Skip to main content

Singapura

Acara Golf Amal dan Makan Malam BH-AMP 2025 berjaya kumpul lebih S$260,000

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lebih S$260,000 berjaya dikumpulkan menerusi Acara Golf Amal dan Majlis Makan Malam BH-AMP 2025, pada Selasa (22 Julai) di Orchid Country Club.

Jumlah keseluruhan sumbangan bagi acara anjuran Berita Harian (BH) dan AMP Singapura (AMP) itu dijangka mencecah S$400,000 selepas menerima geran padanan.

Diadakan sempena meraikan sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-60 Singapura, sebahagian dana akan disalurkan untuk menyokong program-program anjuran AMP dan Persatuan Kanak-Kanak Singapura.

Bakinya diperuntukkan bagi hadiah buku kepada pelajar cemerlang yang ingin melanjutkan pengajian dalam bidang komunikasi, media atau pengajian Melayu di peringkat pengajian tinggi.

Acara Golf Amal itu mendapat sokongan 95 rakan korporat dan anggota masyarakat bagi usaha membantu golongan memerlukan.

"Bagi saya, ini satu caranya di mana kita melihat hari ini, SG60, Singapura telah mencapai umur yang agak matang dan kita melihat masyarakat kita juga dapat bersama untuk menunjukkan belas ihsan untuk kita memberi kepada mereka yang memerlukan," kata Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran Zaqy Mohamad, selepas melancarkan acara Golf Amal pada Selasa.

"Bagi kami, ini menunjukkan bagaimana syarikat di Singapura dapat digabungkan untuk membawa manfaat kepada masyarakat melalui acara amal seperti ini," tambahnya.

Rangkaian pasar raya Sheng Siong dan Yayasan Salleh Marican, masing-masing menyumbang S$60,000 manakala Bengawan Solo Pte Ltd, menyumbang S$20,000. Penaja lain termasuk AGSH Builders Pte Ltd, Karva Travel Group Pte Ltd dan Maybank Singapore Ltd yang menyumbang S$10,000 setiap satu.
Sebahagian dana akan disalurkan untuk menyokong program-program anjuran AMP dan Persatuan Kanak-Kanak Singapura dan bakinya diperuntukkan bagi hadiah buku kepada pelajar cemerlang yang ingin melanjutkan pengajian dalam bidang komunikasi, media atau pengajian Melayu di peringkat pengajian tinggi.
Editor BH, Encik Nazry Mokhtar merakamkan penghargaan atas sumbangan yang diterima.

Pengarah Eksekutif AMP Singapura, Encik Mohksin Rashid, menambah bahawa usaha seperti itu satu peringatan bahawa kerjasama merentas pelbagai segmen masyarakat boleh mencipta perubahan positif yang berkekalan.

Berucap di Majlis Makan Malam sempena acara amal itu, mantan Presiden, Puan Halimah Yacob yang juga penaung Golf Amal BH-AMP, berkata: "Apabila kita berkumpul seperti ini, kita bukan sekadar mengumpul dana tetapi kita menyemai harapan. Kita menyampaikan mesej jelas bahawa tiada siapa keseorangan, dan bahawa masyarakat kita bersatu dalam solidariti.

Tambah beliau, waktu acara itu diadakan juga sangat tepat, ketika Singapura menyambut tahun ke-60 kemerdekaan negara.

"Acara ini mengingatkan kita bahawa pembinaan negara bukan hanya tentang kemajuan fizikal, tetapi juga mengenai nilai-nilai murni yang menjadi teras kita: perpaduan, keterangkuman, dan keprihatinan terhadap satu sama lain.

"Ia juga sangat simbolik apabila acara ini diadakan hanya sehari selepas Hari Keharmonian Kaum. Sambutan ini mengingatkan kita bahawa kekuatan kita datang daripada kepelbagaian. Dan malam ini, kita melangkah lebih jauh — dengan mengubah keharmonian menjadi tindakan, dan niat baik menjadi sokongan nyata kepada mereka yang paling memerlukannya," ujarnya.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita