Skip to main content

Singapura

Acara golf amal kumpul lebih $190,000, sokong program kesihatan mental Club HEAL

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lebih $190,000 berjaya dikumpulkan dalam Acara Golf Amal dan Majlis Makan Malam Club HEAL yang berlangsung di Orchid Country Club pada Selasa (26 Ogos).

Seramai 104 pemain golf bersama rakan kongsi korporat, penaja serta pendokong kesihatan mental hadir bagi menyokong usaha yang pertama kali diadakan itu.

Dalam jawapan bertulis kepada BERITA Mediacorp, Club HEAL menjelaskan bahawa kesemua dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk membiayai program-program bagi menyokong individu yang berdepan dengan cabaran kesihatan mental serta penjaga mereka.
Related article image
(Gambar: Club HEAL)
KESIHATAN MENTAL DALAM MASYARAKAT SG KIAN DAPAT PERHATIAN

Dalam ucapannya, tetamu kehormat, Speaker Parlimen Encik Seah Kian Peng berkata acara sebegini bukan sahaja tentang pengumpulan dana, tetapi juga memperkukuh peranan masyarakat dalam bidang kesihatan mental.

"Walaupun Pemerintah memainkan peranan penting dalam membina infrastruktur perkhidmatan kesihatan mental, agensi komuniti membawa sesuatu yang berbeza; sentuhan kemanusiaan," ucap Encik Seah.

Menurutnya, isu kesihatan mental kini mendapat perhatian yang setara dengan kesihatan fizikal, dengan kian ramai yang lebih terbuka berbincang mengenainya.

Malah sistem sokongan juga lebih tersedia.

"Tempat kerja kini mula memperkenalkan inisiatif kesejahteraan mental. Sekolah pula mengajar daya tahan dan pengawalan emosi. Saya pasti kita semua mengenali saudara mara, rakan, rakan sekerja atau jiran yang mungkin melalui episod cabaran kesihatan mental — saya sendiri tidak terkecuali. Kita sememangnya memerlukan pemahaman dan kesedaran yang lebih baik mengenai hal-hal sebegini." tambah Encik Seah.

PROGRAM HOLISTIK CLUB HEAL BANTU PEMULIHAN PESAKIT DAN PENJAGA

Sejak lebih sedekad lalu, Club HEAL menyediakan pelbagai program yang merangkumi kaunseling, aktiviti pemulihan harian, lawatan rumah, kumpulan sokongan, pendidikan awam serta latihan sukarelawan.

Selain itu, ia turut memberi perhatian khusus kepada cabaran yang dihadapi para penjaga, dengan menyediakan program untuk menyokong kesejahteraan mereka.

Usaha ini penting kerana penjaga sering kali menjadi benteng pertama tetapi jarang diberikan perhatian.

Melalui lima pusat kesihatan mental yang dikendalikan, perkhidmatan Club HEAL merangkumi masyarakat pelbagai bangsa dan agama, termasuk kerjasama dengan agensi komuniti serta masjid, bagi memastikan sokongan lebih mudah diakses, inklusif dan berpaksikan komuniti.

Acara amal ini juga menjadi wadah meningkatkan kesedaran, di samping menggalakkan kerjasama rentas sektor.
Related article image
(Gambar: Club HEAL)
"Ia memerlukan kita semua - agensi pemerintah, kumpulan komuniti, syarikat, sukarelawan, keluarga dan individu untuk bekerjasama. Apabila kita bersatu dengan cara ini, kita menyampaikan mesej yang kuat bahawa kesihatan mental itu penting, dan tiada siapa yang harus menempuh perjalanan pemulihan mereka sendiri," kata Encik Seah.

Dengan sokongan berterusan daripada masyarakat, Club HEAL kekal komited dalam mengurangkan stigma, memperkukuh pemulihan, dan membina sebuah masyarakat yang lebih inklusif serta memahami isu kesihatan mental.
Sumber : BERITA Mediacorp/HD/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita