masyarakat berbilang kaum dan agama.

Ini antara yang diraih para hadirin Majlis Harmoni Raya 2024 anjuran Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) pada Sabtu (27 Apr).

Di acara itu, mereka berpeluang untuk mendengar perkongsian oleh Pengasas dan Ketua Eksekutif Jurulatih di Connecting Mind and Body (COMB) dan mualaf, Cik Cassandra Nadira Lee serta anggota Rangkaian Belia Asatizah (AYN), Ustazah Marhamah Senewi.
 

Ustazah Marhamah di sebelah kiri Anggota Parlimen Nadia Samdin. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

"Kita membincangkan tentang persamaan konsep perayaan antara kaum dan agama yang berlainan. Kita juga membincangkan tentang peranan kita sebagai wanita Melayu/Islam untuk lebih menggalakkan perpaduan masyarakat yang lebih kukuh dan cara-cara kita boleh bekerjasama untuk lebih memaju jayakan wanita dalam masyarakat kita," kongsi Ustazah Marhamah kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Bagi saya, meskipun kita seorang sahaja, namun potensi untuk kita lakukan kebaikan sangat besar dan saya ingin orang ramai berpegang kepada harapan bahawa kita akan dapat meninggalkan kesan tidak kira betapa kecil dalam masyarakat kita sendiri," tambahnya.

Dengan tema 'Different Faces, One Faith', acara itu juga mencerminkan semangat bersatu dalam masyarakat majmuk dan perbincangan sebegini juga amat dialu-alukan kedua-dua anggota panel.
 

(Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

"Ia memberi ahli panel dan juga para peserta peluang untuk berkongsi pengalaman masing-masing dalam ruang yang selamat tanpa perlu rasa segan atau takut. Ia juga memberi kita peluang untuk menjalin hubungan beralaskan pengalaman yang sama atau cabaran yang serupa dan bagi saya, ini adalah langkah yang sangat penting dalam memupuk perpaduan sosial dan masyarakat yang lebih kukuh," ujar Ustazah Marhamah.

“Saya percaya dengan berkongsi pengalaman saya, saya bukan sahaja boleh sampaikan nilai-nilai tapi juga menyumbang kepada mewujudkan pemahaman dan harmoni. Dengan pengalaman tinggal di negara-negara di mana harmoni tidak sebaik seperti di Singapura, saya amat menghargai dan memperjuangkan keselamatan dan harmoni yang kita nikmati di sini. Ia satu keistimewaan yang saya tak ambil ringan,” kata Cik Nadira Lee.

Cik Nadira Lee. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Menurut satu tinjauan oleh Pusat Penyelidikan Pew pada 2022, terdapat segelintir iaitu 4 peratus responden dari Singapura yang merasakan bahawa kerencaman agama dan kaum itu menjadikan Singapura tempat yang lebih teruk untuk didiami.

Maka itu menurut PPIS, usaha berterusan sebegini penting untuk meningkatkan kesedaran dan menggalak perubahan minda bagi mengukuhkan lagi perpaduan antara penganut berlainan agama dalam masyarakat.

KAUM ADAM JUGA HARGAI SESI PERKONGSIAN UNTUK LEBIH MENDALAMI ISU

(Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Pengalaman sebegini juga dihargai para peserta termasuk kaum adam.

"Ia adalah satu forum dan saluran yang baik untuk golongan bukan Islam seperti saya mengenali lebih lanjut tentang masyarakat dengan berinteraksi dengan wanita Islam untuk memahami pandangan berbeza mereka. Platform sebegini membantu kita memahami satu sama lain dengan lebih baik lagi mengapa kita mempunyai pandangan-pandangan yang berbeza," kongsi salah seorang peserta, Encik De Rui Wong.

Bagi Encik Wong, antara perkara yang menonjol dalam sesi itu ialah talian persaudaraan dan tanggapan tentang harmoni itu sendiri.

"Ia tentang semangat persaudaraan dalam kalangan mereka dari pelbagai masyarakat. Meskipun kita ada kepercayaan dan agama yang berbeza, namun kita semua saling menghormati dan menerima kemanusiaan yang dikongsi ini juga," ujar Encik Wong.

"Harmoni bukan sahaja ketiadaan konflik tetapi meskipun ada perbezaan, kita masih mencari cara untuk berkomunikasi dan berdialog untuk capai satu persetujuan," tambahnya.

Gambar: PPIS

Dalam pada itu, beliau juga turut mengajukan soalan bagaimana lelaki bukan Islam seperti dirinya dapat bekerjasama dan bantu memperkasa golongan wanita Muslim.

"Saya rasa selalunya bila kita memikirkan cara membantu masyarakat minoriti, adalah penting untuk kita memahami bantuan seperti mana yang mereka akan hargai kerana kadang kala sebagai pejuang usaha-usaha minoriti, kita mungkin ada pandangan dan cara kita melakukan sesuatu itu sendiri," jelas Encik Wong.

"Jawapan yang saya dapat sangat menyenangkan kerana daripada dilihat sebagai mengganggu, mereka menyambut sekutu lelaki seperti saya untuk bersuara bagi pihak mereka kerana kita dalam kedudukan yang boleh bantu memperjuangkannya dan ia dapat bantu menguatkan lagi mesej usaha mereka ini," tambahnya.

RUMAH PERALIHAN ‘RISE ABOVE’ CERMIN NILAI INKLUSIF

Gambar: PPIS

Acara Harmoni Raya itu kembali diadakan dan buat julung-julung kalinya diadakan di Rumah Peralihan Rise Above iaitu rumah peralihan wanita sekular pertama untuk pesalah wanita berbagai kaum dan agama yang sedang menjalani pemulihan.

"Setiap tahun apabila kami bergabung untuk menyambut Hari Raya, sering kali kami mencari ruang yang lebih besar yang dapat menampung lebih ramai tetamu tetapi kali ini, kami mengundang para tetamu ke salah sebuah pusat PPIS yang baru kami kelolakan kira-kira dalam dua tahun yang lalu supaya pemimpin-pemimpin wanita ini sama-sama boleh melihat apakah kesan dari segala usaha-usaha kami untuk memastikan wanita sama-sama maju dan tidak ada yang tertinggal," kongsi Presiden PPIS, Hazlina Abdul Halim.

"Kami harap dengan berpindahnya Harmoni Raya kepada pusat kami sendiri, ia seperti menunjukkan bahawa pintu kami terbuka untuk lebih ramai menyertai, menyantuni juga mengunjungi kami," tambahnya.

Inisiatif Harmoni Raya PPIS yang dimulakan Jabatan Penyelidikan dan Penglibatan (RED) pada 2017 itu, mengetengahkan kepentingan harmoni silang agama dalam fabrik berbilang budaya di Singapura.
 

(Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

"Wanita memainkan peranan penting di setiap lapisan masyarakat dan apabila kita gabungkan wanita yang berbilang bangsa, kaum dan agama, apa yang kita lakukan ialah kita memberi mereka peluang untuk lebih mengenali dan mendalami persahabatan yang dibina tahun demi tahun dan dari situ pemahaman antara satu sama lain akan lebih kukuh dan juga kepercayaan," kongsi Cik Hazlina.

"Ini semua merupakan landasan-landasan yang akan memberi semangat untuk wanita-wanita bekerjasama demi wanita supaya kita sama-sama dapat meningkatkan mutu kehidupan wanita," tambahnya.

PPIS SAMBUT ULANG TAHUN KE-72, KONGSI DAPATAN DENGAN PBB
 

Gambar: PPIS

Dalam acara yang sama, PPIS juga mendedahkan rancangannya untuk berkongsi dapatan dan kajian tentang aspirasi wanita serta beberapa saranan untuk memastikan mutu kehidupan wanita di Singapura terus dipertingkat dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

PPIS akan berkongsi lebih lanjut tentangnya dalam masa terdekat.

Badan itu juga menyambut ulang tahunnya yang ke-72 tahun ini dan meraih pelbagai pencapaian termasuk pembukaan Rumah Peralihan Rise Above.

Sejak dibuka pada September 2022, Rise Above sudah membantu 76 wanita dan sekitar 33 daripada mereka sudah berjaya memperkasakan diri dan bangkit dari cabaran untuk kembali ke rumah masing-masing atau membina semula kehidupan mereka.

"Kami sangat bangga dengan pencapaian mereka memandangkan situasi yang sangat kompleks dan rumit bagi mereka dan yang paling penting sekali, kami rasa terharu dengan sokongan daripada pihak swasta, pihak rakan-rakan seperjuangan dan juga pihak pemerintah yang dapat sama-sama mengubah nasib seseorang yang mungkin memerlukan peluang kedua," ujar Cik Hazlina.

Gambar: PPIS

Acara Harmoni Raya itu diserikan lagi dengan kehadiran tetamu terhormat Anggota Parlimen Nadia Samdin.

Ia turut dihadiri sekitar 50 pemimpin wanita dan peserta dari pelbagai badan agama dan sekular, rakan kerja dan masyarakat.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan